Perang Amerika, Israel dan Iran: Pete Hegseth yakin terhadap peluang Iran capai perjanjian dengan Amerika
Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth semasa taklimat mengenai perang Iran, di tengah-tengah gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran, di Pentagon, Washington, D.C. pada 24 April 2026. (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque)
- Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dan Jeneral Dan Caine mengumumkan sekatan global serta kepungan tentera laut terhadap Iran bermula 13 April.
- Amerika Syarikat memantau dan menahan kapal-kapal Iran di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, dengan 34 kapal telah berpatah balik setakat pagi Jumaat.
- Rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat dijangka disambung semula di Pakistan selepas rundingan terakhir gagal awal minggu ini.
- Amerika Syarikat menegaskan Iran masih berpeluang mencapai perjanjian jika melucutkan senjata nuklear, dan memberi amaran terhadap tindakan Iran di Selat Hormuz.
"Sekatan kami semakin luas hingga ke peringkat global," kata Encik Hegseth kepada para wartawan.
"Tiada siapa pun yang belayar dari Selat Hormuz ke mana-mana sahaja di dunia tanpa kebenaran Tentera Laut Amerika Syarikat," katanya.
Rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat boleh disambung semula tidak lama lagi di Pakistan, tiga sumber Pakistan memberitahu Reuters pada Jumaat (24 Apr), selepas pusingan terakhir rundingan yang dijangkakan awal minggu ini gagal.
Berdiri di sebelah Jeneral Dan Caine, Encik Hegseth berkata Amerika Syarikat "tidak terburu-buru" untuk mencapai perjanjian dengan Iran, dan mengulangi komen Presiden Donald Trump sebelum ini bahawa Amerika Syarikat "tidak tergopoh-gopoh" untuk melakukannya.
"Iran tahu bahawa mereka masih mempunyai peluang terbuka untuk memilih dengan bijak...di meja rundingan. Apa yang mereka perlu lakukan ialah melucutkan senjata nuklear dengan cara yang bermakna dan boleh disahkan," katanya lagi.
Jeneral Caine berkata Markas Pusat Amerika Syarikat akan terus mengekalkan kepungan yang ketat ke atas semua pelabuhan di Iran. Sebanyak 34 kapal telah berpatah balik setakat pagi Jumaat, katanya lagi.
Tentera Amerika Syarikat akan terus menahan dan merampas kapal-kapal Iran di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, tambah Jeneral Caine.
"Kami sedang menguatkuasakan kepungan secara menyeluruh terhadap mana-mana kapal dari mana-mana negara yang melakukan persinggahan atau dari pelabuhan atau wilayah Iran," kata Jeneral Caine.
"Kami sedang memantau dengan teliti kapal-kapal yang berkepentingan menuju ke Iran dan kapal-kapal yang bergerak menjauhi Iran yang berada di luar kawasan kepungan ... kami sudah bersiap sedia untuk memintas kapal-kapal itu," katanya lagi.
Kepungan tentera laut Amerika Syarikat ke atas Iran dikuatkuasakan pada 13 April.
Encik Hegseth juga memberi amaran bahawa sebarang percubaan oleh Iran untuk memasang periuk api di Selat Hormuz akan dianggap sebagai melanggar gencatan senjata.
"Transit (Selat Hormuz) sedang berlaku, jauh lebih terhad daripada yang ingin dilihat oleh sesiapa sahaja dan dengan lebih banyak risiko daripada yang ingin dilihat oleh orang ramai, tetapi itu kerana Iran melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab dengan bot kecil dan bot laju...dengan senjata di atasnya," kata Encik Hegseth.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.