Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Perunding utama Iran beri amaran agar Amerika tidak tingkatkan ketegangan di Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Perunding utama Iran beri amaran agar Amerika tidak tingkatkan ketegangan di Selat Hormuz

Kenderaan melepasi papan iklan anti-Amerika Syarikat yang memaparkan Presiden Donald Trump dan Selat Hormuz yang dipasang pada sebuah bangunan di Dataran Valiasr di Tehran pada 2 Mei 2026. (Gambar fail: AFP)

TEHRAN: Perunding utama Iran dalam rundingan dengan Amerika Syarikat memberi amaran pada Selasa (5 Mei) bahawa negaranya “belum pun bermula” dalam kebuntuan berhubung Selat Hormuz.

“Kami sedar sepenuhnya bahawa keadaan semasa tidak dapat diterima oleh Amerika; sedangkan kami belum pun bermula,” kata Mohammad Bagher Ghalibaf dalam catatannya di X.

Encik Ghalibaf, yang juga Speaker Parlimen Iran, berkata tindakan Amerika dan sekutunya menjejas keselamatan perkapalan, namun menambah bahawa “kehadiran jahat” mereka akan semakin berkurangan.

Selat itu merupakan laluan penting bagi bekalan global minyak, baja dan komoditi lain, yang hampir ditutup sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, menyebabkan kenaikan harga di seluruh dunia.

Beberapa kapal dagang di Teluk melaporkan letupan atau kebakaran pada Isnin, dan sebuah pelabuhan minyak di Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang menempatkan pangkalan tentera besar Amerika Syarikat, terbakar akibat serangan peluru berpandu Iran.

LAPORAN BERCANGGAH

Pengawal Revolusi Islam Iran menutup laluan air sempit itu melalui ancaman periuk api, dron, peluru berpandu dan bot bersenjata. Amerika Syarikat pula bertindak balas dengan mengenakan kepungan ke atas pelabuhan Iran.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata peristiwa pada Isnin menunjukkan tiada huraian ketenteraan bagi krisis itu.

Beliau berkata rundingan damai sedang berlangsung dengan pengantaraan Pakistan, dan memberi amaran kepada Amerika Syarikat serta UAE agar tidak terjerumus ke dalam “kancah” perang.

Tentera Amerika Syarikat menyatakan dua kapal dagang Amerika berjaya melalui selat itu dengan sokongan kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut, tanpa menyatakan masa kejadian.

Walaupun Iran menafikan sebarang lintasan berlaku, syarikat perkapalan Maersk menyatakan kapal berdaftar Amerika Syarikat, Alliance Fairfax, keluar dari Teluk melalui Selat Hormuz dengan diiringi tentera Amerika Syarikat pada Isnin.

Komander pasukan Amerika Syarikat di rantau itu berkata armadanya sudah memusnahkan enam bot kecil Iran, yang turut dinafikan oleh Tehran. Media Iran memetik seorang komander tentera sebagai berkata bahawa pasukan Amerika Syarikat menyasarkan bot awam, mengorbankan lima orang awam.

Iran juga menyatakan pada Isnin ia melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal perang Amerika Syarikat yang menghampiri selat itu, yang memaksanya berpatah balik.

Pegawai Iran kemudian menjelaskan tembakan itu sebagai tembakan amaran.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas situasi sebenar di selat itu pada Isnin kerana kedua-dua pihak yang bertelagah mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Korea Selatan melaporkan sebuah kapal dagangnya, HMM Namu, mengalami letupan dan kebakaran di bilik enjin ketika berada di selat itu, namun tiada mangsa cedera.

Jurucakap pemerintah Korea Selatan berkata tidak jelas sama ada kebakaran itu berpunca daripada serangan.

Pada hari yang sama, agensi keselamatan maritim Britain UKMTO melaporkan dua kapal diserang di luar pantai UAE, manakala syarikat minyak Amiriah ADNOC berkata sebuah kapal tangki minyak kosong miliknya terkena serangan dron Iran.
Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita