Perang Amerika, Israel dan Iran: Perincian perjanjian Amerika-Iran mula didedahkan; halang Tehran miliki senjata nuklear
Perincian mengenai perjanjian sementara antara Amerika Syarikat dengan Iran untuk menamatkan perang di Timur Tengah mula didedahkan pada Selasa (16 Jun), dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata perjanjian itu akan menghalang Tehran daripada memiliki senjata nuklear, manakala seorang pegawai Amerika Syarikat pula berkata ia membenarkan Iran menjual minyak sebaik sahaja perjanjian ditandatangani.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghadiri mesyuarat dua hala di luar sidang puncak G7 di Evian-les-Bains, Perancis pada 16 Jun 2026. (Gambar: Reuters/Evelyn Hockstein)
- Amerika Syarikat dan Iran mencapai perjanjian sementara untuk menamatkan perang di Timur Tengah, dengan sokongan Presiden Donald Trump dan pegawai kanan kedua-dua negara.
- Perjanjian ini melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari, membuka semula Selat Hormuz, dan membenarkan Iran menjual minyak serta menggunakan perkhidmatan perbankan dan pengangkutan.
- Syarat utama ialah Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear, perlu meneutralkan bahan nuklear diperkaya, dan tidak mengganggu kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
- Rundingan lanjut mengenai isu program nuklear Iran akan diadakan di Switzerland, manakala isu peluru berpandu dan sokongan kepada kumpulan proksi tidak termasuk dalam agenda semasa.
Perjanjian sementara itu dijangka melanjutkan gencatan senjata yang rapuh, yang diumumkan pada April, selama 60 hari lagi.
Ini selain membuka semula Selat Hormuz yang disekat Iran sejak Amerika Syarikat dan Israel menyerang negara itu pada Februari.
Encik Trump berkata teks perjanjian itu dengan jelas menyatakan bahawa Tehran tidak akan memiliki senjata nuklear, dan perjanjian penuh akan diumumkan secara rasmi dalam beberapa hari lagi.
Ketika menghadiri sidang G7 di Perancis, Encik Trump turut berkata beliau menyokong cadangan untuk menghantar perjanjian Iran itu ke Kongres bagi semakan, seperti yang diminta oleh beberapa anggota Parti Republican.
Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata perjanjian itu membolehkan Iran segera menyambung semula penjualan minyak dan bahan api, selain melibatkan perkhidmatan perbankan, pengangkutan dan insurans bagi memudahkan urus niaga tersebut.
Namun, pegawai itu menegaskan bahawa perjanjian tersebut mempunyai syarat-syarat tertentu.
“Iran hanya boleh meraih manfaat memorandum persefahaman (MOU) ini jika ia mematuhi semua perkara yang dipersetujui, termasuk tidak memiliki senjata nuklear, meneutralkan bahan nuklear yang diperkaya dan tidak mengganggu kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.”
RUNDINGAN SUKAR
Perunding akan membincangkan isu-isu yang lebih sukar seperti masa depan program nuklear Iran dalam fasa rundingan seterusnya.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata rundingan itu akan bermula di Switzerland pada Jumaat selepas pemeteraian perjanjian rangka kerja tersebut.
Dua lagi isu yang digunakan oleh Encik Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk mewajarkan perang itu - iaitu menghentikan sokongan Iran kepada kumpulan bersenjata proksinya di rantau tersebut dan mengehadkan program peluru berpandunya - dipercayai tidak termasuk dalam agenda rundingan akan datang.
“Iran mahu menyelesaikannya,” kata Encik Trump kepada wartawan mengenai fasa seterusnya rundingan dengan Tehran.
“Mereka perlu kembali menjalankan urusan seperti biasa, dan hubungan kini sudah dinormalisasikan, jadi saya fikir proses ini akan berjalan dengan agak pantas.”
Sebelum itu, beliau menyifatkan perjanjian tersebut sebagai “tembok penghalang kepada senjata nuklear” bagi Iran.
Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance dan ketua perunding Iran Mohammad Baqer Qalibaf dijangka menghadiri majlis rasmi pemeteraian perjanjian itu pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.