Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang Timur Tengah tingkat perhatian terhadap jaminan tenaga ASEAN

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang Timur Tengah tingkat perhatian terhadap jaminan tenaga ASEAN

Tanda 'tidak tersedia' di sebuah stesen minyak di tengah-tengah kekurangan bekalan bahan api di Quezon City, Filipina, pada 26 Mac 2026. (Gambar: Reuters/Eloisa Lopez)

Diterbitkan : 06 Oct 2026 10:20AM
US, Israel and Iran war: Middle East conflict heightens focus on ASEAN's energy security
  • ASEAN energy ministers met in Manila this week as the US-Israel war against Iran highlighted supply risks and the region's dependence on Middle Eastern oil.
  • ASEAN is expected to assess fuel security measures including APSA, but experts warned that a lack of storage and oil supplies would make implementation difficult during a crisis.
  • Rising fuel prices are burdening households and transport workers, with jeepney driver Antonio Bandin saying his daily costs had more than doubled.
  • Discussions also cover renewable energy, electric vehicles, energy efficiency and the ASEAN Power Grid to reduce imports and long-term energy bills.
Dijana oleh AI

MANILA: Para menteri tenaga Asia Tenggara yang bermesyuarat di Manila minggu ini berdepan kemungkinan perang di Timur Tengah akan berlarutan, sekali gus menyerlahkan kebergantungan rantau ini kepada bekalan tenaga yang diimport.

Ketika perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran berterusan, ASEAN semakin perlu melaksanakan rancangan jaminan tenaganya bagi mengurangkan kesan lonjakan harga akibat serangan terhadap kemudahan tenaga dan laluan perkapalan di Timur Tengah.

ASEAN mengimport lebih separuh minyak mentah yang diperlukan oleh kilang-kilang penapisannya dari Timur Tengah, ketika harga minyak dunia kini sekitar AS$100 (S$128) setong. Konflik itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga selepas syarikat penapisan China menggantung eksport produk minyak bagi Oktober.

Dalam keadaan itu, para menteri tenaga ASEAN dijangka menilai langkah jaminan bekalan bahan api yang diperkenalkan selepas rundingan kecemasan awal tahun ini.

Ini termasuk usaha menyelaraskan tindak balas kecemasan menerusi Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Jaminan Petroleum (APSA).

Inisiatif jangka panjang seperti Grid Tenaga ASEAN dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui juga dijangka akan dibincangkan.

“Apa yang ditonjolkan oleh krisis ini ialah keperluan untuk memberi lebih perhatian kepada daya tahan,” kata Timbalan Setiausaha Tenaga Filipina Felix Fuentebella kepada Reuters pada 1 Oktober.

Menurutnya, jaminan tenaga kini bukan lagi sekadar isu teknikal, sebaliknya menjadi keutamaan para menteri dan pemimpin ASEAN.

KOS MENINGKAT

Harga bahan api yang lebih tinggi meningkatkan perbelanjaan isi rumah di rantau ini dan turut menjejas pendapatan pekerja pengangkutan.

“Kami hampir tidak membawa pulang sebarang pendapatan lagi,” kata pemandu jeepney di Manila, Antonio Bandin, yang menyertai tunjuk perasaan terhadap kenaikan harga bahan api minggu lalu.

Perbelanjaannya untuk bahan api ketika bekerja meningkat lebih dua kali ganda kepada sekitar 2,400 peso (S$49) sehari.

Pusat Tenaga ASEAN memberi amaran bahawa gangguan serius terhadap bekalan dari Timur Tengah boleh menjejas jumlah minyak bersamaan hampir 28 peratus daripada penggunaan akhir minyak ASEAN.

Keadaan itu menunjukkan perlunya kerjasama lebih kukuh antara negara ASEAN dalam memastikan bekalan petroleum terjamin.

Namun, pakar ekonomi tenaga di Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur, Alloysius Joko Purwanto, berkata kekurangan kapasiti penyimpanan dan bekalan minyak di rantau ini masih menjadi cabaran dalam melaksanakan APSA.

Setiausaha Tenaga Filipina Sharon Garin pula berkata negaranya, yang masih berada dalam keadaan darurat tenaga nasional, sedang meneliti kerjasama serantau untuk menyimpan stok bahan api dan mungkin menjadi lokasi kemudahan penyimpanan pada masa depan.

Namun, para penganalisis berkata langkah sedemikian mungkin tidak banyak membantu dalam menangani krisis semasa.

“Ini lebih kepada persediaan menghadapi krisis seterusnya. Rizab ialah penampan. Ia bukan satu strategi,” kata zamil kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak, Christopher Len.

Para menteri ASEAN juga dijangka membincangkan cara mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap bahan api import, termasuk melalui tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan penggunaan tenaga yang lebih cekap.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan bil import tenaga Asia Tenggara boleh meningkat daripada lebih AS$80 bilion (S$102.4 bilion) pada 2024 kepada sekitar AS$245 bilion (S$313.6 bilion) menjelang 2035 jika tiada perubahan besar dilakukan.

Menurut IEA, penggunaan elektrik yang lebih meluas, termasuk kenderaan elektrik dan bahan api bio, boleh membantu mengurangkan permintaan minyak serta kebergantungan kepada bahan api import yang harganya mudah berubah.

Pada masa sama, usaha menghubungkan rangkaian elektrik negara-negara ASEAN menerusi Grid Tenaga ASEAN dianggarkan memerlukan pelaburan sekitar AS$27 bilion (S$34.6 bilion) menjelang 2040.

“Kita sepatutnya menjadikan kejutan ini sebagai pengajaran untuk mengurangkan kebergantungan, bukan sekadar mengurangkan kesannya,” kata Encik Len.

Sumber : Reuters/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita