Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang Iran "bukan untuk selama-lamanya", kata JD Vance

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang Iran "bukan untuk selama-lamanya", kata JD Vance

Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance. (Gambar fail: REUTERS)

WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance memberi jaminan kepada rakyat Amerika bahawa perang dengan Iran tidak akan menjadi "perang buat selama-lamanya".

Beliau berkata demikian dalam taklimat di Rumah Putih pada Rabu (20 Mei) untuk mempertahankan dasar pentadbiran Presiden Trump di tengah-tengah spekulasi mengenai pengganti presiden itu.

Menggantikan Setiausaha Media Karoline Leavitt yang sedang cuti bersalin, Encik Vance menjawab soalan wartawan selama hampir sejam dengan nada yang sebahagian besarnya terkawal, berbeza dengan gaya Encik Trump yang lebih bersifat konfrontasi.

Beliau tidak menolak kemungkinan menggunakan wang pembayar cukai untuk memberi pampasan kepada individu yang disabitkan kesalahan menyerang pegawai polis semasa serangan 6 Januari 2021 di Bangunan Capitol.

Bilik taklimat Rumah Putih bulan ini dilihat sebagai pentas tidak rasmi dalam persaingan untuk menggantikan Encik Trump pada 2028.

Kemunculan Encik Vance di podium berlaku kira-kira dua minggu selepas Setiausaha Negara Marco Rubio, yang dilihat sebagai pesaing yang berpotensi, yang menarik perhatian meluas melalui taklimat sulungnya.

"Marco betul, ini memang kacau-bilau," seloroh Encik Vance ketika wartawan memenuhi bilik dan memanggil namanya.

Apabila seorang wartawan merujuk kepadanya sebagai "calon presiden yang berpotensi", Encik Vance segera memperbetulkannya.

"Saya bukan calon yang berpotensi," katanya.

"Saya seorang naib presiden, saya suka kerja saya, dan saya akan cuba melakukannya sebaik mungkin."

Encik Vance, 41 tahun, bekas anggota Marin yang lama berhujah menentang pelibatan Amerika Syarikat dalam perang luar negara, berkata sebarang peningkatan ketegangan dengan Tehran tanpa huraian diplomatik akan tetap memenuhi kepentingan keselamatan jangka panjang Amerika Syarikat.

"Ini bukan perang buat selama-lamanya," katanya.

"Kita akan selesaikan urusan ini dan mengundurkan diri," katanya lagi.

Konflik Iran dijangka mempengaruhi masa depan politik Encik Rubio dan Encik Vance.

Sejak perang meletus pada 28 Februari, perang itu menjejaskan sebahagian besar perdagangan minyak global, menyebabkan harga petrol di Amerika Syarikat meningkat kira-kira 50 peratus dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan Republican yang mempertahankan majoriti Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal pada November ini.

Tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan pada Selasa (19 Mei) menunjukkan kadar sokongan terhadap Encik Trump merosot hampir ke paras terendah sejak kembali ke Rumah Putih, dengan ramai anggota Republican semakin tidak berpuas hati terhadap cara beliau menangani isu kos sara hidup.

Tinjauan yang dijalankan antara 15 hingga 18 Mei itu menunjukkan kira-kira 34 peratus rakyat Amerika Syarikat mempunyai pandangan positif terhadap Encik Vance dan 33 peratus terhadap Encik Rubio.

Pada Januari 2025, 42 peratus responden menyatakan pandangan positif terhadap Encik Vance.

Walaupun kedua-duanya tidak mahu membesar-besarkan spekulasi mengenai Pilihan Raya pada 2028, Encik Trump terus mencetuskan perbincangan mengenai penggantinya.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita