Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang Iran akan berakhir 'tidak lama lagi', umum Trump

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang Iran akan berakhir 'tidak lama lagi', umum Trump

Presiden Donald Trump bercakap kepada media, sebelum menaiki pesawat Air Force One dalam perjalanan ke Virginia, di Pangkalan Bersama Andrews di Maryland pada 10 April 2026. (Gambar: REUTERS/Evelyn Hockstein)

Diterbitkan : 17 Apr 2026 08:58PM Dikemas Kini : 17 Apr 2026 09:02PM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump menyatakan bahawa perjanjian untuk menamatkan perang di Iran mungkin dicapai tidak lama lagi, walaupun masanya masih belum jelas.

Sementara itu, sekutu Amerika Syarikat berhimpun pada Jumaat (17 Apr) untuk membincangkan pembukaan semula laluan perkapalan penting, Selat Hormuz.

Encik Trump berkata gencatan senjata selama dua minggu yang berakhir minggu depan boleh dilanjutkan, namun beliau percaya ia tidak diperlukan kerana Tehran mahu mencapai kata sepakat.

"Kita akan lihat apa yang berlaku. Tetapi saya rasa kita sudah hampir mencapai perjanjian dengan Iran," katanya kepada para wartawan. Beliau menambah bahawa jika perjanjian ditandatangani di Islamabad, Pakistan, beliau mungkin akan ke sana.

Beberapa jam kemudian di Las Vegas, Encik Trump menegaskan lagi bahawa peperangan tersebut "seharusnya berakhir tidak lama lagi". Bagaimanapun, sumber dari Iran memberitahu Reuters bahawa masih ada beberapa "perbezaan" yang perlu diselesaikan sebelum perjanjian awal dicapai.

Serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu dan mengorbankan beribu-ribu nyawa serta menggugat kestabilan Timur Tengah. Perang itu menyebabkan Selat Hormuz ditutup, iaitu laluan bagi seperlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia, sekali gus mengancam tercetusnya krisis minyak terburuk dalam sejarah.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu ini menurunkan ramalan pertumbuhan global dan memberi amaran bahawa ekonomi dunia berisiko mengalami kemelesetan jika perang ini berlarutan.

PULIHKAN KEBEBASAN PELAYARAN

Perancis dan Britain mempengerusikan mesyuarat melibatkan kira-kira 40 negara pada Jumaat (17 Apr). Tujuannya adalah untuk memberi isyarat kepada Amerika Syarikat bahawa sekutu-sekutu rapat bersedia membantu memulihkan kebebasan belayar di Selat Hormuz, tetapi hanya setelah pertempuran dihentikan.

Iran menutup selat tersebut kepada kapal-kapal asing, manakala Washington mengepung kapal yang keluar masuk dari pelabuhan Iran. Sejak perang bermula, hanya sebilangan kecil kapal yang berjaya melaluinya, berbanding purata lebih 130 kapal sehari sebelum perang.

Sumber dari Pakistan yang menjadi orang tengah berkata terdapat kemajuan dalam diplomasi sulit. Pertemuan seterusnya dijangka menghasilkan Memorandum Persefahaman (MoU), diikuti dengan perjanjian menyeluruh dalam masa 60 hari.

Isu utama yang dipertikaikan adalah cita-cita nuklear Tehran. Amerika Syarikat mencadangkan penggantungan semua aktiviti nuklear Iran selama 20 tahun, manakala Tehran mencadangkan tempoh 3 hingga 5 tahun sahaja.

Encik Trump mendakwa Iran bersetuju untuk menyerahkan bekalan uranium yang diperkaya, namun media rasmi Iran, Mizan, menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan belum ada persetujuan mengenai pemindahan bahan nuklear tersebut ke Amerika.

GENCATAN SENJATA LUBNAN BERMULA

Dalam pada itu, gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat antara Israel dan Lubnan yang melibatkan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran nampaknya bertahan pada Jumaat. Pakistan menyatakan bahawa gencatan senjata di Lubnan adalah bahagian penting dalam sebarang rundingan untuk menamatkan perang di Iran.

Di Lubnan, penduduk yang kehilangan tempat tinggal mula pulang ke kampung halaman pada Jumaat (17 Apr) untuk meninjau-ninjau keadaan rumah mereka.

Walaupun ada suasana kegembiraan, ramai yang bimbang tentang keteguhan gencatan senjata tersebut. Di bandar Nabatieh yang punah-ranah, sebahagian penduduk memilih untuk menetap semula, manakala yang lain terpaksa mencari tempat lain kerana keadaan rumah mereka tidak lagi boleh didiami.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita