Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang dorong lonjakan tempahan kapal tangki gergasi

Para pemilik kapal sudah menempah lebih dua kali ganda jumlah kapal tangki minyak gergasi tahun ini berbanding sepanjang 2025, dalam gelombang pembelian bernilai lebih AS$20 bilion (S$15.5 bilion) yang merupakan jumlah terbesar dalam sekurang-kurangnya 25 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang dorong lonjakan tempahan kapal tangki gergasi

Kapal-kapal dilihat berhampiran Selat Hormuz dari Musandam, Oman, pada 31 Ogos 2026. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 17 Sep 2026 10:45PM
  • Pemilik kapal menempah 217 VLCC setakat 2026 menurut Signal Group, jauh mengatasi 2025, dalam pembelian bernilai lebih AS$20 bilion yang didorong perubahan perdagangan minyak.
  • Perang Amerika Syarikat-Iran dan penutupan hampir Selat Hormuz memaksa kilang penapisan Asia serta Eropah mencari bekalan gantian dari Amerika Syarikat dan rantau Atlantik.
  • Risiko serangan Iran, kerosakan saluran paip Saudi dan operasi pemindahan di Teluk Oman menaikkan kadar VLCC melebihi AS$500,000 sehari serta mengikat kapal lebih lama.
  • Selain permintaan jarak jauh, armada VLCC yang menua mendorong tempahan untuk serahan 2029 dan 2030, sementara kapal lama terus digunakan sebagai armada bayangan.
Dijana oleh AI
TEHRAN/WASHINGTON: Para pemilik kapal sudah menempah lebih dua kali ganda jumlah kapal tangki minyak gergasi tahun ini berbanding sepanjang 2025, dalam gelombang pembelian bernilai lebih AS$20 bilion (S$15.5 bilion) yang merupakan jumlah terbesar dalam sekurang-kurangnya 25 tahun.

Perkembangan tersebut berlaku sedang perang Amerika Syarikat-Iran mengubah laluan perdagangan dan meningkatkan permintaan bagi penghantaran minyak mentah jarak jauh.

Data daripada Signal Group, sebuah platform analitik perkapalan, menunjukkan 217 Kapal Pengangkut Minyak Mentah Sangat Besar (VLCC) ditempah setakat ini pada 2026, berbanding 93 pada tahun lalu. Allied Shipbroking pula merekodkan 164 tempahan VLCC, meningkat daripada 83. Sebuah VLCC boleh membawa kira-kira dua juta tong minyak.

Peningkatan tempahan itu menunjukkan penerimaan yang semakin meluas bahawa minyak akan terus dihantar melalui jarak lebih jauh sedang para pembeli mempelbagaikan sumber bekalan mereka dan mengurangkan kebergantungan pada Timur Tengah.

Ia juga mencerminkan jangkaan lebih meluas dalam kalangan pemilik kapal bahawa perdagangan minyak jarak jauh akan kekal kukuh, meskipun terdapat peralihan daripada bahan api fosil.

“Kami percaya para pemilik kapal yang menjangkakan peningkatan penghantaran jarak jauh dari Atlantik ke Asia memainkan peranan besar dalam peningkatan semula permintaan untuk menempah VLCC,” kata penganalisis kanan firma analitik perkapalan Veson Nautical, Rebecca Galanopoulos.

PENUTUPAN HORMUZ BERI KESAN KE ATAS SELURUH DUNIA

Kilang-kilang penapisan di Asia dan Eropah terpaksa mencari bekalan gantian menyusuli penutupan hampir sepenuhnya Selat Hormuz. Sebelum perang antara Amerika Syarikat dengan Iran tercetus, kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melalui selat tersebut.

Eksport minyak mentah Amerika Syarikat mencecah paras tertinggi dalam rekod, manakala pembekal lain di rantau Atlantik turut meningkatkan pengeluaran. Negara-negara di pantai timur Amerika Selatan — diterajui Brazil, Guyana dan Argentina — akan memacu pertumbuhan eksport selanjutnya, kata penganalisis firma risikan data Vortexa, Ioannis Papadimitriou.

“Pengeluaran serantau boleh meningkat sekitar 2.5 juta tong sehari sehingga 2030, dengan sebahagian besarnya disalurkan ke pasaran Eropah dan Asia, sekali gus menggalakkan perdagangan jarak lebih jauh,” katanya. Beliau menambah bahawa jangkaan terhadap peningkatan perdagangan jarak jauh menggunakan kapal lebih besar juga semakin meningkat.

Permintaan bagi VLCC dan kapal tangki Suezmax yang lebih kecil turut didorong oleh keperluan yang semakin meningkat untuk membawa minyak keluar dari Teluk melalui Selat Hormuz sebelum ia dipindahkan ke kapal tangki lebih besar di Teluk Oman.

Para pengeluar Timur Tengah mendapati pemilik kapal keberatan untuk membawa minyak melalui selat tersebut akibat risiko serangan Iran, lalu memutuskan bahawa mereka perlu memiliki kapal sendiri.

Kini, selepas saluran paip Saudi yang membawa minyak ke arah barat menuju Laut Merah rosak, “Arab Saudi perlu memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam perniagaan ini ... sekurang-kurangnya buat sementara waktu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan kapal tangki Frontline, Lars Barstad, dalam satu persidangan di Norway.

Sejak saluran paip tersebut dilanda serangan dron, kos penghantaran minyak menggunakan kapal tangki terbesar mencecah paras tertinggi dalam rekod. Kadar spot VLCC baru-baru ini melonjak melebihi AS$500,000 (S$637,580) sehari, berbanding sekitar AS$132,000 (S$168,321.12) pada Februari sebelum perang, menurut Allied Shipbroking.

Proses membawa minyak keluar dari Teluk sebelum memindahkannya ke kapal lain untuk perjalanan seterusnya juga menyebabkan kapal terikat lebih lama dalam operasi tersebut dan menambah masa menunggu, sekali gus meningkatkan lagi permintaan bagi kapal.

Permintaan kini begitu tinggi sehingga firma broker Pareto Securities, yang menganjurkan persidangan tersebut, menganggarkan bahawa pembelian kapal tangki minyak berusia 10 tahun kini lebih mahal daripada menempah sebuah kapal baharu.

USIA ARMADA VLCC DORONG TEMPAHAN SELEPAS BERTAHUN-TAHUN LEMBAP

Setiap VLCC menelan belanja sekitar AS$130 juta (S$165.77 juta) untuk dibina, menurut Allied Shipbroking.

Peningkatan tempahan tersebut bukan semata-mata didorong oleh jangkaan terhadap aliran minyak pada masa hadapan. Selepas bertahun-tahun berdepan krisis dan lebihan bekalan, keperluan memperbaharui armada semakin mendesak, dengan sekitar 20 peratus armada VLCC kini berusia lebih 20 tahun, menurut Veson Nautical.

Kontrak baru-baru ini melibatkan kapal-kapal yang dijadual diserahkan pada 2029 dan 2030, sekali gus menunjukkan bahawa pemilik kapal yakin permintaan akan berterusan dalam jangka sederhana, kata penganalisis pasaran pengangkutan Allied Shipbroking, Pavlos Fakinos.

Malah, VLCC lama masih dibeli dan tidak dilupuskan, menurut firma risikan data Kpler. Kapal-kapal tersebut kini menjadi "armada bayangan” yang digunakan untuk mengangkut minyak yang dikenakan sekatan dari negara-negara seperti Rusia, Iran dan Venezuela, di luar rangkaian perkapalan dan insurans arus perdana Barat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita