Perang Amerika, Israel dan Iran: Pengunduran tentera Amerika boleh dorong Eropah perkukuh pertahanan
Pengunduran yang dirancang melibatkan 5,000 anggota tentera Amerika Syarikat dari Jerman seharusnya mendorong Eropah untuk memperkukuh pertahanannya sendiri, kata Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius pada Sabtu (2 Mei), namun dua penggubal undang-undang kanan Republican Amerika Syarikat menyuarakankebimbangan dan mengatakan bahawa anggota tentera Amerika itu tidak seharusnya meninggalkan Eropah.
Anggota tentera berdiri berhampiran kawat duri di sebuah kemudahan latihan tentera Amerika Syarikat di selatan Jerman, di Hohenfels, pada 30 April 2026. (Gambar fail: REUTERS/Angelika Warmuth)
This audio is generated by an AI tool.
Pentagon mengumumkan pengunduran tentera dari Jerman, pangkalan terbesar Amerika di Eropah, pada Jumaat, sedang perpecahan berhubung perang Iran dan ketegangan tarif terus menjejaskan hubungan antara Amerika Syarikat dengan Eropah.
“Kami akan kurangkan dengan banyak dan jumlahnya jauh lebih besar daripada 5,000,” kata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kepada para wartawan di Florida pada Sabtu apabila ditanya mengenai rancangan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada keputusan Amerika itu, rancangan era mantan presiden Joe Biden untuk menempatkan satu batalion Amerika yang dilengkapi peluru berpandu jarak jauh Tomahawk di Jerman juga dibatalkan - satu tamparan kepada Berlin, yang sebelum ini menggesa langkah berkenaan sebagai pencegahan yang kuat terhadap Rusia.
Penggubal undang-undang Republican, Senator Roger Wicker dan Wakil Mike Rogers, masing-masing mengetuai jawatankuasa perkhidmatan bersenjata Senat dan Dewan Perwakilan, berkata mereka “amat bimbang”. Mereka berkata tentera Amerika tidak sepatutnya dipindahkan keluar dari Eropah, sebaliknya dipindahkan ke bahagian timur.
“Mengurangkan kehadiran awal Amerika di Eropah sebelum keupayaan itu direalisasikan dengan sepenuhnya berisiko melemahkan pencegahan dan menghantar isyarat yang salah kepada (Presiden Rusia) Vladimir Putin,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
NATO BEKERJASAMA DENGAN WASHINGTON MENGENAI BUTIRAN
Encik Pistorius berkata pengunduran separa itu memang dijangka dan akan menjejas hampir 40,000 anggota tentera Amerika yang kini ditempatkan di Jerman.
“Kita di Eropah perlu memikul lebih banyak tanggungjawab terhadap keselamatan sendiri,” kata Encik Pistorius sambil menambah, “Jerman berada di landasan yang betul” dengan meningkatkanjumlah angkatan tenteranya, mempercepat perolehan ketenteraan dan membina infrastruktur.
Encik Trump sudah lama menyeru pengurangan kehadiran tentera Amerika di Jerman sejak penggal pertamanya dan berulang kali menggesa Eropah untuk memikul tanggungjawab terhadap pertahanannya sendiri.
Namun, beliau meningkatkan ancaman itu awal minggu ini selepas bertelagah dengan Canselor Jerman Friedrich Merz, yang mempersoalkan strategi keluar Washington di Timur Tengah.
Pentagon menyatakan pengunduran tentera itu dijangka selesai dalam tempoh enam hingga 12 bulan. Ia tidak menyatakan pangkalan mana yang akan terjejas, mahupun sama ada tentera berkenaan akan kembali ke Amerika Syarikat atau ditempatkan semula di Eropah atau lokasi lain.
Jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata perikatan itu sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk memahami butiran berhubung keputusan tersebut. Perdana Menteri Poland Donald Tusk, yang negaranya sedang mendapatkan jaminan sokongan berterusan Amerika di sayap timur NATO di tengah perang Rusia-Ukraine yang masih berlarutan, turut menyuarakankebimbangan terhadap perkembangan terkini itu.
“Ancaman terbesar kepada komuniti trans-Atlantik bukan musuh luar, tetapi perpecahan berterusan dalam pakatan kita. Kita semua mesti melakukan apa sahaja yang perlu untuk membalikkan trend buruk ini,” tulis Encik Tusk di platform X pada Sabtu. Rancangan Pentagon itu merupakan tamparan terkini Washington terhadap Jerman hujung minggu ini, selepas Encik Trump berkata beliau akan menaikkan tarif import kereta dari Kesatuan Eropah (EU) kepada 25 peratus, sambil menuduh EU gagal mematuhi perjanjian perdagangan - langkah yang boleh menyebabkan ekonomi Jerman kerugian berbilion dolar.
BACA:
“Dalam konteks ini, kedua-dua pengunduran tentera dan dasar perdagangan itu kelihatan bukan sebagai strategi yang tersusun, tetapi lebih kepada reaksi politik dan tindakan yang lahir daripada rasa kecewa,” kata Peter Beyer kepada Reuters.
BATALION PELURU BERPANDU JARAK JAUH DIBATALKAN
Negara anggota NATO berikrar untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap pertahanan sendiri, namun dengan kekangan belanjawan dan jurang besar dalam keupayaan ketenteraannya, rantau itu dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk memenuhi keperluan keselamatannya.
Jerman mahu meningkatkan jumlah anggota tentera aktif Bundeswehr daripada sekitar 185,000 ketika ini kepada 260,000, meskipun pengkritik menteri pertahanan negara itu menggesa jumlah yang lebih besar menyusuli ancaman Rusia yang dilihat semakin meningkat.
Kehadiran tentera Amerika Syarikat di Jerman, yang bermula sebagai pasukan pendudukan selepas Perang Dunia II, memuncak pada era 1960-an apabila ratusan ribu anggota tentera Amerika ditempatkan di negara itu untuk menyaingi Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin.
Kehadiran tersebut merangkumi pangkalan udara besar Ramstein dan hospital Landstuhl, yang kedua-duanya digunakan Amerika untuk menyokong perangnya di Iran, selain konflik terdahulu di Iraq dan Afghanistan.
Keputusan Pentagon itu bermakna satu briged penuh akan meninggalkan Jerman dan satu batalion peluru berpandu jarak jauh yang dijadual ditempatkan di sana lewat tahun ini juga akan dibatalkan.
Peluru berpandu jarak jauh itu sepatutnya menjadi unsur tambahan penting dalam usaha mencegah ancaman Rusia sementara negara-negara Eropah membangunkan peluru berpandu jarak jauh mereka sendiri.
Amerika Syarikat “memiliki monopoli sebenar dalam NATO” bagi keupayaan serangan jarak jauh, tulis Christian Moelling, pengarah badan pemikir pertahanan Eropah EDINA, di platform X.
“Itulah sebabnya langkah ini dari segi operasi adalah lebih serius berbanding jumlah tentera.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.