Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Pengeboman Amerika akan 'diperhebat' jika Iran enggan hentikan serangan, kata Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (8 Jul) memberi amaran bahawa pengeboman ke atas Iran akan diperhebat dengan ketara jika Tehran terus menyerang kapal-kapal di Selat Hormuz.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Pengeboman Amerika akan 'diperhebat' jika Iran enggan hentikan serangan, kata Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bercakap kepada media semasa sidang puncak pemimpin NATO di Ankara pada 8 Julai 2026. (Gambar fail: REUTERS/Umit Bektas)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 07:49AM
DUBAI: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (8 Jul) memberi amaran bahawa pengeboman ke atas Iran akan diperhebat dengan ketara jika Tehran terus menyerang kapal-kapal di Selat Hormuz.

"Ini adalah tindak balas terhadap pengeboman kapal oleh Iran semalam. Jika ia berlaku lagi, kesannya akan menjadi jauh lebih buruk!" tulis Presiden Amerika Syarikat itu di media sosial bersama sekeping gambar yang memaparkan pengeboman ke atas sebuah lokasi di Iran.

Tentera Amerika Syarikat pada Rabu menyatakan ia melancarkan satu lagi siri serangan ke atas Iran bagi memastikan Selat Hormuz, laluan perkapalan yang amat penting, terus dibuka kepada trafik maritim, hanya beberapa jam selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan bahawa perjanjian sementara untuk menamatkan perang dengan Iran sudah "berakhir".

Gelombang serangan terbaharu itu, yang menurut Amerika Syarikat dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan pada Selasa ke atas tiga kapal kargo yang sedang melalui selat berkenaan, mencetuskan kebimbangan di beberapa bandar di pesisir selatan Iran dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

"Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) telah memulakan serangan tambahan ke atas Iran bagi terus melemahkan keupayaannya mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz," menurut CENTCOM, iaitu markas tentera Amerika Syarikat bagi rantau Timur Tengah, dalam catatannya di platform X.

"Amerika Syarikat akan memastikan Iran bertanggungjawab atas tindakan agresif terbaharu yang tidak berasas terhadap perkapalan komersial dan kru awam yang belayar secara bebas di laluan perairan antarabangsa yang penting."

Penguasaan terhadap Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, memberikan Tehran pengaruh yang besar, sekali gus membolehkannya mewujudkan kebuntuan dengan kuasa tentera paling kuat di dunia.

Walaupun Iran tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap kapal-kapal tersebut, penganalisis berkata Tehran menggunakan tindakan sedemikian sebagai tekanan bagi mengukuhkan kedudukannya dalam rundingan untuk mencapai perjanjian jangka panjang dengan Amerika Syarikat.

Peningkatan ketegangan terbaharu itu menjejas harapan untuk menjadikan memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 17 Jun sebagai perjanjian damai kekal bagi menamatkan perang yang bermula dengan serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

Iran pada Rabu menyatakan ia menyerang lokasi tentera Amerika Syarikat di Bahrain dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat sebelum ini.

Semasa ditanya sebelum sidang puncak NATO di Turki sama ada memorandum persefahaman itu sudah berakhir, Encik Trump berkata: "Itu satu soalan yang sangat menarik. Bagi saya, saya fikir ia sudah berakhir. Saya tidak mahu berurusan dengan mereka."

"Jika kita mencapai perjanjian dengan Iran, saya tidak pasti ia akan berkekalan," kata Encik Trump kemudian.

Bagaimanapun, Encik Trump, yang beberapa kali mengancam untuk meningkatkan tindakan ketenteraan sebelum menarik balik ancaman tersebut, berkata beliau tidak menjangkakan perang berskala penuh akan tercetus semula dan masih belum jelas sama ada rundingan ke arah perjanjian damai yang berkekalan akan diteruskan.

Agensi berita rasmi Iran melaporkan kedengaran letupan di beberapa kawasan di pesisir selatan negara itu di Teluk Parsi, termasuk di pelabuhan Bandar Abbas serta bandar Chabahar dan Konarak.

Bekalan elektrik juga dilaporkan terputus di beberapa bahagian Chabahar.

Nournews, yang mempunyai kaitan dengan badan keselamatan tertinggi Iran, memetik sumber tentera Iran sebagai berkata negara itu merancang untuk melancarkan "serangan besar-besaran" ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau berkenaan dalam masa terdekat sebagai tindak balas.
Sumber : Agensi berita/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita