Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Pengawal Revolusi Iran ancam serang kepentingan Amerika serata Timur Tengah jika kapalnya dibedil

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Pengawal Revolusi Iran ancam serang kepentingan Amerika serata Timur Tengah jika kapalnya dibedil

Dua lelaki duduk di dalam sebuah bot kecil di atas air ketika kapal-kapal kargo berlabuh di Selat Hormuz, berhampiran Bandar Abbas, Iran pada 4 Mei 2026. (Gambar: AP/ISNA/Amirhosein Khorgooi)

Diterbitkan : 10 May 2026 12:30PM
TEHRAN: Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu (9 Mei) mengancam akan menyerang tapak-tapak yang menjadi kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah jika kapal-kapal tangkinya diserang, lapor media Iran, sedang Washington menunggu respons Tehran terhadap saranan rundingan terbaharunya.

"Sebarang serangan ke atas kapal tangki dan kapal komersial Iran akan mengakibatkan serangan besar-besaran ke atas tapak-tapak yang menjadi kepentingan Amerika Syarikat di rantau ini dan juga kapal musuh yang lain," tegas Pengawal Revolusi Iran, sehari selepas Amerika Syarikat menyerang dua kapal tangki Iran di Teluk Oman.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (8 Mei) berkata beliau menjangkakan jawapan Iran terhadap cadangan terbaru Washington untuk perjanjian damai yang "sepatutnya diberikan malam ini".

Jika Tehran sudah menyampaikan jawapannya kepada pengantara Pakistan, kami tidak menerima apa-apa sejauh ini, dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, telah mempersoalkan kewibawaan kepimpinan Amerika Syarikat.

"Peningkatan ketegangan baru-baru ini oleh tentera Amerika Syarikat di Teluk Parsi dan pelbagai tindakan mereka dalam melanggar gencatan senjata telah menambah syak wasangka kami tentang motivasi dan keseriusan pihak Amerika Syarikat dalam laluan diplomasi," katanya dalam satu panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Turki, menurut agensi berita ISNA dari Iran.

Pada Jumaat (8 Mei), sebuah jet pejuang Amerika Syarikat telah melepaskan tembakan untuk mengarahkan dua kapal tangki berdaftar Iran berpatah balik, yang dituduh oleh Washington telah mencabar kepungannya terhadap pelabuhan Iran. Seorang pegawai tentera Iran memberitahu media tempatan bahawa tentera laut Iran telah bertindak balas terhadap serangan itu.

Insiden tersebut berlaku menyusuli satu lagi pertempuran pada malam sebelumnya di Selat Hormuz, laluan laut antarabangsa penting yang cuba dikawal oleh Iran untuk mendapatkan tol dan menggunakan pengaruh ekonomi ke atas Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Amerika Syarikat menegaskan bahawa Tehran tidak boleh mengawal laluan minyak utama itu.

Washington telah menyampaikan kepada Iran, melalui pengantara Pakistan, satu cadangan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata di Teluk bagi membolehkan rundingan mengenai penyelesaian muktamad konflik itu, yang dilancarkan 10 minggu lalu dengan serangan Amerika-Israel ke atas Iran.

Seorang wartawan untuk stesen penyiaran Perancis LCI, Margot Haddad, berkata pada Sabtu (9 Mei) bahawa Encik Trump telah memberitahunya dalam satu temu bual ringkas bahawa beliau masih menjangka akan jawapan Iran "tidak lama lagi".

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata pada Jumaat (8 Mei) bahawa cadangan itu "sedang diteliti".
Sumber : AFP/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita