Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Penerbangan digantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai susuli serangan dron

Penerbangan digantung buat sementara waktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai atas sebab-sebab keselamatan, menurut pihak berkuasa penerbangan bandar itu pada Isnin (16 Mac), sejurus selepas satu insiden dron mencetuskan kebakaran berhampiran kawasan tersebut.
Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Penerbangan digantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai susuli serangan dron
Pesawat Emirates yang diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai selepas ia ditutup, di Dubai, Amiriah Arab Bersatu, pada 1 Mac 2026. (Gambar fail: AP/Altaf Qadri)
Diterbitkan : 16 Mar 2026 10:38AM
DUBAI: Penerbangan digantung buat sementara waktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai atas sebab-sebab keselamatan, menurut pihak berkuasa penerbangan bandar itu pada Isnin (16 Mac), sejurus selepas satu insiden dron mencetuskan kebakaran berhampiran kawasan tersebut.

“Penguasa Penerbangan Awam Dubai mengumumkan penggantungan sementara penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua penumpang dan kakitangan,” menurut pejabat media Dubai dalam satu catatan di X.

Ia menambah bahawa pasukan pertahanan awam berjaya mengawal kebakaran yang berlaku akibat serangan terhadap salah satu tangki bahan api di sekitar lapangan terbang tersebut.

Pejabat media sebelum ini menyatakan tiada kecederaan dilaporkan.

Syarikat penerbangan Emirates juga turut mengumumkan dalam satu catatan di X mengenai penggantungan sementara penerbangan ulang alik dari Dubai.

Negara-negara Teluk Arab berdepan lebih 2,000 serangan peluru berpandu dan dron sejak tercetusnya perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran pada 28 Februari, dengan sasaran termasuk misi diplomatik, pangkalan tentera Amerika Syarikat, dan juga prasarana minyak penting di wilayah Teluk, pelabuhan, lapangan terbang, hotel serta bangunan kediaman dan pejabat.

Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang menormalisasikan hubungan dengan Israel pada 2020, paling terjejas teruk akibat serangan tersebut.

Pada Rabu, pejabat media bandar itu menyatakan dua dron yang jatuh mencederakan empat orang berhampiran lapangan terbang berkenaan, yang sebelum ini merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di dunia.

Iran sudah pun melancarkan lebih 1,800 peluru berpandu ke atas negara itu, menjejaskan rancangan perjalanan di hab kewangan tersebut walaupun sistem pertahanan udaranya berjaya memintas sebahagian besar daripada peluru berpandu berkenaan.

Kementerian Pertahanan UAE melaporkan enam kematian sejak perang bermula, termasuk empat orang awam dan dua anggota tentera yang maut dalam satu nahas helikopter yang dikatakan mengalami kerosakan teknikal.

UAE, bersama negara-negara Teluk Arab yang lain, mengecam serangan Iran.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita