Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Penduduk Iraq banjiri lokasi perarakan pengebumian Ali Khamenei

Orang ramai membanjiri bandar-bandar serta makam di Iraq pada Rabu (8 Jul) untuk memberi penghormatan terakhir kepada mantan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam perang. 

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Penduduk Iraq banjiri lokasi perarakan pengebumian Ali Khamenei

Orang ramai menghadiri perarakan pengebumian mantan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, di Karbala, Iraq, pada 8 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Khalid Al-Mousily)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 09:39AM
NAJAF: Orang ramai membanjiri bandar-bandar serta makam di Iraq pada Rabu (8 Jul) untuk memberi penghormatan terakhir kepada mantan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam perang. Upacara perarakan itu diadakan sebelum beliau dikebumikan di tanah airnya.

Di makam Imam Ali di Najaf, para pelayat mengusung keranda sementara orang ramai berebut-rebut dan berhimpit-himpit untuk menyentuhnya.

Karim Hassan, yang menghadiri perarakan di Najaf, menyifatkan pemergian almarhum Khamenei sebagai 'satu malapetaka, satu tragedi'. Beliau berkata upacara pengebumian itu merupakan "penghormatan yang sewajarnya" buat "seorang pemimpin yang sukar digambarkan dengan kata-kata".

Di Karbala, para pelayat mengibarkan bendera Iran dan memegang potret Almarhum Khamenei sambil menunggu kerandanya tiba di laluan utama perarakan itu.

Iran memulakan upacara pengebumian selama enam hari pada Sabtu lalu, merangkumi beberapa lokasi yang mencerminkan tunjang agama, politik dan ideologi republik Islam itu.

Satu hari turut dikhaskan bagi negara jirannya, Iraq, yang mempunyai hubungan rapat bersama Tehran.

Upacara itu, yang bermula di Tehran dan melalui bandar suci Qom, akan berakhir dengan pengebumian Almarhum Khamenei pada Khamis di bandar kelahirannya, Mashhad, di timur laut Iran.

Republik Islam itu berharap siri upacara yang berlangsung selama beberapa hari itu akan mempamerkan kekuatan dan perpaduan menyusuli perang di Timur Tengah, yang tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari yang mengorbankan Almarhum Khamenei serta beberapa anggota keluarganya.

Perarakan di Iraq itu berlangsung sedang Amerika Syarikat dan Iran kembali berbalas serangan di Selat Hormuz.

HUBUNGAN YANG ERAT

Hubungan erat antara Iraq dengan negara jirannya, Iran, yang kedua-duanya mempunyai majoriti penduduk Syiah, dibentuk oleh faktor agama serta politik.

Iran menyokong ahli-ahli politik berpengaruh dan beberapa kumpulan bersenjata di Iraq. Sebahagian daripada kumpulan itu menyertai perang di Timur Tengah selepas pemergian Almarhum Khamenei dengan melancarkan serangan ke atas kemudahan-kemudahan Amerika Syarikat di Iraq sebagai tanda sokongan kepada Tehran.

Iraq juga merupakan sekutu Amerika Syarikat, dan sejak beberapa dekad lalu, pemerintah yang mentadbir negara itu bergelut untuk mengekalkan keseimbangan yang rapuh antara kedua-dua seteru itu.

Kini, cabaran itu semakin bertambah dengan Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ke atas Iraq supaya membendung pengaruh Iran dan melucutkan senjata kumpulan-kumpulan yang disokong Tehran.

Bagi Haidar Jaafar, yang ditemui sebelum upacara pengebumian Almarhum Khamenei, meskipun beliau tidak menyokong dasar-dasar Iran di Iraq, beliau tetap "bersatu dengan Iran untuk menentang musuh Israel".

"Malah mereka yang tidak sehaluan dengan Iran juga akan hadir," kata beliau, kerana Almarhum Khamenei dibunuh "oleh Israel dan Amerika Syarikat."
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita