Perang Amerika, Israel dan Iran: Pemimpin tertinggi baharu Iran cedera parah, kata sumber
Seorang penunjuk perasaan memegang gambar Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei semasa perhimpunan selepas pengumuman gencatan senjata selama dua minggu dengan Amerika Syarikat dan Israel, di Tehran, Iran, Rabu, 8 April 2026. (Gambar: AP/Francisco Seco)
- Mojtaba Khamenei, pemimpin tertinggi baharu Iran, mengalami kecederaan parah pada muka dan kaki akibat serangan udara pada 28 Februari yang turut mengorbankan bapanya dan ahli keluarga.
- Walaupun masih dalam proses pemulihan, beliau kekal waras dan terlibat dalam membuat keputusan penting negara melalui persidangan audio bersama pegawai kanan.
- Keberadaan dan tahap kecederaan Mojtaba masih menjadi misteri kerana tiada rakaman gambar atau video beliau diterbitkan sejak serangan dan pelantikannya pada 8 Mac.
- Rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat bermula di Islamabad pada 11 April, namun belum ada kenyataan rasmi Iran mengenai keadaan Mojtaba Khamenei.
Mojtaba Khamenei juga mengalami kecacatan pada wajahnya dalam serangan ke atas pekarangan pemimpin tertinggi di tengah Tehran dan beliau mengalami kecederaan parah pada satu atau kedua-dua belah kaki, kata ketiga-tiga sumber tersebut.
Pemimpin berusia 56 tahun itu masih dalam proses pemulihan daripada lukanya dan kekal waras dari segi mental, menurut sumber-sumber itu, yang meminta untuk tidak dinamakan bagi membincangkan perkara sensitif.
Beliau turut serta dalam pertemuan dengan pegawai kanan melalui persidangan audio dan terlibat dalam membuat keputusan mengenai isu-isu utama, termasuk perang dan rundingan dengan Washington, kata dua daripada mereka.
Persoalan sama ada kesihatan Mojtaba Khamenei membolehkannya menguruskan ehwal negara timbul semasa saat bahaya paling besar Iran dalam beberapa dekad, dengan rundingan damai dengan Amerika Syarikat bermula di ibu negara Pakistan, Islamabad pada Sabtu (11 Apr).
Reuters bagaimanapun belum dapat mengesahkan apa yang dikongsikan sumber-sumber itu secara bebas.
Keberadaan, keadaan dan keupayaan Mojtaba Khamenei untuk memerintah masih menjadi misteri kepada orang ramai, tanpa sebarang rakaman bergambar, video atau audio beliau yang diterbitkan sejak serangan udara dan pelantikannya sebagai pengganti bapanya pada 8 Mac.
Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Iran tidak menjawab soalan Reuters tentang tahap kecederaan atau sebab beliau belum muncul dalam sebarang gambar atau rakaman.
Mojtaba Khamenei cedera pada 28 Februari, iaitu pada hari pertama perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel, dalam serangan yang mengorbankan bapanya yang juga pemimpin sebelumnya Ayatollah Ali Khamenei, yang sudah memerintah sejak 1989.
Isteri, abang ipar dan kakak ipar Mojtaba Khamenei adalah antara ahli keluarganya yang terbunuh dalam serangan itu.
Belum ada kenyataan rasmi Iran tentang tahap kecederaan Mojtaba Khamenei.
Walau bagaimanapun, seorang pembaca berita di televisyen pemerintah menggambarkannya sebagai "janbaz", istilah yang digunakan untuk mereka yang cedera parah dalam perang, selepas beliau dinamakan sebagai pemimpin tertinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.