Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Peluru berpandu Iran mungkin terlibat dalam serangan ke atas kapal Korea Selatan di Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Peluru berpandu Iran mungkin terlibat dalam serangan ke atas kapal Korea Selatan di Selat Hormuz

Bahagian bawah kapal yang rosak selepas diserang oleh dua objek tidak dikenal pasti pada 4 Mei 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 28 May 2026 06:35AM Dikemas Kini : 28 May 2026 06:36AM
SEOUL: Sebutir peluru berpandu antikapal milik Iran berkemungkinan terlibat dalam serangan ke atas sebuah kapal kargo yang dikendalikan oleh syarikat perkapalan tempatan, HMM, di Selat Hormuz awal bulan ini, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Korea Selatan pada Rabu (27 Mei).

Saeed Koozechi, Duta Iran ke Korea Selatan, menafikan pelibatan Iran dalam serangan ke atas kapal Korea Selatan itu dengan menyatakan bahawa negaranya "tidak mengambil bahagian langsung" dalam insiden tersebut, lapor agensi berita tempatan Yonhap News.

Kedutaan Iran di Seoul tidak memberikan respons segera terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.

Kementerian tersebut membuat penilaian berkenaan dalam satu taklimat yang mengumumkan hasil siasatan pemerintah terhadap serangan pada 4 Mei ke atas kapal pemunggah pukal itu, yang menyebabkan kebakaran serta merosakkan bahagian bawah kapal.

"Pelbagai bukti menuding ke arah Iran," kata Naib Menteri Luar Pertama, Park Yoon-joo, sambil menambah bahawa Seoul belum menentukan secara muktamad pihak yang bertanggungjawab atau sama ada serangan itu dilakukan dengan sengaja.

Siasatan tersebut meneliti serpihan daripada objek tidak dikenali yang ditemui di dalam kapal selepas serangan berlaku.

Hasil analisis menunjukkan bahawa kapal yang diberi nama Namu itu diserang sebanyak dua kali; peledak pertama tidak meletup, manakala peledak kedua meletup.

Komponen pada serpihan tersebut menunjukkan bahawa objek-objek itu berkemungkinan besar buatan Iran, menurut kementerian itu.

"Enjin objek berkenaan serupa dengan enjin turbojet yang dibuat di Iran," kata Encik Park, sambil menyatakan bahawa satu komponen mempunyai tanda yang kelihatan seperti digunakan oleh pengeluar dari Iran.

Bahagian peledak itu pula menyerupai peledak yang digunakan dalam peluru berpandu antikapal Iran, iaitu jenis Noor atau Qader, kata Encik Park.

Korea Selatan memanggil Duta Iran untuk berkongsi hasil siasatan tersebut dan menyampaikan mesej bantahan, menurut kementerian itu.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan tidak lama selepas insiden itu bahawa Iran menembak kapal Korea Selatan, dan menggesa Seoul untuk menyertai usaha yang dipimpin oleh Amerika Syarikat bagi menjaga keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Tehran sebelum ini menafikan sebarang tanggungjawab terhadap serangan itu.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita