Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Peluru berpandu balistik Iran sasar Turki berjaya dipintas NATO

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Peluru berpandu balistik Iran sasar Turki berjaya dipintas NATO
Beberapa serpihan daripada peluru gugur di kawasan tanah lapang di Gaziantep. (Gambar: X/Kementerian Pertahanan Turki)
Diterbitkan : 10 Mar 2026 07:44AM Dikemas Kini : 10 Mar 2026 07:45AM
ISTANBUL: Kementerian Pertahanan Turki pada Isnin (9 Mac) memaklumkan bahawa sebutir peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran dan memasuki ruang udara Turki telah dipintas oleh aset pertahanan udara dan peluru berpandu NATO yang ditempatkan di timur Mediterranean, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi di X, kementerian itu menyatakan bahawa beberapa serpihan daripada peluru berpandu itu gugur di kawasan tanah lapang di Gaziantep, sambil menambah bahawa tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.

Kementerian itu menambah bahawa Turki memberikan "keutamaan tinggi kepada hubungan kejiranan yang baik dan kestabilan serantau," serta menegaskan bahawa "semua langkah perlu akan diambil secara tegas tanpa teragak-agak terhadap sebarang ancaman yang ditujukan kepada wilayah dan ruang udara negara kami."

"Kami juga mengulangi bahawa adalah demi kepentingan semua pihak untuk mengambil perhatian terhadap amaran Turki dalam hal ini."

Dalam kenyataan berasingan yang dikongsi di X, Pengarah Komunikasi Turki Burhanettin Duran mengesahkan bahawa peluru berpandu itu telah "dipintas dan dimusnahkan tepat pada masanya oleh aset pertahanan udara dan peluru berpandu NATO di ruang udara daerah Sahinbey, Gaziantep."

"Kami sekali lagi mengulangi amaran keras kami kepada semua pihak, terutamanya Iran, untuk mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan keselamatan serantau dan meletakkan orang awam dalam risiko," katanya lagi.

Rabu lalu, Kementerian Pertahanan Turki menyatakan bahawa sebutir peluru balistik yang dilancarkan dari Iran ke arah ruang udara Turki telah dipintas dan dimusnahkan oleh unit pertahanan udara dan peluru berpandu NATO di timur Mediterranean.

Perkembangan itu berlaku ketika Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan bersama ke atas Iran, mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera Amerika Syarikat.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita