Perang Amerika, Israel dan Iran: Pelabuhan Shahid Haghani sasaran serangan Amerika-Israel
Amerika Syarikat dan Israel menyasarkan sebuah pelabuhan di bandar pesisir selatan Iran, Bandar Abbas yang terletak di sepanjang Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Iran.
Pelabuhan Shahid Haghani, yang digunakan untuk tujuan komersial dan perkhidmatan penumpang, menjadi sasaran serangan udara Amerika Syarikat dan Israel. (Gambar: REUTERS)
“Pasukan tentera Amerika Syarikat dan Israel menyasarkan Pelabuhan Shahid Haghani di Bandar Abbas, yang digunakan bagi tujuan komersial dan perkhidmatan penumpang,” menurut Timbalan Gabenor Wilayah Hormozgan bagi Hal Ehwal Politik, Keselamatan dan Sosial Ahmad Nafisi, seperti yang dipetik Tasnim News.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat serta bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian.
Encik Nafisi bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai kemungkinan korban jiwa atau tahap kerosakan di pelabuhan berkenaan.
Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, mengorbankan lebih 1,340 orang setakat ini, menurut pihak berkuasa Iran.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset-aset ketenteraan Amerika Syarikat.
Menurut angka rasmi Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya 13 anggota perkhidmatan Amerika Syarikat terbunuh sejak perang bermula dan situasi itu turut mendorong kenaikan harga tenaga serta menjejaskan kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.