Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: PBB tubuh pasukan petugas bagi tangani penutupan Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: PBB tubuh pasukan petugas bagi tangani penutupan Selat Hormuz

Kapal kargo di Teluk Parsi, berhampiran Selat Hormuz, seperti yang dilihat dari utara Ras al-Khaimah, berhampiran sempadan Musandam di Oman, di tengah-tengah konflik Amerika-Israel dengan Iran, di Amiriah Arab Bersatu pada 11 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Stringer/Foto Fail)

Diterbitkan : 28 Mar 2026 07:46PM Dikemas Kini : 28 Mar 2026 07:47PM
TEHRAN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan pada Jumaat (27 Mac) bahawa pihaknya sudah menubuhkan sebuah pasukan bertindak yang akan mencipta mekanisme baharu untuk Selat Hormuz bagi memudahkan perdagangan baja dan aliran bahan mentah utama yang lain, sambil memberi amaran mengenai risiko peperangan Iran terhadap kekurangan bekalan makanan dan krisis kemanusian global yang semakin meningkat.

"Tindakan segera penting untuk mengurangkan kesan-kesan ini," kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric.

Penolong Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jorge Moreira da Silva, Pengarah Eksekutif Pejabat PBB untuk Perkhidmatan Projek, akan mengetuai projek itu, kata Encik Dujarric.

Beliau berkata pasukan petugas yang dirancang itu akan mengambil inspirasi daripada inisiatif PBB yang lain, termasuk Inisiatif Bijirin Laut Hitam untuk Ukraine dan Mekanisme UN2720 untuk Gaza.

"Pasukan petugas itu akan berhubung dengan semua negara anggota untuk meninjau bagaimana ia boleh dilaksanakan," kata Encik Dujarric.

"Kami berharap semua negara anggota yang terlibat akan menyokong inisiatif ini, terutamanya demi rakyat... yang sudah terjejas."

Gangguan pada penghantaran baja dan kos tenaga yang melonjak mengancam akan meningkatkan harga makanan segar di negara-negara yang bergantung dengannya.

Minggu lalu, Program Makanan Sedunia PBB memberi amaran bahawa lagi 10 juta orang berisiko menghadapi kelaparan akut jika perang berterusan sehingga ke bulan Jun.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita