Perang Amerika, Israel dan Iran: Panglima tentera Eropah & Arab bertemu di Paris bincang pelan UNIFIL
Para panglima tentera Eropah dan Arab akan bertemu di Paris pada Khamis (17 Sep) untuk menilai keperluan Angkatan Tentera Lubnan serta membincangkan penamatan misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang semakin hampir, di tengah-tengah kebimbangan bahawa Israel mungkin melancarkan semula kempen ketenteraannya di selatan Lubnan.
Caption: Konvoi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bergerak di sepanjang jalan pesisir di Naqoura, berhampiran kawasan yang diduduki tentera Israel di selatan Lubnan, 11 September 2026. (Gambar: REUTERS/Raghed Waked)
- Panglima tentera Eropah dan Arab bertemu di Paris pada 17 Sep untuk menilai keperluan Angkatan Tentera Lubnan dan masa depan misi UNIFIL.
- Rundingan berlaku ketika kebimbangan meningkat bahawa Israel mungkin meneruskan kempen ketenteraan di selatan Lubnan, walaupun gencatan senjata Jun bertujuan menghentikan pertempuran dengan Hezbollah.
- Dalam rangka kerja yang diusahakan Amerika Syarikat, Israel dijangka berundur berperingkat, sementara Lubnan perlu melucutkan senjata Hezbollah dan mengerahkan pasukan ke selatan.
- Para pegawai membincangkan misi baharu disokong Perancis-Itali atau EU, dengan tumpuan kepada latihan, kelengkapan, risikan dan bimbingan bagi mengisi kekosongan selepas pengurangan UNIFIL.
Israel dan Lubnan sebelum ini mengadakan beberapa pusingan rundingan yang diusahakan Amerika Syarikat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara. Namun, dengan pilihan raya di Israel dan Amerika Syarikat bakal berlangsung dalam masa beberapa minggu akan datang, para diplomat berpendapat, satu kemajuan besar dalam rundingan tersebut tidak mungkin dapat dicapai.
Rundingan pada Khamis (17 Sep), yang pada awalnya akan dipengerusikan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron bersama Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Raja Abdullah dari Jordan, secara rasmi bukanlah sebahagian daripada usaha Washington.
Amerika Syarikat akan diwakili seorang pegawai kanan tentera yang terlibat dalam isu keselamatan Timur Tengah.
PERJANJIAN RANGKA KERJA
Sebagai sebahagian daripada rundingan yang diusahakan oleh Amerika Syarikat, Israel dan Lubnan bersetuju dengan perjanjian rangka kerja yang menggariskan pengunduran tentera Israel secara bertahap-tahap, manakala pihak berkuasa Lubnan pula perlu melucutkan senjata Hezbollah dan mengerahkan pasukan ke seluruh kawasan selatan negara tersebut.
Para pegawai di Paris akan berusaha untuk menilai keperluan ketenteraan dan kewangan secara terperinci menjelang persidangan penderma yang dijangka diadakan pada lewat 2026 atau awal 2027, menurut para diplomat.
Kebimbangan paling mendesak adalah bagaimana untuk mengisi kekosongan yang mungkin timbul apabila pasukan pengaman PBB, UNIFIL, yang mempunyai sekitar 7,500 anggota, mula mengurangkan askarnya mulai Januari.
Meskipun Lubnan dan Perancis sama-sama menyokong pelanjutan mandat PBB itu, baik Amerika Syarikat mahupun Israel, belum memberi isyarat bahawa mereka menyokong usaha untuk melanjutkan misi tersebut.
Para pegawai di Paris akan membincangkan beberapa pilihan, termasuk penubuhan misi antarabangsa baharu yang disokong Perancis dan Itali di luar mandat PBB, serta kemungkinan sebuah misi yang diterajui Kesatuan Eropah (EU).
Kedua-dua cadangan tersebut akan memberi tumpuan kepada latihan, kelengkapan, perkongsian risikan dan sokongan dari segi bimbingan bagi Angkatan Tentera Lubnan.
“Kaedah pelaksanaan tindakan antarabangsa atau berbilang negara ini masih perlu ditentukan — antara lain kerana pihak Lubnan belum mengemukakan permintaan yang selaras, khususnya dengan tuntutan Amerika Syarikat di Majlis Keselamatan PBB, dan kerana kami masih perlu memperincikan syarat-syarat kehadiran ini serta memastikan mandatnya benar-benar jelas,” kata seorang pegawai Pejabat Presiden Perancis kepada para wartawan menjelang mesyuarat tersebut.
Memburukkan lagi keadaan yang masih rapuh, serangan Israel ke atas sebuah bandar di selatan Lubnan pada Isnin lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk enam kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan. Serangan tersebut menjadikan Isnin antara hari yang paling banyak mencatatkan jumlah kematian akibat pengeboman Israel sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Kebimbangan bahawa Israel akan melancarkan semula kempen ketenteraannya semakin meningkat di Lubnan. Perkembangan tersebut menyusuli serangan Israel yang semakin hebat sejak beberapa hari lalu, meskipun gencatan senjata pada Jun lalu bertujuan untuk menghentikan pertempuran antara tentera Israel dengan Hezbollah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.