Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Pakistan tegaskan 'pelibatan berterusan' untuk tamatkan perang Amerika-Iran

Diplomat tertinggi Pakistan dan Kuwait pada Selasa (2 Jun) membincangkan perkembangan terkini di Timur Tengah, dengan Islamabad menekankan keperluan "pelibatan berterusan" bagi menamatkan perang yang berlarutan antara Amerika Syarikat dan Iran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan rasmi.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Pakistan tegaskan 'pelibatan berterusan' untuk tamatkan perang Amerika-Iran

Pakistan menegaskan komitmennya terhadap usaha diplomatik untuk menamatkan perang Amerika Syarikat-Iran. (Gambar fail: REUTERS)

KARACHI: Diplomat tertinggi Pakistan dan Kuwait pada Selasa (2 Jun) membincangkan perkembangan terkini di Timur Tengah, dengan Islamabad menekankan keperluan "pelibatan berterusan" bagi menamatkan perang yang berlarutan antara Amerika Syarikat dan Iran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan rasmi.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar berbincang mengenai perkembangan terkini perang tersebut menerusi perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Kuwait, Sheikh Jarrah Jaber Al-Ahmad Al-Sabah, sebagai sebahagian daripada usaha perantaraan berterusan Islamabad untuk menamatkan perang itu di tengah-tengah jalan buntu baharu akibat pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, khususnya pencerobohan berskala besarnya di selatan Lubnan.

Encik Dar sekali lagi menegaskan komitmen Islamabad untuk menyokong diplomasi dan komitmen berterusan sebagai "jalan pilihan" untuk keamanan dan kestabilan jangka panjang di seluruh rantau itu, menurut Kementerian Luar Pakistan.

Sebagai balasan, Sheikh Jarrah memuji peranan Pakistan selaku perantara yang berterusan serta usahanya dalam memudahkan rundingan antara kedua-dua pihak yang bertelagah, selain menghargai sumbangan "membina" negara itu terhadap keamanan dan keselamatan serantau.

Kedua-dua pihak menyatakan harapan agar inisiatif diplomatik yang sedang berjalan akan membuahkan hasil positif dan keamanan yang berkekalan dalam "masa terdekat."

Mereka juga mengesahkan hubungan persaudaraan yang kukuh antara Pakistan dan negara Teluk itu, selain bersetuju untuk terus berhubung rapat pada masa hadapan, menurut kenyataan itu.

Ketegangan serantau meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari lalu.

Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan yang menyasarkan Israel serta sekutu Amerika Syarikat di Teluk, di samping menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April melalui perantaraan Pakistan, namun rundingan susulan di Islamabad gagal mencapai perjanjian jangka panjang. Presiden Amerika, Donald Trump, kemudiannya melanjutkan gencatan senjata itu untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Sejak itu, kedua-dua belah pihak terus bertukar-tukar cadangan dan cadangan balas dalam usaha untuk menyambung semula rundingan secara langsung dan menamatkan perang berkenaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita