Perang Amerika, Israel dan Iran: Pakistan sedia anjur pusingan kedua rundingan Amerika-Iran
Menteri Dalam Negeri Pakistan Mohsin Naqvi memaklumkan Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam pada Isnin (20 Apr) bahawa persiapan bagi fasa kedua rundingan di Islamabad sudah selesai, lapor Xinhua memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Poster dipasang pada tiang lampu, ketika Pakistan bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kepada Amerika Syarikat dan Iran bagi kemungkinan rundingan damai fasa kedua di Islamabad (Gambar: Reuters/Akhtar Soomro)
Menurut kenyataan itu, Encik Mohsin bertemu dengan duta itu bagi membincangkan urusan pusingan kedua rundingan, sambil berkata bahawa kawalan keselamatan rapi dilaksanakan bagi menyambut delegasi asing yang berkunjung.
Beliau turut menekankan pentingnya menyelesaikan pertikaian menerusi dialog dan rundingan, selain menegaskan bahawa huraian yang mampan adalah amat penting bagi kestabilan serta keamanan serantau jangka panjang.
Utusan Iran itu, pada masa yang sama, menghargai "peranan positif dan membina" Pakistan dalam usaha mengurangkan ketegangan serta memudahkan dialog di rantau berkenaan, lapor kenyataan itu lagi.
Awal dari itu, pada hari yang sama, Encik Mohsin melawat Kedutaan Amerika Syarikat di Islamabad bagi memberikan maklumat terkini kepada pihak Amerika mengenai persediaan keselamatan bagi pusingan kedua rundingan berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.