Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: OPEC+ luluskan kenaikan kuota pengeluaran minyak buat kali keempat sejak penutupan Selat Hormuz

OPEC+ pada Ahad (7 Jun) bersetuju untuk menaikkan sasaran pengeluaran minyaknya buat kali keempat dalam tempoh empat bulan, meskipun perang antara Amerika Syarikat dengan Iran masih menghalang beberapa anggota kumpulan tersebut daripada meningkatkan pengeluaran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: OPEC+ luluskan kenaikan kuota pengeluaran minyak buat kali keempat sejak penutupan Selat Hormuz

Logo Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) di luar ibu pejabatnya di Vienna, Austria, pada 28 Mei 2024. (Gambar: REUTERS/Leonhard Foeger)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 08:19AM
LONDON: OPEC+ pada Ahad (7 Jun) bersetuju untuk menaikkan sasaran pengeluaran minyaknya buat kali keempat dalam tempoh empat bulan, meskipun perang antara Amerika Syarikat dengan Iran masih menghalang beberapa anggota kumpulan tersebut daripada meningkatkan pengeluaran mereka.

Perang tersebut telah mengurangkan aliran minyak yang melalui Selat Hormuz, sekali gus mencetuskan krisis bekalan terbesar dunia, dengan anggota utama OPEC+ termasuk Arab Saudi tidak dapat memenuhi sepenuhnya permintaan pelanggan sejak akhir Februari.

Krisis yang dihadapi OPEC+ bertambah buruk apabila Amiriah Arab Bersatu (UAE) meninggalkan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) selepas hampir 60 tahun sebagai anggotanya.

Tujuh anggota utama OPEC+, yang menghimpunkan kumpulan OPEC dan negara pengeluar sekutunya termasuk Rusia, telah meningkatkan kuota pengeluaran mereka dari April hingga Jun sebanyak hampir 600,000 tong sehari.

Namun realitinya, pengeluaran kumpulan itu merosot akibat pengurangan eksport oleh negara-negara Teluk, dengan purata pengeluaran sebanyak 33.19 juta tong sehari pada April berbanding 42.77 juta tong sehari pada Februari, menurut perangkaan OPEC.

KESAN PENINGKATAN SASARAN PENGELUARAN

Pada Ahad, tujuh negara anggota memutuskan untuk menaikkan sasaran pengeluaran sebanyak 188,000 tong sehari mulai Julai, menurut OPEC dalam satu kenyataan.

Peningkatan itu sama seperti kenaikan pada Jun, yang telah diselaraskan susut daripada kenaikan bulanan sebanyak 206,000 tong sehari pada April dan Mei untuk mengambil kira pengunduran UAE.

Kuota pengeluaran minyak Iraq akan meningkat sebanyak 26,000 tong sehari mulai Julai di bawah perjanjian tersebut, menurut jurucakap kementerian minyak negara itu kepada agensi berita negara Iraq.

“Peningkatan pengeluaran OPEC+ tidak membawa banyak makna selagi Selat Hormuz masih ditutup,” kata penganalisis Rystad Energy dan bekas pegawai OPEC, Jorge Leon.

“Apabila Selat Hormuz dibuka semula, pasaran boleh berubah dengan pantas daripada kebimbangan terhadap kekurangan bekalan kepada kebimbangan terhadap lebihan bekalan.”

Pada Jumaat, harga minyak LCOc1 susut kepada sekitar AS$93 (S$119.98) setong apabila para pedagang semakin yakin bahawa kemungkinan tercetusnya semula konflik antara Amerika Syarikat dengan Iran semakin berkurangan.

Harga minyak berada pada sekitar AS$72 (S$92.89) setong sebelum perang bermula.

OPEC+ HAMPIR SELESAI BATALKAN PENGURANGAN PENGELUARAN 2023

Tujuh negara tersebut meningkatkan pengeluaran sebagai sebahagian daripada langkah berperingkat untuk membatalkan pengurangan pengeluaran sebanyak 1.65 juta tong sehari yang dipersetujui kumpulan tersebut pada 2023, semasa UAE masih menjadi anggotanya.

Mulai Julai, tujuh negara itu masih mempunyai sekitar 567,000 tong sehari daripada pengurangan asal yang belum dikembalikan ke pasaran, dengan mengambil kira pengunduran UAE pada 1 Mei, menurut pengiraan Reuters.

Ini bermakna baki pengurangan tersebut akan dibatalkan sepenuhnya menjelang akhir September sekiranya OPEC+ meneruskan kenaikan bulanan sekitar 188,000 tong sehari bagi Ogos dan September.

Tujuh daripada 21 anggota OPEC+ yang menghadiri mesyuarat pada Ahad itu ialah Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Algeria, Kazakhstan, Rusia dan Oman.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hanya tujuh negara tersebut serta UAE semasa ia masih menjadi anggota terlibat dalam keputusan berkaitan dasar pengeluaran kumpulan itu.

Dalam satu mesyuarat berasingan pada Ahad yang melibatkan semua anggota OPEC+, para menteri tidak membuat sebarang perubahan terhadap dasar pengeluaran seluruh kumpulan yang akan kekal berkuat kuasa sehingga akhir 2026, menurut satu lagi kenyataan OPEC+.

OPEC+ sedang menjalankan semakan terhadap kapasiti pengeluaran minyak negara-negara anggotanya untuk dijadikan sebagai rujukan dalam menetapkan paras asas pengeluaran bagi 2027, yang akan digunakan untuk menentukan kuota pengeluaran.

Kumpulan itu pada Ahad turut menegaskan semula peri pentingnya menyelesaikan penilaian tersebut, menurut kenyataan berkenaan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita