Perang Amerika, Israel dan Iran: Netanyahu remehkan pertelingkahan dengan Trump; mereka akur mengenai pelucutan senjata Hezbollah
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Rabu (3 Jun) meremehkan pertelingkahannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dengan mengatakan bahawa mereka berdua akur dalam matlamat untuk melucutkan senjata Hezbollah demi mencapai keamanan antara Israel dengan Lubnan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berucap semasa satu upacara sempena Hari Peringatan Israel bagi anggota tentera yang terkorban, atau Yom HaZikaron, di Tanah Perkuburan Tentera di Gunung Herzl, Baitulmakdis, pada 21 April 2026. (Gambar fail: Ilia Yefimovich/Pool menerusi REUTERS)
Encik Trump mengesahkan dalam satu temu bual yang diterbitkan New York Post pada Rabu bahawa beliau terlibat dalam pertukaran kata-kata yang tegang dengan Encik Netanyahu dua hari sebelum itu, yang mana beliau dilaporkan memarahi sekutu rapatnya itu dengan kata-kata kesat.
Encik Netanyahu meremehkan pertikaian tersebut dalam satu temu bual bersama saluran televisyen Amerika CNBC, sambil berkata bahawa beliau dan Encik Trump mempunyai pendirian yang sama berhubung usaha untuk menangani kumpulan bersenjata Lubnan, Hezbollah.
Hezbollah "adalah proksi Iran yang mengancam seluruh rakyat Lubnan dan menggunakan Lubnan sebagai platform untuk melancarkan peluru berpandu pengganas ke bandar-bandar kami, serta melancarkan dron pembunuh terhadap orang awam kami," kata Encik Netanyahu dalam temu bual itu.
"Jadi jika kita mahu menyelamatkan Lubnan, jika kita mahu mencapai keamanan antara Lubnan dengan Israel, seperti yang saya mahukan, kita perlu melucutkan senjata Hezbollah dan menamatkan unsur ketenteraan di Lubnan. Dan saya tahu bahawa ini adalah matlamat yang dikongsi oleh presiden dan saya, dan itulah yang perlu kita lakukan."
Encik Trump berkata beliau "terganggu" dengan keadaan di Lubnan apabila bercakap dengan Encik Netanyahu pada Isnin.
"Anda berkata, 'Adakah anda sudah gila? Apa yang sedang anda lakukan? Saya telah membantu anda mengelak daripada dipenjarakan.' Adakah itu benar? Adakah anda bercakap dengannya dalam nada sedemikian?" tanya penemu bual New York Post itu.
"Saya memang berkata begitu," jawab Encik Trump. "Saya agak terganggu dengan tindakannya yang berterusan bertempur dengan Lubnan."
"Saya berkata, 'Bibi, kita perlu hentikan perkara ini.'"
Encik Trump kemudian berkata bahawa beliau mempunyai "hubungan yang sangat baik" dengan Encik Netanyahu. "Kami telah bekerjasama dengan baik ... Saya sangat menyukai Bibi."
Encik Netanyahu memberitahu penemu bual CNBC bahawa beliau dan Encik Trump sentiasa "mencari jalan" untuk bergerak ke hadapan, sambil enggan menghuraikan butiran perbualan mereka.
"Kami mempunyai banyak persamaan pandangan, kami sependapat dalam perkara-perkara utama," kata beliau.
"Terdapat perbezaan pendapat dari segi taktik. Kami sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikannya, dan kami melakukannya sebagai sahabat yang rapat. Kami boleh tidak sependapat pada waktu pagi, dan menjelang petang, kami bertindak secara bersama-sama," kata beliau.
Apabila ditanya sama ada hubungannya dengan Encik Trump sudah berubah, Encik Netanyahu menjawab: "Tidak."
"Ini merupakan hubungan yang sangat baik, kerana beliau adalah sahabat yang terbaik yang pernah dimiliki Israel di Rumah Putih," kata beliau.
"Beliau menghormati saya. Saya menghormati beliau. Kami sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan perbezaan antara kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.