Perang Amerika, Israel dan Iran: Menteri Luar Iran lawat China sedang Beijing usaha jadi pengantara perang dengan Amerika
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi akan melawat Beijing minggu ini bagi mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi (kiri) bertemu Menteri Luar China Wang Yi di Beijing pada 6 Mei 2026. (Gambar fail: Reuters/Telegram/Seyed Abbas Araghchi)
- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi akan bertemu rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, di Beijing pada 16 September untuk membincangkan konflik Iran-Amerika dan isu berkaitan.
- China berperanan sebagai pengantara dan merupakan rakan ekonomi serta penyokong diplomatik utama Iran, selain membeli minyak dari negara itu.
- China menafikan laporan bahawa entiti mereka membekalkan imej satelit kepada Iran berkaitan serangan ke atas pangkalan Amerika di Jordan, menegaskan tuduhan itu tidak berasas.
- Ketegangan antara China dan Amerika Syarikat meningkat menjelang pertemuan Presiden Xi Jinping dan Donald Trump, dengan isu sekatan, perdagangan, dan kecerdasan buatan turut menjadi perhatian.
Kementerian Luar China menyatakan pada Selasa (15 Sep) bahawa kedua-dua menteri itu akan bertemu pada Rabu (16 Sep), sedang Beijing berusaha menjadi pengantara dalam perang antara Iran dengan Amerika Syarikat yang meletus sejak beberapa bulan lalu.
Encik Araghchi dan Encik Wang sebelum ini bertemu di luar sidang BRICS di Delhi minggu lalu.
China merupakan antara rakan ekonomi utama Iran dan membeli sebahagian besar pengeluaran minyak negara itu. Beijing juga merupakan penyokong diplomatik penting Tehran.
Rundingan itu berlangsung hanya seminggu sebelum Presiden China Xi Jinping dijangka berkunjung ke Washington untuk bertemu Presiden Amerika Donald Trump.
Perang di Iran dijangka menjadi antara isu utama yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut, selain perdagangan dan persaingan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
CHINA NAFI BEKAL IMEJ SATELIT KEPADA IRAN
Beijing pada minggu ini menafikan laporan bahawa entiti China membekalkan Tehran dengan imej satelit sebuah pangkalan tentera yang menempatkan askar Amerika di Jordan.
Imej itu didakwa dibekalkan sebelum dan selepas serangan Iran yang mengorbankan tiga askar Amerika.
Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun pada Isnin berkata Beijing menentang keras apa yang disifatkannya sebagai syak wasangka dan tuduhan tanpa bukti.
Laporan Wall Street Journal itu berpotensi meningkatkan ketegangan antara Washington dengan Beijing menjelang pertemuan Encik Trump dengan Encik Xi yang dijangka berlangsung minggu depan.
Encik Trump sebelum ini memberi amaran kepada Beijing supaya tidak menjual senjata kepada Iran.
Pada Mei lalu, Washington turut mengenakan sekatan terhadap tiga syarikat satelit yang berpangkalan di China kerana didakwa membantu operasi ketenteraan Iran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.