Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Malaysia umum langkah sokong perniagaan kecil terkesan krisis tenaga global

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Malaysia umum langkah sokong perniagaan kecil terkesan krisis tenaga global

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 21 Apr 2026 11:34AM Dikemas Kini : 21 Apr 2026 11:35AM
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan beberapa langkah baharu pada Isnin (20 Apr) untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis tenaga global.

Langkah-langkah tersebut termasuk peruntukan sebanyak RM5 bilion (S$1.61 bilion) untuk menyediakan perlindungan kewangan sehingga 80 peratus dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun bagi perniagaan yang terkesan, menurut kementerian itu dalam kenyataannya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata skim yang dipertingkatkan itu merupakan satu peningkatan daripada perlindungan kewangan sehingga 70 peratus dan tempoh jaminan tujuh tahun yang ditawarkan sekarang, lapor The Star.

Encik Anwar berkata kemudahan jaminan RM5 bilion itu akan beroperasi di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan yang mentadbir dan mengurus skim jaminan kerajaan.

Kemudahan itu akan menyokong sektor-sektor yang terjejas termasuk binaan, pertanian dan agromakanan, logistik, pengangkutan, serta pelancongan, lapor Bernama.

“Dalam menghadapi tekanan global yang semakin meningkat, Kerajaan MADANI bertindak pantas berpandukan maklum balas terus daripada penggiat industri, bagi memastikan setiap langkah sampai kepada mereka yang paling memerlukan,” kata Encik Anwar dalam kenyataannya pada Isnin (20 Apr).

Sementara itu, tempoh peralihan untuk melaksanakan e-invois akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 bagi perniagaan dengan penjualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 bilion, menurut kenyataan Kementerian Kewangan.

Diperkenalkan sebagai platform digital untuk memudahkan urusan berkaitan invois dan meningkatkan pematuhan cukai, e-invois mewajibkan perniagaan menjana dan menghantar invois secara elektronik bagi meningkatkan kecekapan pelaporan dan kutipan cukai sambil mengurangkan ketirisan.

Kerajaan Persekutuan juga akan mempertimbangkan pengecualian duti import dan cukai penjualan sementara sehingga 31 Disember tahun ini bagi barangan Malaysia yang diimport semula, yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan yang berpunca daripada konflik tersebut.

Encik Anwar turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus memantau situasi dan menilai keperluan untuk memudahkan urusan cukai bagi perniagaan yang terjejas akibat konflik.

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, penggiat industri, dan usahawan bagi memastikan langkah-langkah yang dilaksanakan membantu mengekalkan operasi perniagaan dan melindungi pekerjaan,” kata Encik Anwar.

“Ini bukan situasi sementara; kita mesti bersiap sedia menghadapi perubahan yang berlaku secara berperingkat dan berlarutan.”

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan sejak permulaan perang Timur Tengah, yang kini memasuki minggu kelapan, selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

Pada Isnin (20 Apr), Encik Anwar mengadakan pertemuan dengan masyarakat perniagaan Cina dan India menyusuli pendampingannya dengan PMKS Bumiputera - istilah rasmi bagi orang Melayu dan masyarakat etnik peribumi - pada minggu lalu, lapor portal berita tempatan Malay Mail.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita