Perang Amerika, Israel dan Iran: Malaysia sertai negara Asia Tenggara lain dalam usaha dapatkan bekalan minyak Rusia
Malaysia menyertai senarai negara yang semakin bertambah di Asia Tenggara yang berusaha untuk mendapatkan bekalan minyak dari Rusia di tengah-tengah krisis tenaga menyusuli perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang kini memasuki minggu kelapan.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)
This audio is generated by an AI tool.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sabtu (18 Apr) berkata syarikat minyak nasional Petronas dijangka berunding dengan Rusia untuk membeli minyak dan memastikan bekalan yang mencukupi bagi kegunaan domestik, lapor The Star.
Encik Anwar berkata banyak negara Eropah dan Amerika yang sebelum ini mengenakan sekatan ke atas Rusia kini bersaing untuk membeli minyaknya.
“Nasib baik, hubungan kita dengan Rusia kekal baik. Oleh itu, pasukan Petronas boleh berunding dengan mereka,” kata beliau seperti yang dipetik akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian.
Awal dari itu, terdapat laporan bahawa beberapa negara Asia Tenggara lain turut menghubungi atau memeterai perjanjian untuk membeli minyak Rusia.
Pada Isnin, Presiden Indonesia Prabowo Subianto bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di Mosko sebagai sebahagian daripada “usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam landskap global yang kian berubah”.
Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya berkata pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung selama lima jam, bermula dengan sesi dua hala selama dua jam diikuti dengan perbincangan empat mata selama tiga jam.
“Beberapa perkara dipersetujui, termasuk kerjasama jangka panjang dalam sektor tenaga dan sumber mineral, seperti minyak dan gas, keselamatan tenaga serta aktiviti hiliran,” tulis Encik Teddy dalam satu kenyataan bertulis.
Pada Selasa, Setiausaha Tenaga Filipina Sharon Garin berkata negaranya sudah meminta Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengecualian untuk membeli minyak dan produk petroleum dari Rusia.
Cik Garin menambah negaranya sedang mempelbagaikan sumber tenaga dan pilihan bekalan tidak terhad kepada Rusia, dengan pemerintah Filipina turut meninjau pengeluar di Amerika Selatan, termasuk Colombia dan Argentina, serta Kanada dan Amerika Syarikat.
Filipina merupakan sekutu Amerika Syarikat, dan negara Asia Tenggara itu pada bulan lalu mengisytiharkan darurat tenaga di peringkat nasional.
Sementara itu, Reuters melaporkan bulan lalu bahawa Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh berlepas pada 22 Mac untuk lawatan rasmi ke Rusia, di mana kedua-dua negara akan memeterai beberapa perjanjian, termasuk kerjasama minyak dan gas.
Perang tersebut sudah mengorbankan ribuan nyawa, merebak dan melibatkan serangan Israel di Lubnan serta mendorong kenaikan harga minyak menyusuli penutupan de facto Selat Hormuz, yang sebelum perang mengendalikan satu perlima daripada penghantaran minyak dunia, lapor Reuters.
Pada Jumaat, Iran mengumumkan pembukaan semula sementara selat tersebut. Namun Tehran mengubah pendiriannya pada Sabtu dan menegaskan semula kawalan ke atas selat itu dengan menutup semula laluan tenaga tersebut, sekali gus menambah ketidaktentuan baharu dalam perang yang sedang berlangsung.
Iran menyatakan tindakan itu merupakan maklum balasnya terhadap kepungan berterusan Amerika Syarikat ke atas pelabuhan Iran, yang disifatkannya sebagai pelanggaran gencatan senjata, manakala Pemimpin Tertinggi Ayatollah Mojtaba Khamenei berkata tentera laut Iran bersedia untuk membawa “kekalahan pahit baharu” terhadap musuh-musuhnya.
Pada Sabtu, Encik Anwar berkata usaha diplomatik awal oleh pemerintah memastikan kapal-kapal tangki minyak Malaysia merupakan antara yang terawal melalui laluan kritikal di Selat Hormuz dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Beliau menambah kejayaan membawa kapal-kapal tangki minyak Malaysia melalui selat itu membantu mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negaranya.
“Syukur, sebuah kapal tangki minyak Petronas tiba dengan selamat di Kompleks Bersepadu Pengerang (pada Jumaat). Penghantaran ke Pengerang amat penting kerana penapisan hanya boleh dilakukan di sana,” kata beliau seperti yang dipetik Free Malaysia Today (FMT).
Secara berasingan, Petronas pada Rabu menyatakan bekalan bahan api di stesen-stesennya di seluruh negara kekal terjamin sehingga akhir Jun, melanjutkan anggaran awalnya selama sebulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.