Perang Amerika, Israel dan Iran: Lubnan sokong pembaharuan mandat UNIFIL, sambut baik alternatif pasukan Eropah
Presiden Lubnan Joseph Aoun berkata pada Isnin (7 Sep) bahawa Beirut menyokong pembaharuan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Presiden Lubnan Joseph Aoun menyambut baik inisiatif Perancis-Itali untuk mewujudkan kehadiran antarabangsa selepas misi UNIFIL di negara itu tamat. (Gambar: REUTERS)
- Presiden Lubnan Joseph Aoun menyatakan sokongan terhadap pembaharuan mandat UNIFIL dan menyambut baik inisiatif Perancis-Itali untuk kehadiran antarabangsa selepas UNIFIL tamat.
- Beliau akan ke Paris untuk berbincang dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai keselamatan Lubnan dan masa depan kehadiran antarabangsa di selatan negara itu.
- Perancis, Itali, dan EU merancang pelbagai inisiatif, termasuk misi latihan dan gabungan antarabangsa, bagi mengelakkan kekosongan keselamatan selepas UNIFIL berakhir.
- Lubnan mengecam serangan Israel yang berterusan, yang telah menyebabkan ribuan korban, dan menegaskan perlunya usaha antarabangsa untuk melindungi rakyat serta kestabilan rantau tersebut.
Beliau juga menyambut baik inisiatif Perancis-Itali untuk mewujudkan kehadiran antarabangsa selepas misi UNIFIL di negara tersebut berakhir.
“Lubnan menyokong pembaharuan pasukan antarabangsa di selatan dan kami sedang bekerjasama dengan Presiden (Perancis) (Emmanuel) Macron untuk memudah cara pembaharuan berkenaan,” kata Encik Aoun semasa pertemuan dengan Menteri Kehakiman Perancis Gerald Darmanin, lapor NNA.
Beliau turut menyambut baik inisiatif Perancis-Itali untuk membentuk pasukan Eropah bagi mengisi kekosongan menyusuli penarikan balik UNIFIL.
Encik Aoun berkata beliau akan melakukan lawatan ke Paris minggu depan untuk menyertai Encik Macron pada pembukaan mesyuarat persediaan bagi persidangan antarabangsa menyokong tentera Lubnan dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, serta membincangkan masa depan kehadiran antarabangsa di selatan Lubnan.
Perancis dan Itali mengumumkan inisiatif pada Jun untuk melancarkan gabungan antarabangsa, dengan penyelarasan bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertujuan membangunkan mekanisme bagi tempoh pasca-UNIFIL dan mengelakkan kekosongan keselamatan di selatan Lubnan.
Menteri Luar Itali Antonio Tajani kemudiannya berkata Rome boleh menyumbangkan tentera kepada misi antarabangsa pasca-UNIFIL, sambil menegaskan bahawa sebarang pengerahan memerlukan perjanjian pelbagai pihak.
Secara berasingan, EU merancang satu misi untuk memberi nasihat dan latihan kepada pasukan tentera Lubnan, termasuk dalam keselamatan sempadan dan maritim.
Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas berkata minggu lalu bahawa inisiatif tersebut tidak bertujuan menggantikan UNIFIL sebaliknya memperkukuh keupayaan Lubnan untuk menyediakan keselamatannya sendiri.
Dalam pada itu, Encik Aoun mengecam serangan berterusan Israel ke atas Lubnan, termasuk pembunuhan orang awam serta kemusnahan rumah dan harta benda.
“Apa yang dilakukan Israel merangkumi serangan berulang kali, membunuh orang yang tidak berdosa, kanak-kanak dan wanita, memusnahkan dan membakar rumah serta meratakan harta benda adalah jenayah yang dikecam, ditolak dan tidak boleh diterima,” kata beliau.
Encik Aoun berkata serangan itu “menyasarkan perjalanan perjanjiian rangka kerja dan menjejaskan semua usaha yang dibuat untuk menghentikan ketegangan di selatan serta rantau ini secara keseluruhannya.”
Encik Darmanin pula memuji reformasi yang dilaksanakan oleh Lubnan dan berkata Beirut “sentiasa boleh berharap kepada Perancis,” menurut NNA.
Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian rangka kerja yang disokong Amerika Syarikat pada 26 Jun menyusuli rundingan di Washington.
Perjanjian tersebut menggesa penarikan berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan yang diduduki sebagai balasan kepada pengerahan tentera Lubnan dan pelucutan senjata kumpulan bersenjata.
Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan walaupun perjanjiian itu sudah dimeterai.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan pada akhir Ogos, serangan Israel sejak 2 Mac sudah mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan lebih 12,000 yang lain.
UNIFIL beroperasi di selatan Lubnan sejak 1978. Mandatnya dijadualkan tamat pada penghujung 2026, sekali gus mencetuskan perbincangan berhubung aturan keselamatan bagi tempoh pasca-UNIFIL.
Lubnan berulang kali menyatakan bahawa ia lebih memilih agar misi itu dikekalkan, namun terbuka kepada kehadiran antarabangsa alternatif jika mandatnya tidak dapat dilanjutkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.