Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Lubnan, Israel setuju senarai negara hantar tentera sahkan pelucutan senjata Hezbollah

Lubnan dan Israel sudah mencapai kata sepakat berhubung satu senarai pendek bagi negara-negara yang boleh menghantar anggota tenteranya untuk mengesahkan pelucutan senjata Hezbollah di bawah perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat, kata seorang pegawai Lubnan pada Jumaat (7 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Lubnan, Israel setuju senarai negara hantar tentera sahkan pelucutan senjata Hezbollah

Kenderaan tentera Israel dilihat bergerak di sebuah jalan di selatan Lubnan, seperti yang dilihat dari bahagian Israel di sempadan Israel-Lubnan, di utara Israel, pada 6 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Avi Ohayon)

Diterbitkan : 08 Aug 2026 11:51AM
  • Lubnan dan Israel bersetuju mengenai senarai negara yang boleh menghantar tentera untuk mengesahkan pelucutan senjata Hezbollah, hasil rundingan di Kedutaan Amerika Syarikat di Rome.
  • Amerika Syarikat akan memilih negara dari senarai tersebut, selepas menolak pencalonan Perancis dan syarikat keselamatan swasta sebagai pihak ketiga.
  • Perbincangan turut melibatkan kemungkinan penempatan tentera asing di bawah UNIFIL atau agensi PBB lain, yang memerlukan resolusi baharu Majlis Keselamatan PBB.
  • Rundingan belum mencapai persetujuan kawasan pengunduran tentera Israel, dengan Beirut mencadangkan Bint Jbeil dan Khiam; pusingan seterusnya dijadual awal September.
Dijana oleh AI
BEIRUT: Lubnan dan Israel sudah mencapai kata sepakat berhubung satu senarai pendek bagi negara-negara yang boleh menghantar anggota tenteranya untuk mengesahkan pelucutan senjata Hezbollah di bawah perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat, kata seorang pegawai Lubnan pada Jumaat (7 Ogos). Amerika Syarikat dijangka memilih beberapa negara daripada senarai tersebut.

Pegawai tersebut enggan mendedahkan nama-nama negara atau jumlah keseluruhan yang dimasukkan ke dalam senarai tersebut. Seorang lagi pegawai Lubnan dan dua diplomat asing sebelum ini memberitahu Reuters bahawa Israel dan Amerika Syarikat sudah menolak pencalonan Perancis.

Senarai itu dihasilkan menerusi pertemuan antara Lubnan dengan Israel di Kedutaan Amerika Syarikat di Rome minggu ini, dalam pusingan terkini rundingan berhubung pelaksanaan perjanjian bertarikh 26 Jun yang mengaitkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Lubnan dengan pelucutan senjata Hezbollah, yang akan "disahkan" oleh pihak ketiga.

Hezbollah tidak terlibat perjanjian tersebut dan enggan melucutkan senjatanya.

"Kami telah mencapai persetujuan berhubung satu senarai pendek negara. Kami mengenal pasti pihak yang tidak dapat diterima oleh setiap pihak dan menetapkan calon yang berpotensi," kata pegawai Lubnan itu.

"Amerika Syarikat kini akan membuat keputusan dan mungkin memilih lebih daripada sebuah negara."

Kementerian Luar Israel tidak segera memberi maklum balas terhadap pertanyaan Reuters berhubung senarai pendek tersebut. Apabila ditanya mengenainya, jurucakap Jabatan Negara berkata rundingan itu "berjalan secara membina di peringkat teknikal dan pakar", namun tidak memberikan butiran lanjut.

LUBNAN TOLAK SYARIKAT KESELAMATAN SWASTA

Amerika Syarikat sedang berusaha sebagai perantara untuk menamatkan pertempuran antara Israel dengan kumpulan bersenjata Lubnan yang disokong Iran, Hezbollah, yang tercetus sejak Mac, sejajar dengan perang lebih meluas antara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Dua hari selepas Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, Hezbollah melancarkan serangan ke atas Israel sebagai tanda perpaduan terhadap Tehran. Tentera Israel kemudian membalas dengan siri serangan udara dan operasi darat sehingga ia menguasai kawasan sepanjang kira-kira 10 kilometer ke dalam selatan Lubnan. Lebih sejuta orang awam Lubnan terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Pegawai Lubnan itu berkata Beirut menolak cadangan terdahulu supaya syarikat-syarikat keselamatan swasta memainkan peranan sebagai pihak ketiga yang mengesahkan pelucutan senjata Hezbollah.

"Semua pihak yang dicadangkan merupakan negara. Kami masih perlu membincangkan bagaimana mekanisme ini akan dilaksanakan, berapa ramai anggota akan dikerahkan dan bagaimana mereka akan bekerjasama dengan tentera Lubnan," katanya.

Satu rangka kerja bagi pengerahan tentera asing di Lubnan juga perlu dipersetujui, termasuk kemungkinan menempatkan mereka di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL), yang mandatnya dijadual tamat pada hujung 2026.

Pegawai Lebanon itu berkata langkah tersebut memerlukan satu resolusi baharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menurutnya kini sedia dipertimbangkan oleh Amerika Syarikat dan Israel dalam apa yang disifatkannya sebagai satu perkembangan penting. Pilihan lain termasuk mengerahkan tentera itu di bawah agensi PBB yang lain atau menerusi memorandum persefahaman dengan Lubnan.

Bagaimanapun, rundingan itu tidak menghasilkan persetujuan mengenai kawasan seterusnya yang akan dikosongkan tentera Israel bagi membolehkan tentera Lubnan mengambil alih kawalan.

Beirut mencadangkan Bint Jbeil dan Khiam, dua bandar utama yang terjejas teruk akibat serangan udara dan menyaksikan seluruh kawasan kejiranannya dimusnahkan oleh tentera Israel.

Pusingan rundingan seterusnya dijadual berlangsung pada awal September, menurut pegawai tersebut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita