Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Larangan eksport diesel tidak berkesan meski disokong Trump

Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat Chris Wright berkata larangan eksport diesel tidak akan berkesan dan boleh menyebabkan harga petrol serta bahan api jet meningkat, meskipun Presiden Donald Trump menyokong langkah tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Larangan eksport diesel tidak berkesan meski disokong Trump

Harga diesel dipaparkan di sebuah stesen minyak di Minneapolis, Amerika Syarikat, pada 4 September 2026, ketika harga bahan api itu mencecah paras tertinggi. (Gambar fail: AP/Ellen Schmidt)

Diterbitkan : 24 Sep 2026 11:39AM
  • Chris Wright berkata di New York pada 23 Sep bahawa larangan eksport diesel tidak berkesan kerana boleh memenuhi storan, mengurangkan operasi penapisan dan menaikkan harga petrol serta bahan api jet.
  • Cadangan itu muncul ketika harga diesel Amerika mencecah AS$6.52 segelen, naik 76 peratus setahun, akibat perang Amerika dan Israel dengan Iran serta perang di Ukraine.
  • Donald Trump menyokong larangan itu, manakala Scott Bessent berkata Washington menilai larangan penuh atau separa, dengan keputusan dasar mungkin diumumkan dalam beberapa hari.
  • Industri minyak dan penapisan, termasuk 36 kumpulan perniagaan, membantah kerana bimbang bekalan mengetat, kos pengguna naik dan negara pengeksport bahan api bertindak balas.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat Chris Wright berkata larangan eksport diesel tidak akan berkesan dan boleh menyebabkan harga petrol serta bahan api jet meningkat, meskipun Presiden Donald Trump menyokong langkah tersebut.

Harga diesel di Amerika melonjak ke paras tertinggi akibat perang Amerika dan Israel dengan Iran serta perang di Ukraine, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap para petani dan pengguna bahan api itu menjelang pilihan raya separuh penggal pada November.

"Langkah drastik untuk mengharamkan eksport diesel sememangnya tidak berkesan," kata Encik Wright dalam satu acara anjuran The Economist di New York pada Rabu (23 Sep).

Harga purata diesel di Amerika mencecah AS$6.52 (S$8.35) segelen pada Rabu (23 Sep), meningkat 76 peratus berbanding setahun lalu, menurut kumpulan permotoran AAA.

Encik Wright berkata jika diesel yang dihasilkan kilang penapisan Amerika tidak boleh dieksport, ruang penyimpanan akhirnya akan kehabisan dan pengeluaran kilang penapisan terpaksa dikurangkan.

Menurut beliau, keadaan itu boleh menyebabkan harga petrol dan bahan api jet meningkat.

TRUMP SOKONG LARANGAN EKSPORT

Encik Trump pada Selasa (22 Sep) menyatakan sokongannya terhadap larangan tersebut dengan berkata Amerika menghasilkan "banyak diesel".

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Scott Bessent pula berkata Washington sedang meneliti sama ada larangan penuh atau sebahagian boleh dilaksanakan berdasarkan kapasiti penapisan negara itu.

Encik Wright berkata pentadbiran Encik Trump terbuka kepada pelbagai cadangan bagi menurunkan harga bahan api dan pengumuman dasar dijangka dibuat dalam beberapa hari akan datang.

Pentadbiran itu sedang bekerjasama dengan industri penapisan bagi meningkatkan bekalan diesel dalam negeri menerusi pendekatan secara sukarela tanpa menggunakan langkah yang boleh mengurangkan pengeluaran kilang penapisan.

Namun, Encik Wright tidak memberikan butiran lanjut dan berkata belum ada keputusan dibuat.

Jabatan Tenaga Amerika berkata Encik Wright kekal sehaluan dengan Encik Trump dalam meneliti semua pilihan yang tersedia bagi menurunkan harga tenaga.

INDUSTRI MINYAK BANTAH LARANGAN

Industri minyak dan penapisan Amerika turut menggesa Encik Trump supaya menolak larangan eksport diesel.

Dalam sepucuk surat yang ditandatangani 36 kumpulan industri dan perniagaan, mereka memberi amaran bahawa sekatan eksport boleh mengurangkan pengeluaran bahan api, mengetatkan bekalan serta meningkatkan kos bagi keluarga, petani dan pemandu lori Amerika.

Menurut kumpulan tersebut, kilang penapisan Amerika kini beroperasi pada kapasiti penuh dan menghasilkan lebih banyak diesel daripada yang digunakan dalam negara.

Setakat minggu lalu, kilang penapisan Amerika beroperasi pada sekitar 94 peratus daripada kapasiti, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika.

Setiausaha Dalam Negeri Amerika Doug Burgum sebelum ini turut memberi amaran larangan eksport boleh mendorong negara-negara yang mengeksport bahan api ke Amerika mengambil tindakan balas.

Rumah Putih berkata Encik Trump mahu harga petrol di stesen minyak turun dan sedang menilai semua pilihan yang ada.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita