Perang Amerika, Israel dan Iran: Lapangan terbang Riyadh diserang lagi, sehari selepas 13 maut
Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, sekali lagi menjadi sasaran serangan pada Ahad (11 Okt), menyebabkan beberapa orang cedera, sehari selepas serangan yang meragut 13 nyawa dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Penyokong kumpulan Houthi berhimpun di Sanaa, Yaman, pada 7 Oktober 2026, ketika pertempuran semakin memuncak di beberapa kawasan. (Gambar fail: REUTERS/Mohammed al-Mahdi)
- King Khalid International Airport in Riyadh was attacked again on Sunday, a day after a deadly attack, with Terminal 4 catching fire and several people injured.
- The Houthis, through Yahya Saree, claimed responsibility for Saturday's attack and also said they had attacked Dammam airport and Saudi Aramco amenities.
- Saudi Arabia intercepted missiles and drones, while flights at Dammam were disrupted and security checks and damage assessments are still being conducted.
- The death toll from Saturday's attack rose to 13, schools in Riyadh were temporarily closed, and the Houthis warned of a bigger response if Saudi attacks continue.
- Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh diserang lagi pada Ahad, sehari selepas serangan maut, dengan Terminal 4 terbakar dan beberapa orang cedera.
- Houthi menerusi Yahya Saree mendakwa bertanggungjawab atas serangan Sabtu dan turut mengaku menyerang lapangan terbang Dammam serta kemudahan Saudi Aramco.
- Arab Saudi memintas peluru berpandu dan dron, sementara penerbangan Dammam terganggu serta pemeriksaan keselamatan dan penilaian kerosakan masih dijalankan.
- Korban serangan Sabtu meningkat kepada 13 orang, sekolah Riyadh ditutup sementara, dan Houthi memberi amaran tindak balas lebih besar jika serangan Arab Saudi berterusan.
RIYADH: Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, sekali lagi menjadi sasaran serangan pada Ahad (11 Okt), menyebabkan beberapa orang cedera, sehari selepas serangan yang meragut 13 nyawa dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Pasukan gabungan pimpinan Arab Saudi di Yaman menyatakan sebuah peluru yang tidak dikenal pasti mengenai Terminal 4 lapangan terbang itu sehingga mencetuskan kebakaran.
Pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi mengesahkan terdapat mangsa yang cedera, namun tidak menyatakan jumlahnya.
Penilaian terhadap kerosakan yang berlaku masih dijalankan.
Pasukan gabungan itu turut menyatakan bahawa sistem pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas sebuah peluru berpandu krus berhampiran lapangan terbang berkenaan.
Sebuah dron juga dipintas dan dimusnahkan di Wilayah Timur negara itu.
Lapangan terbang tersebut masih ditutup sejak serangan pada Sabtu (10 Okt).
HOUTHI DAKWA BERTANGGUNGJAWAB ATAS SERANGAN
Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen pada Ahad (11 Okt), jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, mendakwa kumpulan itu bertanggungjawab atas serangan pada Sabtu yang meragut 13 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang.
Beliau turut mendakwa kumpulan itu menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam serta dua kemudahan milik syarikat minyak Arab Saudi, Saudi Aramco.
Pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi kemudian mengesahkan serangan terhadap lapangan terbang di Dammam, sambil menyatakan pemeriksaan keselamatan dan penilaian kerosakan sedang dijalankan.
Menurut seorang saksi yang berada dalam pesawat di lapangan terbang itu, sebuah peluru mengenai kawasan landasan berhampiran beberapa pesawat yang diletakkan di situ sekitar 8.30 malam Ahad (11 Okt), lalu mencetuskan kebakaran.
Pesawat yang dinaiki saksi tersebut kemudian kembali ke pintu pelepasan sebelum para penumpang diarahkan meninggalkan lapangan terbang.
Laman penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan beberapa penerbangan dari dan ke Dammam mengalami kelewatan atau dibatalkan.
HOUTHI BERI AMARAN SERANGAN LEBIH HEBAT
Kumpulan Houthi turut memperbaharui amarannya kepada syarikat penerbangan, kakitangan lapangan terbang dan para penumpang supaya tidak menggunakan lapangan terbang di Arab Saudi.
Kementerian Luar yang dikendalikan kumpulan Houthi di Yaman memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan lanjut oleh Arab Saudi akan mencetuskan tindak balas lebih hebat.
Kumpulan itu mendakwa Arab Saudi melancarkan 124 serangan udara di Yaman dalam tempoh 24 jam, termasuk di ibu negara Sanaa dan kubu kuatnya di Saada.
Dakwaan tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.
Pertempuran antara kumpulan Houthi yang disokong Iran dengan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi semakin memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
ANGKA KORBAN MENINGKAT KEPADA 13 ORANG
Angka korban serangan pada Sabtu meningkat daripada 12 kepada 13 orang selepas Kedutaan India di Riyadh mengesahkan seorang rakyatnya yang cedera meninggal dunia.
Mangsa yang terkorban termasuk empat rakyat Arab Saudi, dua rakyat Bangladesh serta rakyat Amerika Syarikat, Jordan, Palestin, Syria, Sudan dan Mesir.
Serangan pada Sabtu (10 Okt) merupakan serangan ketiga terhadap lapangan terbang Riyadh dalam tempoh seminggu.
Dua serangan sebelumnya meragut empat nyawa, manakala sebuah pesawat komersial Arab Saudi mengalami kerosakan teruk.
Menyusuli ancaman keselamatan, pihak berkuasa Arab Saudi turut menggantung pembelajaran secara bersemuka di semua sekolah di Riyadh mulai Ahad (11 Okt) hingga Khamis (15 Okt), dengan pembelajaran dijalankan dari rumah.
Bagaimanapun, satu persidangan tenaga antarabangsa selama lima hari di Riyadh diteruskan seperti yang dirancang.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu (10 Okt) berkata Washington sedang mempertimbangkan untuk menyertai serangan Arab Saudi terhadap kumpulan Houthi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.