Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Laluan utama ke selatan Lubnan dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Laluan utama ke selatan Lubnan dibuka semula

Pasukan penyelamat berkumpul di tapak serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kawasan kejiranan di bandar pesisir pantai Tyre, selatan Lubnan, pada awal pagi 17 April 2026. (Gambar: Kawnat HAJU / AFP)

Diterbitkan : 17 Apr 2026 05:51PM Dikemas Kini : 17 Apr 2026 05:52PM
TYRE: Bersama ratusan warga lain yang terpaksa melarikan diri dari selatan Lubnan, Amani Atrash dan keluarganya menunggu dengan penuh harapan pada pagi Jumaat (17 Apr) sedang jentolak membuka semula jambatan Qasmiyeh.

Jambatan itu dibedil oleh Israel beberapa jam sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan.

Keluarganya adalah antara puluhan ribu orang yang berharap dapat pulang ke rumah selepas kehilangan tempat tinggal akibat perang antara Israel dengan Hezbollah - walaupun terdapat amaran supaya tidak pulang ke bahagian selatan daripada kumpulan tersebut, pegawai Lubnan, dan tentera Israel yang masih menduduki sebahagian kawasan itu.

"Kami bertolak sejam sebelum gencatan senjata bermula supaya kami dapat sampai ke jambatan sebaik sahaja ia dibuka untuk pulang ke bandar kami," kata Atrash, 37 tahun, yang melarikan diri ke utara semasa awal perang.

"Menunggu sangat sukar kerana kami mahu sampai ke sana secepat mungkin," katanya kepada AFP sambil menunggu di dalam kereta dalam barisan yang panjangnya sejauh beberapa kilometer ke arah timur laut bandar Tyre.

Gencatan senjata selama 10 hari antara Lubnan dan Israel mula berkuat kuasa pada tengah malam, beberapa jam selepas ia diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Gencatan senjata itu menamatkan perang yang bermula pada 2 Mac lalu selepas Hezbollah melancarkan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran pada permulaan perang di Timur Tengah. Israel membalas dengan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat di selatan.

Pihak berkuasa Lubnan berkata perang tersebut membunuh lebih 2,100 orang dan menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal, terutamanya dari kubu kuat Hezbollah di pinggir bandar Beirut dan selatan Lubnan.

"Perasaan kami tidak dapat digambarkan, rasa bangga dan kemenangan," kata Atrash dengan wajah ceria, sambil menambah beliau berharap gencatan senjata itu akan dilanjutkan.

"Tiada askar Israel boleh kekal di tanah kami, mereka mesti berundur supaya kami boleh hidup aman," tambahnya lagi. Beliau meramalkan perang akan kembali tercetus jika Israel mengekalkan tenteranya di kawasan itu, di mana Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berjanji untuk mengekalkan "zon keselamatan" sejauh 10 kilometer.

'SAYA AKAN PASANG KHEMAH'

Beberapa jam sebelum gencatan senjata diumumkan, pengeboman Israel ke atas jambatan Qasmiyeh - laluan utama merentasi Sungai Litani - memutuskan hubungan antara kawasan selatan daripada bahagian-bahagian lain.

Tiga buah jentolak, di bawah seliaan tentera Lubnan, dikerahkan sejak subuh untuk menimbus lubang besar kesan pengeboman tersebut.

Sebaik sahaja laluan itu boleh dilalui, motosikal dan kemudiannya kereta mula melintas secara satu persatu. Ada yang membunyikan hon tanda meraikan kemenangan sambil mengibarkan bendera kuning Hezbollah.

Menjelang pukul 9.00 pagi, lebuh raya yang menghubungkan bandar Sidon dan Tyre sesak sejauh beberapa kilometer dengan puluhan ribu kereta menghala ke selatan. Banyak kenderaan sarat dengan tilam, peralatan dapur, dan selimut.

Kebanyakan pelarian yang ditemui AFP tidak tahu apa yang berlaku kepada rumah mereka yang ditinggalkan secara terburu-buru semasa serangan Israel sepanjang enam minggu perang tersebut.

Antaranya ialah Ghufran Hamzeh yang menunggu di jambatan Qasmiyeh bersama anak lelakinya setelah datang dari Beirut.

"Semasa kami melarikan diri dahulu, ia mengambil masa 16 jam di jalan raya, dan hari ini keadaannya sama," katanya kepada AFP. "Tetapi itu tidak penting. Yang penting ialah kami dapat pulang ke kampung halaman kami sendiri."

"Saya tidak tahu jika rumah saya sudah musnah atau tidak," tambahnya. "Jika ia musnah sekalipun, ia tidak mengubah apa-apa. Saya akan pasang khemah di depannya dan tinggal di sana."

Sambil duduk di atas kepingan besi buruk di jalan yang dipenuhi serpihan konkrit jambatan yang dibom, dia tersenyum melihat jentolak yang dikerahkan ke kawasan itu.

"Mereka kata gencatan senjata ini untuk 10 hari, tetapi jika keadaan mengizinkan, kami akan kekal di sini dan tidak akan meninggalkan tanah air kami."

'TANGGUNG KESAN PERANG SEKALIPUN BUKAN SALAH KAMI'

Beberapa meter dari situ, Mohamad Abu Raya, bapa kepada tiga anak, berkongsi perasaan yang sama.

"Alhamdulillah kami dapat pulang ke rumah dengan kemenangan walaupun selepas dibedil," katanya kepada AFP.

"Tiada apa yang dapat menandingi kegembiraan dapat pulang, walaupun jika kami tidak menemui rumah kami lagi. Yang penting kami kembali ke kampung halaman kami. Kami akan duduk di atas runtuhan itu."

Israel membedil banyak jambatan lain di sepanjang Sungai Litani dalam masa beberapa minggu kebelakangan ini, dengan menuduh Hezbollah menggunakan jambatan tersebut untuk mengangkut senjata dan bantuan tentera.

Sambil menunggu untuk pulang ke kampungnya, Tamer Abdellatif Hamza, 77 tahun, tidak dapat menyembunyikan kemarahan atas penderitaan yang berpanjangan sebagai pelarian.

"Kami tidur di tepi pantai selama 10 hari. Tiada siapa pun pandang kami, tiada siapa bantu kami," katanya kepada AFP. "Semua rumah kami musnah, kami tidak punya apa-apa lagi."

"Kami menjadi pelarian selama 50 hari, dan hari ini kami rasa kami tidak mahu menjadi musuh Israel. Kami menanggung semua ini sekalipun bukan kesalahan kami."
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita