Perang Amerika, Israel dan Iran: Krisis tenaga Timur Tengah tingkatkan tumpuan kerjasama ASEAN
Gangguan terhadap bekalan tenaga dari Timur Tengah mendorong negara-negara Asia Tenggara untuk meningkatkan kerjasama serantau bagi memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga, termasuk menerusi bekalan gas yang lebih fleksibel dan perdagangan elektrik rentas sempadan.
Sebuah kapal membawa gas asli cecair (LNG) di perairan Singapura pada 2024. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
- Di Gastech Bangkok, pemerintah dan pemimpin industri berkata gangguan bekalan dari Timur Tengah menunjukkan Asia Tenggara perlu memperkukuh kerjasama tenaga serantau.
- Tengku Muhammad Taufik berkata negara Asia mungkin lebih bergantung pada jiran dan rakan jangka panjang untuk bekalan mampu bayar, stabil dan lebih hijau.
- Singapore GasCo mahu sumber gas lebih pelbagai, kontrak LNG fleksibel dan pilihan mengalih kargo ke negara jiran bagi menghadapi krisis pada kos lebih rendah.
- Sarawak mahu mengeksport elektrik serantau hingga 2030, manakala Amerika Syarikat menyatakan mampu menambah eksport LNG ke Asia melalui prasarana baharu.
Di persidangan tenaga Gastech di Bangkok minggu ini, pemerintah dan para pemimpin industri berkata krisis tersebut mendedahkan betapa rantau ini mudah terjejas oleh gangguan bekalan.
Mereka menekankan keperluan sumber tenaga yang lebih pelbagai sedang negara-negara berusaha memastikan bekalan kekal pada harga yang berpatutan, selain boleh dipercayai di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat.
KEBERGANTUNGAN LEBIH TINGGI TERHADAP NEGARA JIRAN
Presiden Petronas, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tenaga milik kerajaan Malaysia itu, Tengku Muhammad Taufik berkata tekanan yang dihadapi sistem tenaga boleh menyebabkan negara-negara Asia semakin bergantung pada satu sama lain.
“Saya rasa Asia akan menjadi jauh lebih bersifat serantau dan tidak lagi terlalu bergantung pada ekosistem global,” kata beliau semasa satu sesi panel yang dikendalikan CNA pada Isnin (14 Sep).
Tengku Taufik berkata tekanan yang dihadapi rantau ini akan mendorong penggubalan dasar-dasar yang bertujuan meningkatkan keupayaan untuk berdikari dan jaminan bekalan tenaga.
“Jadi, kita akan lebih bergantung pada negara-negara jiran, rakan dan rakan kongsi jangka panjang,” kata beliau sambil menambah bahawa negara-negara dengan keperluan tenaga terbesar akan meningkatkan kerjasama dan mengambil pendekatan lebih pragmatik terhadap kerjasama rentas sempadan.
Kenyataannya dibuat selepas gangguan selama berbulan-bulan di sekitar Selat Hormuz, di mana perang di Timur Tengah menjejas teruk penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) ke Asia.
Tengku Taufik menambah bahawa bekalan tenaga perlu sentiasa tersedia dan pada harga berpatutan, khususnya di rantau yang menyaksikan permintaan yang terus meningkat.
Pada masa yang sama, kata beliau, para pengeluar juga perlu memenuhi tuntutan dasar agar tenaga dibekalkan dengan cara yang lebih mesra alam.
SINGAPURA MAHUKAN BEKALAN GAS YANG LEBIH FLEKSIBEL
Keperluan untuk meningkatkan kerjasama turut membentuk pendekatan Singapura dalam menjamin bekalan gasnya.
Bercakap kepada Mediacorp di luar acara sidang puncak tersebut pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Singapore GasCo, Alan Heng berkata perang di Timur Tengah, bersama gangguan tenaga global menyusuli pencerobohan Rusia di Ukraine, mendorong Singapura untuk menilai semula cara membina daya tahan dalam sistem tenaganya.
Sekitar 95 peratus daripada tenaga elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli, yang diimport menerusi saluran paip dari Malaysia dan Indonesia, serta dalam bentuk gas asli cecair (LNG) daripada para pembekal global.
Encik Heng berkata Singapore GasCo berhasrat membangunkan portfolio bekalan daripada pelbagai lokasi dan pembekal bagi membantu menangani gangguan pada masa hadapan.
Namun, kata beliau, negara-negara di rantau ini juga perlu berganding bahu.
“Ini merupakan antara perkara yang tidak boleh kita lakukan secara bersendirian,” kata Encik Heng apabila ditanya berhubung kerjasama lebih erat dalam kalangan negara ASEAN dalam pemerolehan gas dan bekalan kecemasan.
“Dan jika anda mahu melakukannya secara bersendirian, kosnya tinggi.”
Encik Heng berkata ASEAN berada di landasan untuk menjadi pengimport bersih gas, sekali gus meningkatkan keperluan fleksibiliti dan kerjasama dalam kalangan negara-negara di rantau ini.
Salah satu pilihan adalah dengan mengubah syarat bagi pembelian gas.
Encik Heng berkata kontrak pada masa hadapan harus cukup fleksibel untuk membolehkan kargo gas asli cecair dialihkan ke negara jiran tanpa kos tambahan apabila bekalan diperlukan di negara tersebut.
“Ini bukan keadaannya pada masa ini, tetapi ia perlu berubah seiring dengan masa,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Encik Heng berkata Singapura akan terus memanfaatkan kontrak gas jangka panjang yang menawarkan kestabilan harga lebih baik, sambil mengekalkan fleksibiliti untuk membeli kargo di pasaran spot apabila perlu.
SARAWAK LIHAT PELUANG DALAM PERDAGANGAN ELEKTRIK SERANTAU
Kerjasama serantau yang lebih erat boleh diperluaskan melangkaui sektor gas.
Premier Sarawak Abang Johari Openg menggariskan hasrat negeri Malaysia itu untuk meningkatkan eksport elektrik kepada negara-negara jirannya semasa satu sesi perbincangan di persidangan tersebut pada Isnin.
Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga sekitar 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035, kata Encik Abang Johari.
Dengan penggunaan tempatan yang lebih rendah daripada paras tersebut, beliau berkata lebihan tenaga itu boleh menyokong usaha membangunkan sistem elektrik ASEAN yang lebih terhubung.
Sarawak sedang merancang untuk membekalkan tenaga elektrik kepada Singapura menerusi kabel dasar laut. Ia sudah mengeksport bekalan elektrik ke Kalimantan Barat di Indonesia.
Namun, Encik Abang Johari berkata membina sambungan fizikal antara negara hanyalah sebahagian daripada cabaran yang perlu ditangani.
“ASEAN perlu mempunyai (satu) rangka kerja, wadah bersama dan pemahaman bersama dalam kalangan negara anggota bagi keterhubungan ini,” kata beliau.
Negara-negara juga perlu mencapai persetujuan berhubung penetapan harga bagi tenaga elektrik yang diperdagangkan merentasi sempadan, tambah beliau.
Apabila ditanya sama ada rangka kerja kawal selia merupakan rintangan yang lebih besar berbanding pembiayaan, Encik Abang Johari bersetuju sambil mengatakan bahawa pemahaman yang dikongsi dalam kalangan negara ASEAN akan membolehkan mereka meningkatkan keterhubungan elektrik.
Menjelang 2030, Encik Abang Johari berkata beliau mahu Sarawak dikenali sebagai pembekal tenaga untuk ASEAN yang turut berkongsi sumber tenaga.
AMERIKA BOLEH MAIN PERANAN LEBIH BESAR DALAM BEKALAN TENAGA ASIA
Amerika Syarikat juga boleh memainkan peranan lebih besar dalam memenuhi keperluan tenaga Asia sedang para pembeli mencari sumber gas asli cecair yang lebih pelbagai.
Namun, perkembangan tersebut berlaku ketika Amerika Syarikat sendiri berdepan permintaan tenaga yang semakin meningkat, sebahagiannya didorong oleh perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Pertumbuhan pusat data serta tenaga elektrik yang diperlukan untuk mengendalikannya menjadi antara tema yang sering dibangkitkan di Gastech, dengan para eksekutif membincangkan bagaimana penjanaan tenaga dan prasarana grid dapat memenuhi peningkatan permintaan.
Pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga Persekutuan Amerika Syarikat, Laura Swett berkata pada Selasa bahawa negara itu boleh meningkatkan eksport gas ke Asia meskipun permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat daripada pusat data AI memberi tekanan ke atas sistem tenaga Amerika.
Ketika ditanya sama ada Amerika Syarikat boleh menampung perkembangan pesat AI di negaranya sambil meningkatkan eksport gas ke Asia, Cik Swett menjawab: “Ya, sudah tentu.”
Beliau berkata Amerika Syarikat mempunyai rizab gas asli yang besar dan prasarana merupakan kekangan utama dalam usahanya untuk membawa lebih banyak bekalan gas tersebut ke pasaran.
Agensinya telah menerima jumlah permohonan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi terminal eksport gas asli cecair dan saluran paip, kata beliau, dan permohonan itu kini diluluskan dengan lebih pantas berbanding sebelumnya.
Menjelang 2030, kata Cik Swett, sejumlah besar prasarana dijangka siap dibina, manakala kapasiti terminal eksport LNG sedia ada juga dijangka diperluaskan dengan ketara.
Ketika ditanya sama ada Amerika Syarikat mampu memenuhi keperluan gas asli cecair Asia menjelang 2030, beliau berkata: “Saya rasa kami sememangnya mampu.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.