Perang Amerika, Israel dan Iran: Korea Selatan, Iran bincang pelayaran bebas di Selat Hormuz
Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun dan rakan sejawatannya dari Iran Abbas Araghchi membincangkan keadaan di Timur Tengah, termasuk kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, menerusi panggilan telefon pada Jumaat (11 Sep).
Kapal-kapal berhampiran Selat Hormuz seperti dilihat dari Musandam, Oman, pada 2 September 2026. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)
- Menteri Luar Korea Selatan dan Iran berbincang melalui telefon mengenai situasi di Timur Tengah, khususnya kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
- Korea Selatan menyatakan sokongan terhadap keselamatan maritim dan sedang menilai kemungkinan menghantar tenteranya ke rantau tersebut.
- Iran memberi amaran bahawa kehadiran tentera Korea Selatan di Teluk akan dianggap menyokong Amerika Syarikat dan boleh membawa akibat serius.
- Setakat ini, Korea Selatan belum membuat keputusan mengenai pengerahan tentera dan kedua-dua negara bersetuju mengekalkan komunikasi terbuka.
Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, Encik Cho menyuarakan keprihatinan mendalam terhadap keadaan di rantau itu dan berharap keamanan serta kestabilan yang berkekalan dapat dipulihkan.
Beliau turut menegaskan Korea Selatan secara konsisten menyokong pelayaran yang bebas dan selamat bagi semua kapal serta mengambil bahagian dalam usaha antarabangsa untuk menyokong keselamatan maritim.
Encik Araghchi pula menjelaskan pendirian Iran mengenai perkembangan di rantau itu.
Kedua-dua menteri bersetuju untuk terus mengekalkan saluran komunikasi terbuka.
Panggilan tersebut diadakan atas permintaan Iran, menurut kementerian itu.
SEOUL PERTIMBANG PILIHAN TERMASUK LANGKAH KETENTERAAN
Perbincangan itu berlangsung selepas Korea Selatan menghantar pasukan pemeriksaan ke Timur Tengah bagi menilai sama ada tenteranya perlu dikerahkan ke rantau tersebut.
Pejabat Presiden Korea Selatan minggu lalu menyatakan Seoul sedang meneliti beberapa pilihan, termasuk langkah ketenteraan, bagi menyokong kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Langkah itu menyusuli keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ogos untuk mengurangkan latihan ketenteraan bersama Amerika-Korea Selatan.
Encik Trump mengkritik Seoul kerana tidak menyertai usaha Amerika semasa perang Iran dan turut membangkitkan kos latihan ketenteraan tersebut.
IRAN BERI AMARAN KEPADA KOREA SELATAN
Kementerian Luar Iran awal minggu ini memberi amaran bahawa sebarang kehadiran tentera Korea Selatan atau penyertaannya dalam operasi di Teluk dan Selat Hormuz akan dianggap sebagai menyokong "pencerobohan" Amerika.
Iran memberi amaran langkah sedemikian akan membawa akibat serius.
Pemerintah Korea Selatan bagaimanapun menegaskan bahawa belum ada keputusan dibuat mengenai sebarang pengerahan tentera.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.