Perang Amerika, Israel dan Iran: Konflik memuncak, kebimbangan meningkat terhadap angka korban awam
Peningkatan mendadak perang Iran sejak kebelakangan ini kembali menarik perhatian terhadap angka kematian dalam kalangan orang awam, selepas Iran melaporkan 18 orang terbunuh dalam serangan terbaharu Amerika Syarikat. Ini termasuk empat yang terkorban dan puluhan lagi yang cedera dalam satu majlis perkahwinan.
Orang ramai meninjau-ninjau kerosakan di sebuah bangunan yang menurut media Iran terkena serangan Amerika Syarikat ketika sebuah majlis perkahwinan sedang berlangsung di Kuhestak, selatan Iran, pada 2 September 2026. (Gambar fail: AP/Tasnim News Agency/Morteza Akhoondi)
Menteri Kesihatan Iran berkata 18 orang terbunuh dan 108 lagi cedera dalam serangan Amerika di seluruh Iran pada Selasa malam (1 Sep). Bulan Sabit Merah Iran pula memaklumkan empat orang terbunuh dan 67 lagi cedera dalam satu majlis perkahwinan berhampiran pantai Selat Hormuz.
Pertempuran yang kembali tercetus menyebabkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara di seluruh rantau tersebut. Iran turut melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap apa yang disifatkannya sebagai aset Amerika Syarikat di Bahrain, Jordan, Kuwait dan Iraq.
Pertempuran sebahagian besarnya terhenti sejak serangan balas pada Julai, namun rundingan damai gagal mencapai kemajuan dalam tempoh tersebut.
Presiden Amerika Donald Trump mengancam untuk menggunakan lebih banyak kekuatan ketenteraan, meskipun perang tersebut tidak mendapat sokongan di negaranya, selain menyebabkan harga petrol meningkat.
Iran pula terus bertegas dengan pendiriannya, meskipun mengalami kerugian besar dari segi ketenteraan dan ekonomi.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres "amat bimbang dengan laporan berhubung kematian orang awam, termasuk serangan yang dilaporkan ke atas sebuah majlis perkahwinan di Iran". Beliau turut menggesa tindakan ketenteraan dihentikan dengan serta-merta, menurut jurucakapnya Stephane Dujarric.
"Setiausaha Agung mengecam semua serangan terhadap orang awam. Beliau mengingatkan bahawa semua pihak mesti menghormati kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk prinsip pembezaan, perkadaran dan langkah berjaga-jaga," kata Encik Dujarric.
Angka kematian terbaharu itu adalah tambahan kepada 3,636 kematian yang direkodkan di Iran setakat 7 April, termasuk 1,701 orang awam, menurut Human Rights Activists News Agency (HRANA), sebuah kumpulan hak asasi bebas Iran.
Amerika pula melaporkan 18 anggota tenteranya terbunuh, dengan lebih 750 lagi cedera.
"Kami maklum mengenai laporan yang berasal daripada media pemerintah Iran. Tentera Amerika tidak pernah menyasarkan orang awam, tidak seperti IRGC," kata jurucakap Pemerintah Pusat Amerika, Kapten Tentera Laut Tim Hawkins, menerusi satu emel.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran mengeluarkan video yang menunjukkan serpihan bertaburan di atas tanah bersebelahan sebuah bangunan dengan lubang besar pada bumbungnya. Ia turut mengeluarkan gambar-gambar yang menunjukkan beberapa individu, termasuk mereka yang memakai jaket Bulan Sabit Merah, di sebuah bangunan yang rosak dan sebuah menara utiliti yang tumbang.
Reuters dapat mengesahkan lokasi tersebut menggunakan imej satelit.Menara yang tumbang tersebut terletak 136 meter dari bangunan yang rosak itu.
Kejadian di majlis perkahwinan itu mengingatkan kepada letupan di sebuah sekolah di Minab yang mengorbankan 160 orang di sebuah sekolah perempuan pada hari pertama perang.
Pentagon masih belum mengeluarkan dapatan rasmi berhubung serangan di Minab, yang mungkin menjadi sebuah kejadian melibatkan korban orang awam terbesar akibat tindakan tentera Amerika dalam tempoh beberapa dekad.
Serangan tersebut mungkin berpunca daripada penggunaan data sasaran yang sudah lapuk oleh Amerika, menurut dua sumber yang mengetahui tentang perkara tersebut kepada Reuters.
Anggota Parti Democrat di Kongres Amerika menggesa pihak pentadbiran supaya mengeluarkan hasil siasatan mengenai kejadian tersebut. Namun, laporan itu masih belum diserahkan kepada para penggubal undang-undang.
Pihak yang menyokong perang dengan Iran di Amerika pula membangkitkan kematian orang awam akibat tindakan pihak berkuasa Iran menyuraikan tunjuk perasaan yang melanda negara itu pada Disember dan Januari, sebelum Amerika dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.
HRANA menganggarkan lebih 7,000 orang terbunuh dalam tindakan tersebut, manakala kumpulan rakyat Iran dalam buangan menyatakan jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi.
Encik Trump menyifatkan usaha menggalak rakyat Iran untuk menggulingkan pemerintah mereka sebagai antara sebab di sebalik perang tersebut. Sebab-sebab lain termasuk untuk menghentikan program nuklear Iran dan menamatkan sokongannya terhadap kumpulan bersenjata di luar negara seperti Hamas, Hezbollah dan Houthi.
Iran turut bertindak balas terhadap serangan Amerika dengan mengancam mana-mana kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz tanpa kebenarannya. Langkah tersebut menyebabkan pergerakan kapal di laluan tersebut berkurangan dengan ketara. Sebelum perang, Selat Hormuz mengendalikan sekitar 20 peratus daripada bekalan minyak dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.