Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Khidmat kereta api Tehran-Mashhad digantung susuli serangan Amerika

Perkhidmatan kereta api antara Tehran dengan Mashhad digantung menyusuli serangan Amerika Syarikat, lapor televisyen negara pada Khamis (9 Jul), beberapa jam sebelum mantan Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei dijadual dikebumikan di bandar di timur Iran itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Khidmat kereta api Tehran-Mashhad digantung susuli serangan Amerika

Seorang lelaki mengibarkan bendera berhampiran makam Imam Reza sedang para pelayat tiba bagi upacara pengebumian pemimpin Iran, Ali Khamenei, dan anggota keluarganya di Mashhad pada 9 Julai 2026. (Gambar fail: AFP/Atta Kenare)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 03:05PM
TEHRAN: Perkhidmatan kereta api antara Tehran dengan Mashhad digantung menyusuli serangan Amerika Syarikat, lapor televisyen negara pada Khamis (9 Jul), beberapa jam sebelum mantan Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei dijadual dikebumikan di bandar di timur Iran itu.

Syarikat Kereta Api Republik Islam Iran menyalahkan "serangan jenayah oleh musuh Amerika Syarikat-Israel" di laluan tersebut dan memaklumkan bahawa pasukan pembaikan telah dihantar ke lokasi, menurut penyiar negara itu. Ia turut menambah bahawa pengangkutan darat sedang diatur bagi para penumpang yang terkandas.

Awal dari itu, Pengawal Revolusi Iran menuduh Amerika Syarikat menyasarkan "dua jambatan di wilayah timur yang menghala ke Mashhad dalam usaha menjejas" upacara pengebumian Almarhum Khamenei, menurut televisyen negara.

Pengebumian di Mashhad, tempat kelahiran mantan Pemimpin Tertinggi Iran, akan menjadi acara terakhir dalam siri upacara pengebumian yang berlangsung selama beberapa hari, selepas jenazah pemimpin Iran selama lebih tiga dekad itu ditempatkan di Tehran sebelum dibawa melalui ibu negara Iran dan bandar-bandar suci Iraq, Najaf dan Karbala.

Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari yang mencetuskan perang di Timur Tengah.

Walaupun Washington dan Tehran sudah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta memeterai satu memorandum persefahaman ke arah perjanjian damai bagi jangka panjang, Khamis menjadi malam kedua berturut-turut dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan.

Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menyatakan pihaknya menyerang sekitar 90 sasaran ketenteraan.

Sementara itu, Pengawal Revolusi Iran menyatakan mereka sudah melaksanakan serangan balas ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Kuwait dan Bahrain.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita