Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Keuntungan penghantar barang SG merosot 20%; kos meningkat akibat perang

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Keuntungan penghantar barang SG merosot 20%; kos meningkat akibat perang

Sebuah kapal kontena tiba di pelabuhan di Singapura. (Gambar fail: Reuters/Darren Whiteside)

Diterbitkan : 01 May 2026 02:45PM Dikemas Kini : 01 May 2026 02:47PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat penghantaran barang di Singapura melaporkan keuntungan mereka merosot kira-kira 20 peratus sedang perang yang berterusan di Timur Tengah meningkatkan kos bahan api dan pengangkutan.

Dalam sebilangan kes, kos meningkat seganda, manakala penghantaran mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke destinasi apabila syarikat merubah laluan kargo untuk mengelakkan kawasan berisiko tinggi di rantau ini.

Sesetengah pemain industri juga sedang menyesuaikan operasi masing-masing, sambil menyatakan gangguan mungkin berterusan.

LALUAN LEBIH JAUH, KOS LEBIH TINGGI

Satu kesan utama ialah gangguan kepada laluan yang melalui Terusan Suez, laluan penting yang menghubungkan Asia dengan Eropah, yang biasanya mengendalikan kira-kira 12 peratus perdagangan global.

Sejak perang Iran tercetus pada hujung Februari, syarikat penghantaran barang tempatan Penanshin Air Express mula melencongkan lebih banyak penghantaran di sekitar Cape of Good Hope di Afrika Selatan, berbanding mengambil laluan yang lebih pantas melalui terusan tersebut.

Ini menambah masa penghantaran selama beberapa minggu, kata pengarah eksekutif syarikat itu, Bernard Chan, kepada Mediacorp.

Penghantaran dari Eropah ke Singapura melalui Terusan Suez biasanya mengambil masa sekitar 21 hari, katanya. Dengan mengambil laluan lebih jauh di sekitar benua Afrika, ia akan mengambil masa 45 hingga 55 hari.

“Dengan masa transit yang lebih lama, (ia) bermakna mereka membakar lebih banyak bahan api. Jadi ia membawa kepada peningkatan kos,” tambah Encik Chan.

Beliau menarik perhatian bahawa harga diesel melonjak mendadak, sehingga mencapai kira-kira seganda paras biasa dalam beberapa kes.

Bagi kargo yang keluar masuk Timur Tengah, kesannya amat teruk, kata Encik Chan, sambil menambah bahawa penghantaran dari Dubai ke Singapura kadangkala dihadkan, dengan kargo tidak dapat dibawa melalui laut.

Kadar pengangkutan untuk penghantaran ke Timur Tengah juga melonjak, meningkat sehingga 10 kali ganda dalam beberapa kes, tambah Encik Chan.

Penanshin mula mengenakan bayaran tetap antara S$30 dengan S$50 bagi setiap penghantaran untuk mengimbangi perbelanjaan yang semakin meningkat.

Satu lagi syarikat penghantaran barang, Dimerco Express Group, berkata beberapa syarikat perkapalan sudahpun menggunakan laluan Cape of Hope sebelum perang semasa, selepas serangan sebelum ini ke atas kapal komersial di Laut Merah menjadikan Terusan Suez sebagai pilihan berisiko tinggi.

Sungguhpun begitu, kadar pengangkutan meningkat kira-kira 30 peratus dalam beberapa minggu kebelakangan ini di tengah-tengah perang terbaharu, kata Encik Bryann Lim, pakar jualan dan pemasaran global firma yang berpangkalan di Taiwan itu.

KARGO BERNILAI TINGGI DIUTAMAKAN

Perjalanan udara merentasi Timur Tengah juga terjejas teruk pada kemuncak konflik, termasuk di hab utama seperti Dubai, yang merupakan antara lokasi yang disasarkan dalam serangan peluru berpandu dan dron Iran.

Amiriah Arab Bersatu, serta beberapa negara lain, menutup ruang udara sementara syarikat penerbangan menggantung atau mengubah laluan penerbangan.

Rampasan kapal dan kos insurans yang lebih tinggi bagi kapal yang melintasi Selat Hormuz meningkatkan kebimbangan syarikat perkapalan.

Encik Lim dari Dimerco menambah bahawa banyak syarikat perkapalan mengelakkan pelabuhan di Timur Tengah seperti Dubai dan terus menuju ke Eropah dan Amerika Syarikat.

Namun bagi penghantaran segera - terutamanya untuk barangan elektronik seperti semikonduktor - pengangkutan udara menjadi huraian sementara kerana perjalanan udara sebahagiannya disambung semula berikutan gencatan senjata pada awal April antara Amerika Syarikat dengan Iran.

Pilihan ini biasanya dikhaskan untuk barangan segera atau bernilai tinggi, manakala kargo yang kurang sensitif masa mungkin ditahan sehingga keadaan bertambah baik, kata Encik Lim.

Pemain industri menyatakan tiada garis masa yang jelas bila keadaan di Timur Tengah akan stabil.

Sehingga itu, syarikat penghantaran barang menjangkakan tekanan berterusan terhadap keuntungan dan jadual penghantaran yang lebih panjang.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita