Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Ketua IEA beri amaran pasaran tenaga global berdepan “ketidakstabilan”

Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol pada Khamis (7 Mei) memberi amaran bahawa pasaran tenaga global sudah memasuki tempoh turun naik, menjanjikan pelepasan rizab strategik tambahan jika gangguan bekalan berterusan, lapor Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Ketua IEA beri amaran pasaran tenaga global berdepan “ketidakstabilan”

Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 08 May 2026 11:51PM
TORONTO: Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol pada Khamis (7 Mei) memberi amaran bahawa pasaran tenaga global sudah memasuki tempoh turun naik, menjanjikan pelepasan rizab strategik tambahan jika gangguan bekalan berterusan, lapor Xinhua.

“Pada pandangan saya, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah ketidakstabilan. Oleh itu, jaminan bekalan minyak akan terus menjadi isu penting,” kata beliau pada Sidang Puncak Pertumbuhan Kanada 2026.

Beliau berkata pasaran kini menghala ke arah “situasi yang mencabar” menyusuli perang Iran yang terus menjejaskan pengeluaran berjuta-juta tong minyak setiap hari.

Beliau menambah, sebarang pemulihan bekalan dijangka berlaku secara berperingkat selepas perang berakhir.

Menurut beliau, IEA bersedia untuk melepaskan lebih banyak rizab strategik sekiranya gangguan bekalan berterusan.

Agensi itu sebelum ini sudah melepaskan 20 peratus daripada rizab minyak yang tersedia bagi mengurangkan kenaikan harga.

Encik Birol turut menggesa Kanada, pengeluar minyak keempat terbesar dunia supaya mempelbagaikan destinasi eksport tenaganya, sambil menyatakan bahawa negara-negara yang mencari rakan tenaga yang boleh dipercayai menyusuli perang Iran akan melihat Kanada sebagai pilihan utama.

Semasa lawatannya ke Kanada, Encik Birol bertemu dengan Perdana Menteri Kanada Mark Carney serta pegawai kanan pemerintah negara itu di Ottawa bagi membincangkan krisis tenaga.

Perbincangan tertumpu kepada kesan gangguan di Selat Hormuz dan potensi Kanada untuk muncul sebagai pengeksport tenaga global utama bagi menampung kekurangan bekalan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita