Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Ketegangan kembali memuncak; rundingan temui jalan buntu

Ketegangan di Teluk kembali memuncak pada Rabu (3 Jun), dengan tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa serangan peluru berpandu Iran ke atas Bahrain, Kuwait dan sasaran lain di rantau itu berjaya dipatahkan atau gagal mencapai sasarannya, sedang usaha diplomatik antara Washington dengan Tehran menunjukkan sedikit kemajuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Ketegangan kembali memuncak; rundingan temui jalan buntu

Asap tebal kelihatan di selatan Lubnan menyusuli serangan Israel, seperti yang dilihat dari Nabatieh, Lubnan, pada 2 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Stringer)

DUBAI: Ketegangan di Teluk kembali memuncak pada Rabu (3 Jun), dengan tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa serangan peluru berpandu Iran ke atas Bahrain, Kuwait dan sasaran lain di rantau itu berjaya dipatahkan atau gagal mencapai sasarannya, sedang usaha diplomatik antara Washington dengan Tehran menunjukkan sedikit kemajuan.

Dua peluru berpandu Iran yang dilancarkan ke arah Kuwait gagal sampai ke sasaran atau berkecai ketika dalam penerbangan, beberapa peluru berpandu balistik yang disasarkan ke lokasi lain di rantau itu gagal berfungsi, manakala tiga peluru berpandu yang menuju ke Bahrain berjaya dipintas, menurut Markas Pusat Amerika Syarikat.

Sejak perang itu bermula pada penghujung Februari, Iran berulang kali menyerang sasaran di Bahrain dan Kuwait, yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Menurut Markas Pusat, tentera Amerika Syarikat turut menembak jatuh dron Iran yang menyasarkan kapal-kapal awam di perairan rantau tersebut serta melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap cubaan serangan Iran.

Kejadian itu merupakan yang terbaharu dalam beberapa siri peningkatan ketegangan yang berlaku sebelum ini. Lebih tiga bulan selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, perang tersebut masih menemui jalan buntu, dengan gencatan senjata yang rapuh masih berkuat kuasa sementara Selat Hormuz sebahagian besarnya kekal ditutup kepada trafik maritim.

Iran dan Amerika Syarikat menyatakan minggu lalu bahawa mereka sudah mencapai persetujuan awal bagi menghentikan perang tersebut. Namun kedua-dua pihak masih belum memeterai perjanjian berkenaan.

Media Iran melaporkan bahawa Tehran tidak berhubung dengan Washington sejak beberapa hari lalu, namun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata rundingan tidak pernah terhenti.

“Perbincangan antara kami berlangsung secara berterusan, termasuk empat hari lalu, tiga hari lalu, dua hari lalu, semalam dan hari ini,” kata beliau dalam satu catatan di media sosial.

PERBINCANGAN MENGENAI PROGRAM NUKLEAR

Sejak pertengahan Mac, Trump berulang kali berkata beliau hampir mencapai satu perjanjian yang akan menamatkan pertempuran dan membolehkan para perunding menangani isu-isu rumit, termasuk masa depan program nuklear Iran.

Trump berkata menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear merupakan keutamaan utamanya. Iran menafikan bahawa ia sedang membangunkan bom nuklear dan menegaskan bahawa program atomnya adalah untuk tujuan aman.

Tehran sedang berusaha mendapatkan akses kepada berbilion dolar hasil minyak, pengecualian bagi eksport minyak mentah, penamatan sekatan AS ke atas pelabuhannya serta mengekalkan pengaruhnya ke atas Selat Hormuz.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio memberitahu para penggubal undang-undang pada Selasa bahawa AS hanya akan bersetuju untuk melonggarkan sekatan jika Iran bersetuju menghentikan aktiviti nuklearnya.

Rubio mengisytiharkan bahawa “perang sudah berakhir” semasa pertikaman lidah dengan Senator Demokrat dari New Jersey, Cory Booker, yang tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

ISRAEL TERUSKAN SERANGAN DI LUBNAN

Perang yang bermula pada 28 Februari itu sudah mengorbankan ribuan nyawa, terutamanya di Iran dan Lubnan. Ia turut memberi kesan kepada ekonomi global dengan menyebabkan kenaikan harga tenaga menyusuli penutupan Selat Hormuz oleh Iran, yang sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.

Ia juga mencetuskan pusingan terbaharu konflik antara Israel dengan kumpulan bersenjata Lubnan, Hezbollah, dengan Israel melancarkan pencerobohan paling jauh ke dalam Lubnan dalam tempoh 25 tahun.

Pada Selasa, Israel meneruskan serangan ke atas beberapa bandar di selatan Lubnan, menurut sumber keselamatan Lubnan, meskipun Amerika Syarikat mengisytiharkan gencatan senjata separa yang diusahakannya pada Isnin.

Pengumuman itu gagal meyakinkan ramai rakyat Lubnan, dengan 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. kehadiran dron Israel di ruang udara Beirut juga terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk pada Selasa.

“Setiap kali kami kembali ke rumah, akan ada amaran supaya kami berpindah semula,” kata Faten Al Chehime, yang melarikan diri ke sebuah kem petempatan sementara dari rumahnya di pinggir selatan Beirut pada Isnin, hanya dua minggu selepas beliau kembali ke kawasan itu.

Di laut pula, syarikat perkapalan terbesar dunia, MSC, menyatakan pada Selasa bahawa salah sebuah kapalnya terkena dua peluru ketika berada di pelabuhan Umm Qasr di Iraq sehari sebelumnya.

Pengawal Revolusi Iran menyatakan, mereka melancarkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas sebuah kapal Iran di Teluk Oman.

Kesan meluas krisis tersebut turut didedahkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang menyatakan bahawa peningkatan kos pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan sedang menjejaskan penghantaran bantuan yang menyelamatkan nyawa ke Gaza, Lubnan, Republik Demokratik Congo, Mali, Somalia, Sudan Selatan, Nigeria dan beberapa kawasan lain.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita