Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Kedutaan Iran nafi tentera serang kapal Korea Selatan di Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Kedutaan Iran nafi tentera serang kapal Korea Selatan di Selat Hormuz

Kapal berdaftar Panama, HMM Namu, di Guangzhou, Wilayah Guangdong, China, 5 Jan 2026. (Gambar fail: Reuters/HMM Handout)

SEOUL: Kedutaan Iran pada Khamis (7 Mei) menafikan bahawa angkatan tenteranya terlibat dalam letupan ke atas sebuah kapal Korea Selatan di Selat Hormuz pada minggu ini.

Letupan dan kebakaran itu berlaku pada Isnin (4 Mei) di atas kapal kargo HMM Namu yang menggunakan bendera Panama. Kapal tersebut membawa 24 anak kapal semasa kejadian.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kemudian mendakwa bahawa Iran "melepaskan tembakan" ke arah kapal itu. Beliau turut menggesa Korea Selatan supaya menyertai operasi Amerika bagi memulihkan keadaan lalu lintas perkapalan di laluan air tersebut yang kini hampir ditutup sepenuhnya.

Kedutaan Tehran dalam satu kenyataan pada Khamis berkata pihaknya "menolak keras dan menafikan sebarang dakwaan mengenai pelibatan angkatan tentera Republik Islam Iran dalam insiden kerosakan kapal Korea di Selat Hormuz."

Sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada hujung Februari lalu, Tehran berulang kali menegaskan bahawa Selat Hormuz adalah sebahagian penting daripada kawasan pertahanannya.

Menurut pihak kedutaan lagi, laluan selamat melalui Selat Hormuz memerlukan kepatuhan penuh terhadap peraturan yang ditetapkan. Tambah mereka, sebarang tindakan yang tidak mempedulikan peraturan dan realiti operasi di kawasan itu boleh menyebabkan berlakunya insiden yang tidak disengajakan.

"Tanggungjawab terhadap kesan daripada tindakan tersebut terletak di bahu pihak yang meneruskan perjalanan atau aktiviti di kawasan itu tanpa menghiraukan perkara-perkara berkenaan," jelas kenyataan itu.

Selepas kenyataan Encik Trump itu, Korea Selatan menyatakan ia akan "menyemak semula kedudukannya" untuk menyertai operasi Amerika bagi mengiringi kapal-kapal di selat tersebut.

Bagaimanapun, Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Wi Sung-lac, berkata pada Rabu bahawa semakan tersebut tidak lagi perlu memandangkan program yang dinamakan "Projek Freedom" itu sudah digantung.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita