Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal tangki minyak terkena 'peluru berpandu sesat' di Selat Hormuz

Sebutir "peluru berpandu sesat" terkena lalu menyebabkan kebakaran di atas sebuah kapal tangki minyak di pesisir pantai Oman berhampiran Selat Hormuz pada Isnin (6 Jul), menurut agensi keselamatan maritim Britain UKMTO.

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal tangki minyak terkena 'peluru berpandu sesat' di Selat Hormuz

Sebuah kapal tangki minyak berlabuh di Selat Hormuz di Bandar Abbas, Iran pada 2 Mei 2026. (Gambar fail: AP/Amirhosein Khorgooi)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 12:00PM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 12:06PM
LONDON: Sebutir "peluru berpandu sesat" terkena lalu menyebabkan kebakaran di atas sebuah kapal tangki minyak di pesisir pantai Oman berhampiran Selat Hormuz pada Isnin (6 Jul), menurut agensi keselamatan maritim Britain UKMTO.

Kejadian itu berlaku berhampiran salah satu laluan penghantaran bekalan tenaga paling penting di dunia, walaupun gencatan senjata masih dikuatkuasakan antara Amerika Syarikat dengan Iran dan terdapat usaha berterusan bagi mencapai perjanjian damai yang berkekalan.

Operasi Perdagangan Maritim Britain (UKMTO) menyatakan kejadian itu berlaku lapan batu nautika dari timur Limah, Oman.

"Sebuah kapal tangki dilaporkan terkena peluru berpandu sesat di bahagian pelabuhan yang mencetuskan kebakaran, ketika ia sedang menuju ke bahagian selatan," menurut UKMTO dalam satu catatan di platform X.

"Kapal-kapal dinasihatkan supaya belayar dengan penuh berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada UKMTO," menurut agensi tersebut, sambil menambah pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

Selat Hormuz menjadi tumpuan ketegangan perang di Timur Tengah, apabila Iran menyekat laluannya dan sejumlah kapal komersial diserang, menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.

Amerika Syarikat bertindak balas dengan melaksanakan kepungan dan kemudian melancarkan serangan balas terhadap Iran selepas menuduh Tehran menyasarkan kapal-kapal komersial.

Trafik maritim kembali pulih selepas Washington dan Tehran memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) pada bulan lalu yang bertujuan untuk menamatkan konflik dan membuka semula laluan strategik itu.

Namun, Iran menegaskan keadaan tidak akan kembali ke situasi sebelum perang, di mana kapal-kapal dapat belayar secara bebas di selat itu.

Tehran juga memberi amaran kepada kapal-kapal supaya jangan menggunakan laluan di luar koridor yang telah diluluskannya.

Selat Hormuz adalah gerbang maritim utama bagi eksport tenaga dari Teluk ke pasaran antarabangsa, khususnya di Asia.

Sekitar 20 juta tong minyak mentah melalui laluan itu setiap hari pada 2024, membentuk kira-kira seperlima daripada bekalan minyak mentah dunia, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat.
Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita