Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal tangki minyak Kuwait terbakar di Pelabuhan Dubai susuli serangan Iran

Iran menyerang sebuah kapal tangki minyak mentah yang sarat dengan muatan di tempat kapal berlabuh di Pelabuhan Dubai pada Isnin (30 Mac), menyebabkan ia terbakar dan merosakkan badan kapal berkenaan, lapor agensi berita negara Kuwait, memetik Kuwait Petroleum Corp (KPC) yang turut memberi amaran berhubung kemungkinan berlakunya tumpahan minyak.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal tangki minyak Kuwait terbakar di Pelabuhan Dubai susuli serangan Iran

Sebuah kapal layar melewati kepulan asap yang naik dari Pelabuhan Jebel Ali pada 1 Mac 2026. (Gambar fail: AFP/Fadel Senna)

Diterbitkan : 31 Mar 2026 09:25AM Dikemas Kini : 31 Mar 2026 01:25PM
DUBAI: Iran menyerang sebuah kapal tangki minyak mentah yang sarat dengan muatan di tempat kapal berlabuh di Pelabuhan Dubai pada Isnin (30 Mac), menyebabkan ia terbakar dan merosakkan badan kapal berkenaan, lapor agensi berita negara Kuwait, memetik Kuwait Petroleum Corp (KPC) yang turut memberi amaran berhubung kemungkinan berlakunya tumpahan minyak.

Serangan tersebut merupakan yang terkini dalam rentetan serangan ke atas kapal-kapal dagang menggunakan peluru berpandu atau letupan dron di udara dan laut di Teluk serta Selat Hormuz sejak Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat meningkat lebih AS$3 (S$3.87) atau 2.9 peratus kepada AS$105.91 (S$136.76) setong menyusuli berita berhubung serangan ke atas kapal tangki berbendera Kuwait, Al-Salmi.

Pihak berkuasa Dubai mengesahkan pihaknya sedang menangani satu serangan dron ke atas sebuah kapal tangki minyak Kuwait di perairan Dubai dan pasukan pemadam kebakaran maritim sedang berusaha untuk mengawal kebakaran tersebut.

Tiada kecederaan dilaporkan, dan keselamatan kesemua 24 anak kapal sudah dapat dipastikan, menurut pihak berkuasa.

Usaha sedang dijalankan untuk menilai secara tepat tahap kerosakan pada kapal tangki tersebut, menurut KPC, yang menurut data Lloyd’s List Intelligence merupakan syarikat induk kepada pemilik berdaftar dan pengendali komersial kapal berkenaan.

Pegawai Iran tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Terdahulu pada Isnin, sebuah kapal kontena milik Greece yang berada di luar pesisir Ras Tanura, Arab Saudi melaporkan dua kejadian berasingan di mana peluru gugur di atas permukaan air berhampiran kapal itu, menurut pakar keselamatan maritim.

Seorang wakil kapal Express Rome berbendera Liberia pula melaporkan dua peluru yang tidak dikenali jatuh ke dalam air berhampiran kapal kontena tersebut kira-kira 40.7 kilometer di timur laut Ras Tanura pada pukul 1.52 petang GMT (pukul 9.52 malam waktu Singapura).

Kejadian tersebut berlaku dalam tempoh satu jam antara satu sama lain dan anak kapal dilaporkan selamat, menurut kumpulan pengurusan risiko maritim Britain, Vanguard.

Pengawal Revolusi Iran sebelum ini mendakwa bahawa ia menyerang Express Rome pada 11 Mac, menurut Vanguard.

Pengendali Express Rome tidak memberikan sebarang komen segera.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas kapal tangki minyak tersebut atau peluru yang dilepaskan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita