Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal tangki diserang di Selat Hormuz sedang rakyat Iran berkabung atas kematian Ali Khamenei
Rakyat Iran hadiri upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei, yang dibunuh pada 28 Feb dalam serangan udara Israel & Amerika, di Masjid Jamkaran di Qom, Iran, 7 Jul 2026. (Gambar: Reuters/Office of the Iranian Supreme Leader/WANA (West Asia News Agency))
Pada masa yang sama, jutaan rakyat Iran berikrar untuk membalas dendam dalam upacara pengebumian pemimpin mereka yang terbunuh, yang berlangsung selama seminggu.
Kapal tangki gas asli cecair (LNG) milik Qatar, Al Rekayyat, melaporkan bahawa ia telah diserang pada waktu malam dan bilik enjinnya terbakar.
Sumber keselamatan maritim menyatakan sebuah kapal tangki minyak mentah milik Arab Saudi turut mengalami kerosakan.
"Mayday mayday mayday. Ini adalah kapal Al Rekayyat, kapal LNG Al Rekayyat. Kami telah diserang oleh dron di bahagian kiri kapal (port side), di atas bilik enjin," kata kapten kapal Rekayyat dalam satu rakaman panggilan radio yang disemak oleh Reuters.
"Status: bilik enjin terbakar dan penuh dengan asap. Tidak dapat menilai kerosakan lanjut."
Beliau berkata kesemua kru berada dalam keadaan selamat tetapi kapal tersebut telah lumpuh tanpa enjin atau sistem kemudi, dan meminta bantuan daripada mana-mana kapal yang berada di kawasan berhampiran.
Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Laman berita Axios melaporkan bahawa Iran telah menembak ke arah dua buah kapal itu. Sekalipun demikian, pihak Washington mahupun Tehran tidak memberikan ulasan secara langsung mengenai laporan berkenaan.
Insiden tersebut merupakan serangan pertama yang dilaporkan di selat itu sejak tempoh berkabung untuk pemimpin agung Iran bermula minggu lalu. Ia menjadi peringatan bahawa isu perkapalan di Teluk masih belum selesai selepas lebih empat bulan Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang, yang menurut mereka bertujuan untuk menghalang Iran daripada mengancam negara-negara jiran.
RATUSAN RIBU RAKYAT PENUHI JALAN RAYA DI QOM
Pemerintah agama Iran kini melaksanakan kawalan baharu ke atas laluan perkapalan tenaga yang paling penting di dunia itu.
Mereka bertujuan untuk memasang sistem kekal bagi mengutip bayaran, yang mana langkah ini akan mengubah imbangan kuasa secara besar-besaran di rantau di mana Washington telah bertindak sebagai penjamin keselamatan selama beberapa generasi.
Kepimpinan Iran menunjukkan kawalan teguhnya ke atas negara itu sepanjang minggu berkabung untuk Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh bersama anak perempuan, cucu perempuan, menantu lelaki, dan menantu perempuannya pada hari pertama peperangan.
Keranda pemimpin yang terbunuh bersama keluarganya itu dibawa berarak melalui jalan-jalan di bandar Qom pada Selasa, di mana ratusan ribu orang membawa bendera dan sepanduk yang menyamakan Khamenei dengan para syuhada yang kematian mereka menjadi asas kepada mazhab Syiah.
Dalam laungan mereka, rakyat Iran berikrar untuk membalas dendam atas kematian Ali Khamenei. Sesetengah daripada mereka membawa cogan kata dan sepanduk bertulis "BUNUH TRUMP".
Perarakan pengebumian besar-besaran yang serupa turut diadakan di jalan-jalan di Tehran pada Isnin, menyusuli acara pengebumian yang lebih rasmi bermula Jumaat lalu, yang dihadiri oleh tokoh-tokoh tertinggi dalam kepimpinan Iran serta orang kenamaan dari luar negara.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa jenazah pemimpin Iran itu akan dibawa ke kota-kota suci Syiah di negara jiran, Iraq, sebelum dibawa pulang ke Iran untuk disemadikan di sebuah makam purba.
TRUMP: "BUAT PERJANJIAN ATAU KAMI AKAN SELESAIKAN TUGAS INI"
Peperangan tersebut dihentikan seketika di bawah perjanjian damai sementara yang dicapai bulan lalu, yang bertujuan untuk menyediakan tempoh 60 hari bagi rundingan perjanjian kekal. Pusingan rundingan tidak langsung di Qatar berakhir minggu lalu tanpa sebarang tanda kemajuan ke arah keamanan yang berkekalan.
Encik Trump berulang kali mengancam untuk menyambung semula pengeboman, yang terbaharu pada Isnin apabila beliau memberitahu wartawan : "Sama ada kita buat perjanjian atau kita akan selesaikan tugas ini... Kami boleh meruntuhkan jambatan mereka dalam masa satu jam, kami boleh memusnahkan bekalan tenaga mereka."
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, berkata bahawa di bawah syarat-syarat memorandum gencatan senjata sementara, rundingan mengenai perjanjian akhir "tidak akan bermula jika ancaman berterusan".
"Hormati tandatangan anda," tulis beliau di laman X.
Harga minyak, yang kembali ke paras sebelum perang sejak perjanjian sementara bulan lalu membenarkan kapal-kapal kembali belayar melalui selat itu, meningkat sekitar 1 peratus pada Selasa menyusuli insiden di laluan air berkenaan.
Semasa melancarkan perang empat bulan lalu, Encik Trump menyatakan matlamatnya adalah untuk memusnahkan program nuklear dan peluru berpandu Iran, menamatkan keupayaannya untuk mengancam jiran-jiran, serta mewujudkan keadaan bagi rakyat Iran menjatuhkan pemimpin mereka.
Tiada satu pun daripada objektif tersebut telah dicapai, walaupun Washington menyatakan perjanjian kekal akan menghentikan program Iran yang didakwa boleh menghasilkan senjata nuklear - perkara yang dinafikan oleh Iran dengan menyatakan mereka tidak pernah berhasrat sedemikian.
Meskipun selepas lima hari berkabung, kelibat anak lelaki dan pengganti Ali Khamenei, Encik Mojtaba Khamenei, masih belum kelihatan di khalayak ramai.
Beliau dipercayai mengalami kecacatan akibat kecederaan dalam serangan yang sama dan masih belum ditunjukkan dalam mana-mana imej sejak perang bermula. Tiga lagi anak lelaki pemimpin yang terbunuh itu dilihat menunaikan solat di hadapan keranda pada Ahad.
Pemimpin Iran menggambarkan perhimpunan pengebumian besar-besaran itu sebagai bukti perpaduan nasional susulan serangan Amerika Syarikat-Israel, walaupun adalah sukar untuk menilai sejauh mana dalamnya kesetiaan itu di sebuah negara di mana media dan komunikasi dikawal ketat.
Hanya beberapa minggu sebelum perang bermula, pihak berkuasa Iran membunuh ribuan penunjuk perasaan untuk meredakan bantahan anti-pemerintah yang terbesar dalam sejarah negara itu, namun tiada tanda-tanda penentangan yang teratur kelihatan di Iran sejak perang bermula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.