Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal serangan amfibia Amerika tiba di Timur Tengah

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal serangan amfibia Amerika tiba di Timur Tengah

(Gambar: CENTCOM\X)

Diterbitkan : 29 Mar 2026 02:50PM Dikemas Kini : 29 Mar 2026 02:51PM
  • Kapal USS Tripoli milik Amerika Syarikat tiba di Timur Tengah pada 27 Mac, membawa kira-kira 3,500 pasukan ekspedisi dan aset taktikal.
  • Pengerahan ini berlaku ketika Amerika dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran sejak 28 Februari, menyebabkan lebih 1,340 korban termasuk Ayatollah Ali Khamenei.
  • Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan tentera Amerika.
  • Konflik ini menyebabkan kerosakan infrastruktur, korban jiwa, serta menjejas pasaran global dan penerbangan.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Sebuah kapal serangan amfibia Amerika Syarikat yang membawa beribu-ribu pasukan ekspedisi tiba di Timur Tengah, menurut Markas Pusat (CENTCOM) Amerika pada Sabtu (28 Mac), lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Pelayar dan Marin Amerika di atas kapal USS Tripoli (LHA 7) tiba di kawasan tanggungjawab Markas Pusat Amerika Syarikat, 27 Mac,” menurut CENTCOM dalam kenyataannya.

USS Tripoli berfungsi sebagai kapal utama untuk pasukan ekspedisi kira-kira 3,500 anak kapal dan Marin, beserta pesawat pejuang pengangkutan dan serangan serta aset amfibia dan taktikal, menurut CENTCOM.

Pengerahan itu dibuat sedang Amerika dan Israel meneruskan serangan bersama ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari, mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan tentera Amerika, menyebabkan korban dan kerosakan pada infrastruktur.

Beberapa letupan kedengaran di ibu negara Iran sedang serangan Amerika Syarikat-Israel berterusan, lapor Anadolu Ajansi, memetik media Iran pada Ahad (29 Mac).

Menurut Agensi Berita Fars, letupan dilaporkan berlaku di pelbagai bahagian di Tehran.

Beberapa bandar, termasuk Isfahan, Tabriz dan Qom, turut menjadi sasaran serangan sepanjang malam, menurut Nournews yang berpangkalan di Iran.

Ketegangan serantau kian meruncing sejak Israel dan Amerika melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari.

Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera Amerika Syarikat.

Konflik menyebabkan korban dan kerosakan pada infrastruktur, selain menjejas pasaran global dan penerbangan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita