Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal induk tentera Amerika tiba di Thailand selepas 9 bulan di laut

Sebuah kapal induk Amerika Syarikat yang mencetuskan kontroversi berhubung keadaan di atas kapal tiba di Thailand pada Rabu (2 Sep) bagi persinggahan pertamanya di sebuah pelabuhan dalam tempoh sembilan bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Kapal induk tentera Amerika tiba di Thailand selepas 9 bulan di laut

Kapal-kapal tunda menyambut kapal induk Tentera Laut Amerika Syarikat USS Abraham Lincoln ketika ia tiba di pelabuhan Laem Chabang, Chonburi, Thailand, pada 2 September 2026. (Gambar: AP/Sakchai Lalit)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 12:41PM
LAEM CHABANG: Sebuah kapal induk Amerika Syarikat yang mencetuskan kontroversi berhubung keadaan di atas kapal tiba di Thailand pada Rabu (2 Sep) bagi persinggahan pertamanya di sebuah pelabuhan dalam tempoh sembilan bulan.

Seramai 5,000 kelasi dan anggota Marin di atas USS Abraham Lincoln, yang tiba dari medan perang di Timur Tengah, akan melakukan perjalanan ke pusat peranginan Pattaya di Thailand, yang menjadi lokasi untuk berehat dan beriadah bagi anggota tentera Amerika sejak Perang Vietnam.

Kapal tunda memandu kapal induk berkuasa nuklear yang besar itu menuju ke pelabuhan Laem Chabang pada pagi Rabu, dengan puluhan pesawat perang tersusun di dek penerbangannya, menurut wartawan AFP yang berada di lokasi.

"Ketibaan kami di Laem Chabang memberi peluang yang sewajarnya kepada para kelasi dan anggota Marin kami untuk berehat dan memulihkan tenaga," kata Laksamana Muda Robert Loughran, komander Kumpulan Tempur Kapal Induk 3 Amerika Syarikat, dalam satu kenyataan.

Pegawai yang menerajui USS Abraham Lincoln, Kapten Dan Keeler, menambah bahawa persinggahan pertama kapal tersebut sepanjang "penugasan bersejarah" - selepas 286 hari berada di laut - akan membolehkan "anak kapal kami menikmati keindahan dan sejarah negara ini".

Seorang pegawai di Pattaya berkata kapal tersebut dijadual berlabuh sejurus sebelum tengah hari.

USS Abraham Lincoln meninggalkan California pada November 2025 untuk menjalankan tugas di Laut China Selatan sebelum diarahkan ke Timur Tengah menjelang serangan Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang bermula enam bulan lalu.

Laporan berhubung keadaan hidup yang semakin merosot serta masalah kesihatan mental di atas kapal - termasuk percubaan membunuh diri - menjadi isu utama di Amerika Syarikat dan mencetuskan kecaman terhadap perang Presiden Donald Trump dengan Iran.

Pattaya amat popular dalam kalangan pelancong asing dan terkenal dengan pantai serta hiburan sebelah malam yang sejak sekian lama menjadi perhatian disebabkan oleh isu pelancongan seks.

Datuk Bandar Pattaya, Poramase Ngampiches, memberitahu AFP minggu ini bahawa tindakan membanteras pekerja seks dipertingkatkan baru-baru ini, namun menyangkal bahawa ia mempunyai kaitan dengan ketibaan para anggota tentera Amerika Syarikat.

Di luar sebuah bar di pusat peranginan tersebut pada Selasa, terpampang sebuah papan tanda yang bertulis: "Selamat datang kepada semua anggota tentera Amerika Syarikat. Terima kasih atas khidmat anda."

KESELAMATAN DAN HARGA BERPATUTAN

Datuk Bandar itu berkata bas disediakan untuk membawa para kelasi dari kapal ke Pattaya dan kembali semula sehingga kapal induk tersebut berlepas pada Ahad.

"Mereka datang untuk berehat," kata Encik Poramase dalam sebuah video yang dimuat naik ke Facebook.

"Persiapan kami akan memberi tumpuan kepada keselamatan dan memastikan harga yang berpatutan, supaya mereka tidak diperdayakan."

Beliau berkata para kelasi dilarang menyertai kegiatan sukan air seperti jet ski serta mengambil kesempatan daripada undang-undang ganja Thailand yang longgar.

Namun, beliau menggalakkan mereka menikmati pelbagai daya tarikan di bandar itu, daripada pusat beli-belah hingga tempat keagamaan.

"Kami berbesar hati menerima perniagaan daripada sesiapa sahaja," kata Nicko, pemilik sebuah bar go-go di Pattaya yang berasal dari Perancis, kepada AFP minggu ini.

"Kami perlu berhati-hati kerana seperti yang kita tahu, keadaan boleh menjadi tidak terkawal apabila melibatkan arak."

Para penggubal undang-undang Parti Democrat menggesa agar siasatan dijalankan terhadap keadaan di USS Abraham Lincoln menyusuli laporan berhubung kekurangan makanan, kerosakan sistem paip dan krisis kesihatan mental.

Namun, Presiden Donald Trump menolak kebimbangan tersebut, termasuk dakwaan bahawa kapal itu dikerahkan untuk tempoh yang terlalu lama.

"Sebilangan kecil kes kesihatan mental telah dirawat tanpa sebarang kehilangan nyawa," kata Pemangku Setiausaha Tentera Laut Hung Cao pada pertengahan Ogos, sambil menuduh media "cuba menggambarkan para anggota kami sebagai mangsa".

USS Abraham Lincoln digantikan di Timur Tengah oleh USS George Washington, yang sebelum ini ditempatkan di Jepun, sedang perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran berlarutan.

USS George Washington pula akan digantikan oleh USS Theodore Roosevelt, yang akan belayar dari San Diego dalam masa beberapa minggu akan datang, menurut pertubuhan ketenteraan swasta, Institut Tentera Laut Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat mengekalkan sebuah kapal induk di Laut Arab untuk menjalankan misi serangan terhadap Iran sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang pada akhir Februari, dan kemudiannya untuk menguatkuasakan kepungan laut terhadap pelabuhan-pelabuhan di Iran.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita