Perang Amerika, Israel dan Iran: Jurucakap Kementerian Luar Iran dakwa naratif bom nuklear Iran sekadar 'rekaan'
Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata naratif mengenai bom nuklear Iran digunakan untuk menakut-nakutkan dunia sejak lebih dua dekad, sambil menyifatkannya sebagai rekaan politik bertujuan memberi tekanan, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan, naratif mengenai bom nuklear Iran digunakan untuk menakut-nakutkan dunia sejak lebih dua dekad, sambil menyifatkannya sebagai rekaan politik bertujuan memberi tekanan.
Esmaeil Baghaei dalam wawancara yang disiarkan pada Khamis (23 Apr) menegaskan bahawa kebimbangan yang dibangkitkan berhubung program nuklear Iran tidak mempunyai asas yang nyata.
“Selama lebih dua dekad, dunia ditakut-takutkan dengan naratif bom nuklear Iran, sedangkan isu ini lebih kepada rekaan politik untuk memberi tekanan berbanding realiti.
“Namun begitu, Iran pernah mengadakan rundingan dan mencapai persetujuan khusus untuk menangani dakwaan-dakwaan itu,” katanya.
Walaupun berlaku pencerobohan Amerika Syarikat-Israel pada Jun tahun lalu, keputusan tetap dibuat untuk terlibat dalam proses rundingan, kata beliau.
Encik Baghaei menegaskan meskipun berlaku peristiwa pada Jun apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang tanpa provokasi terhadap Iran, keputusan dibuat untuk memasuki proses rundingan dan pada pusingan terakhir, persetujuan dicapai mengenai beberapa parameter utama bagi satu persefahaman awal, lapor Press TV.
Dari perspektif pihak lawan, parameter itu bertujuan menangani kebimbangan mereka, manakala dari perspektif Iran, ia dirangka untuk menjamin hak nuklear Iran, katanya.
“Berdasarkan perkara itu, atas cadangan pihak satu lagi, dipersetujui supaya satu mesyuarat diadakan di Vienna dengan kehadiran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi membincangkan dimensi teknikal isu berkenaan.
“Itulah persetujuan bersama terakhir antara kedua-dua pihak,” kata beliau.
Amerika Syarikat dan Israel memulakan serangan terhadap Iran sejak 28 Februari, yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, pegawai kanan Iran dan orang awam.
Angkatan tentera Iran bertindak balas dengan melancarkan operasi peluru berpandu dan dron yang menyasarkan lokasi di wilayah yang diduduki Israel serta pangkalan dan aset ketenteraan Amerika Syarikat di seluruh rantau itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.