Perang Amerika, Israel dan Iran: Jepun gesa G7 bersedia ambil langkah tambahan stabilkan pasaran tenaga
Jepun menggesa Kumpulan Tujuh (G7) negara maju dan Agensi Tenaga Antarabangsa supaya bersedia untuk mengambil langkah tambahan yang fleksibel bagi menstabilkan pasaran tenaga sekiranya perang Iran berlarutan, kata menteri industrinya pada Isnin (30 Mac).
Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun yang baru dilantik, Ryosei Akazawa, tiba di kediaman rasmi perdana menteri di Tokyo, Jepun pada 21 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Kim Kyung-Hoon)
Langkah tersebut mungkin merangkumi pelepasan tambahan bekalan simpanan minyak secara terselaras pada masa yang sesuai, kata Encik Ryosei Akazawa kepada wartawan selepas menghadiri sebuah mesyuarat dalam online bersama para menteri kewangan, menteri tenaga dan gabenor bank pusat G7.
“Di Asia, kenaikan harga (tenaga) dan kebimbangan terhadap bekalan semakin meruncing, dengan kekurangan bahan api dan bahan mentah mengganggu rantaian bekalan global dan berpotensi memberi kesan negatif yang ketara,” kata beliau.
Perang ke atas Iran yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari merebak ke seluruh Timur Tengah, mengorbankan ribuan nyawa dan menjejaskan ekonomi global dengan menyebabkan gangguan terbesar yang pernah berlaku terhadap bekalan tenaga dunia.
Pada Isnin, Iran menyifatkan pelan Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik sebagai “tidak realistik, tidak logik dan melampau” serta melancarkan lebih banyak peluru berpandu ke arah Israel.
Sebagai tindak balas terhadap krisis tersebut dan kekangan bekalan yang terhasil, beberapa negara, khususnya China, yang bergantung kepada import minyak, gas dan produk tenaga dari Teluk melaksanakan sekatan eksport bagi memperkukuhkan bekalan domestik.
Namun selepas mesyuarat pada Isnin, G7 menggesa negara-negara supaya “mengelak daripada mengenakan sekatan eksport yang tidak wajar ke atas hidrokarbon dan produk-produk berkaitan”.
Agensi berita Kyodo Jepun melaporkan pada Isnin bahawa pemerintah Filipina memperoleh 142,000 tong diesel dari Jepun. Bekalan tersebut tiba pada 26 Mac.
Encik Akazawa berkata Jepun mempunyai rantaian bekalan di seluruh Asia Tenggara dan bagi mengekalkan rantaian tersebut, ia adalah penting untuk memastikan bekalan bahan api di setiap negara di rantau berkenaan.
“Sambil memberi keutamaan tertinggi kepada usaha memastikan bekalan tenaga domestik yang stabil, kami berhasrat untuk terus berkomunikasi rapat dengan setiap negara,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.