Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Israel tidak akan undur tentera dari Lubnan, Syria, Gaza

Menteri Pertahanan Israel Israel Katz berkata pada Isnin (15 Jun) bahawa tentera Israel akan kekal di Lubnan, Syria dan Gaza selama tempoh yang belum dipastikan, selang beberapa jam selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju untuk menamatkan perang di Timur Tengah, termasuk di Lubnan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Israel tidak akan undur tentera dari Lubnan, Syria, Gaza

Asap berkepul naik menyusuli serangan Israel di Nabatieh, Lubnan pada 15 Jun 2026. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Jun 2026 05:56PM Dikemas Kini : 15 Jun 2026 06:00PM
  • Israel, melalui Menteri Pertahanan Israel Katz dan Perdana Menteri Netanyahu, menegaskan tentera mereka akan kekal di Lubnan, Syria dan Gaza tanpa had masa untuk melindungi keselamatan negara.
  • Israel bertegas tidak terikat dengan perjanjian damai Amerika Syarikat-Iran jika ia tidak menjamin keselamatan Israel, seperti dinyatakan oleh Menteri Keselamatan Nasional Itamar Ben-Gvir.
  • Israel merancang mengosongkan kawasan tertentu daripada penduduk dan memusnahkan infrastruktur pengganas, serta menolak tekanan antarabangsa untuk berundur dari wilayah yang ditawan.
  • Amaran turut diberikan kepada Iran dan Hezbollah bahawa sebarang serangan balas akan dijawab dengan tindakan ketenteraan penuh demi mempertahankan kepentingan Israel.
Dijana oleh AI
BAITULMAKDIS: Menteri Pertahanan Israel Israel Katz berkata pada Isnin (15 Jun) bahawa tentera Israel akan kekal di Lubnan, Syria dan Gaza selama tempoh yang belum dipastikan, selang beberapa jam selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju untuk menamatkan perang di Timur Tengah, termasuk di Lubnan.

"Saya dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sedang mengusahakan dasar jelas di mana IDF akan kekal berada di zon-zon keselamatan di Lubnan, Syria dan Gaza selama tempoh tidak ditentukan, bagi melindungi sempadan dan masyarakat Israel di sana daripada elemen Jihad," kata Encik Katz dalam satu kenyataan yang tidak menukil perjanjian Amerika-Iran.

"Kawasan itu akan dikosongkan daripada sebarang penduduk tempatan, dan semua infrastruktur pengganas, di atas dan bawah tanah - termasuk rumah-rumah di kawasan perkampungan di barisan hadapan yang berfungsi sebagai kubu pengganas - akan dimusnahkan.

"Mengawal wilayah dan mengekalkan zon keselamatan merupakan antara pencapaian terbesar IDF... justeru kami menentang pengunduran IDF dari Lubnan, walaupun dengan tekanan sedia ada dan tekanan baharu yang akan datang," kata Encik Katz, sambil menambah Encik Netanyahu sudah pun memaklumkan kepada Presiden Trump berhubung perkara tersebut.

Encik Katz juga memberi amaran kepada Iran bahawa jika republik Islam menyerang Israel sebagai tindak balas kepada serangannya di Lubnan, Israel akan bertindak balas dengan "sepenuhnya".

"Kami tidak akan berkompromi dengan kepentingan keselamatan utama Israel dan perlindungan rakyat kami, dan kami tidak berundur dari zon-zon keselamatan," katanya.

"Jika Iran menyerang Israel berhubung kejadian yang berlaku di Lubnan, kami akan menyerangnya dengan kekuatan penuh dan menonjolkan dengan jelas perbezaan dalam keupayaan kami."

Sebelum ini, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir menegaskan Israel itu tidak terikat dengan sebarang perjanjian damai tajaan Amerika Syarikat yang tidak menjamin keselamatan negara itu.

Encik Ben-Gvir berkata demikian menerusi hantaran di platform X ketika mengulas usaha Amerika merangka perjanjian melibatkan Iran serta situasi keselamatan serantau, termasuk konflik di Lubnan.

Menurut Encik Ben-Gvir, Israel merupakan "negara berdaulat" dan tidak tertakluk kepada tekanan pihak luar.

“Kami bukan rakan kepada perjanjian ini yang tidak menjamin keselamatan kami dan ia tidak mengikat kami dalam apa jua cara.

“Setiap kali kami tunduk kepada tekanan antarabangsa sehingga menjejaskan keselamatan, kami terpaksa membayar harga yang tinggi,” katanya.

Mengulas konflik di Lubnan, Encik Ben-Gvir menegaskan Israel tidak akan berkompromi kecuali dengan pembubaran sepenuhnya kumpulan Hezbollah.

Beliau turut menegaskan keengganan Israel untuk berundur dari wilayah yang telah ditawan, di samping memberi amaran terhadap sebarang ancaman di sempadan utara.

Walaupun menyatakan penghargaan kepada pentadbiran Presiden Donald Trump, Encik Ben-Gvir menegaskan Israel akan menolak sebarang desakan luar yang bertentangan dengan kepentingan negara itu.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita