Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel, dan Iran: Israel lapor kematian askar di tengah rundingan dengan Lubnan

Israel menyambung semula serangan di selatan Lubnan pada Rabu (5 Ogos) meskipun rundingan damai masih diteruskan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel, dan Iran: Israel lapor kematian askar di tengah rundingan dengan Lubnan

Kepulan asap kelihatan dari sebuah bukit menyusuli serangan udara Israel, selepas tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada para penduduk kampung Mansouri, Lubnan, pada 5 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Media Sosial)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 07:00AM Dikemas Kini : 06 Aug 2026 02:36PM
BAITULMAKDIS: Israel pada Khamis (6 Ogos) melaporkan kematian pertama anggota tenteranya di selatan Lubnan dalam tempoh lebih sebulan, selepas ia melancarkan serangan baharu meskipun rundingan damai yang disokong Amerika Syarikat sedang berlangsung di Rome.

Tentera Israel mengenal pasti dua anggota kerahan yang terbunuh dalam pertempuran pada Rabu sebagai Mejar Harel Birenstock, 34 tahun, dan Sarjan Mejar Tamir Vaknin, 33 tahun, daripada Batalion ke-2855, Briged ke-55.

Kematian tersebut merupakan kematian pertama anggota tentera Israel yang dilaporkan di selatan Lubnan sejak 28 Jun.

Serangan Israel itu, yang turut disertai amaran pemindahan pertama dalam tempoh beberapa minggu, berlaku sedang Amerika Syarikat menerajui rundingan diplomatik antara Israel dengan Lubnan di Rome.

Rundingan tersebut bertujuan menamatkan permusuhan antara kedua-dua pihak, dengan Beirut menuntut pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari selatan Lubnan.

"Sebagai tindak balas terhadap pelanggaran terang-terangan gencatan senjata oleh pertubuhan pengganas Hezbollah, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah melancarkan serangan di selatan Lubnan," menurut tentera Israel dalam satu kenyataan, sejurus selepas mengarahkan para penduduk bandar Mansouri di selatan negara itu untuk berpindah.

Media Lubnan melaporkan seorang terbunuh dan 11 lagi cedera dalam satu lagi serangan berasingan.

Di Rome, Israel meminta agar rundingan dengan Lubnan pada hari itu ditamatkan tiga jam lebih awal, menurut satu sumber yang terlibat dalam rundingan tersebut kepada AFP. Sumber itu berkata ketua delegasi Israel, Duta Israel ke Amerika Syarikat,Yechiel Leiter, menyalahkan pihak Lubnan atas apa yang dipercayai merupakan satu "kebocoran maklumat yang mengelirukan".

Rundingan bagaimanapun dijangka disambung semula pada Khamis bagi hari ketiga dan terakhir.

Dalam rundingan yang disokong Amerika Syarikat pada Jun lalu, Israel dan Lubnan bersetuju dengan satu rangka kerja yang melibatkan pelucutan senjata Hezbollah, pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta pengerahan tentera Lubnan di kawasan tersebut, bermula di kawasan percubaan yang dikenali sebagai "zon perintis".

Rundingan minggu ini merupakan pusingan ketujuh sejak Hezbollah mengheret Lubnan ke dalam kancah peperangan di Timur Tengah pada Mac lalu dengan melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tanda sokongan kepada sekutunya, Iran.

Israel kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat, yang menurut Lubnan, telah meragut lebih 4,300 nyawa.

Dalam amaran pertama seumpamanya sejak Jun, tentera Israel pada Rabu mengarahkan para penduduk Mansouri supaya berpindah.

"Disebabkan oleh pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Hezbollah, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) terpaksa bertindak tegas terhadap kumpulan tersebut."

"Demi keselamatan anda, sila tinggalkan rumah dengan segera dan bergerak ke arah utara," kata jurucakap tentera Israel bagi Bahasa Arab, Ella Waweya, menerusi satu catatan di platform X.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada malam sebelumnya menyatakan lebih 800,000 penduduk yang dipindahkan akibat pertempuran sebelum ini sudah mula pulang ke rumah menyusuli keadaan yang lebih tenang sejak kebelakangan ini, meskipun lebih 360,000 orang masih kehilangan tempat tinggal.

"MALU, MENGHINA"

Bandar Mansouri, yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari selatan Tyre dan 10 kilometer dari sempadan Israel, serta kawasan sekitarnya menjadi sasaran beberapa serangan udara dan bedilan artileri Israel sejak beberapa minggu lalu, meskipun gencatan senjata antara Hezbollah dengan Israel berkuat kuasa sejak Jun.

Majlis Perbandaran Mansouri pada 22 Jun memaklumkan para penduduk bahawa mereka boleh pulang ke rumah, namun menasihatkan mereka supaya mengelakkan kawasan bandar yang berada dalam apa yang disebut Israel sebagai "zon keselamatan" di selatan Lubnan.

"Zon keselamatan" itu merujuk kepada jalur wilayah kira-kira 10 kilometer di sepanjang sempadan Israel-Lubnan, yang masih menjadi kawasan operasi tentera Israel.

Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum ini memberitahu AFP bahawa perbincangan minggu ini akan "merangkumi peluasan proses zon perintis, penyelesaian semua isu sempadan yang masih belum selesai, serta usaha ke arah perjanjian damai dan keselamatan yang menyeluruh".

Ketika delegasi kedua-dua negara bermesyuarat di Rome, Menteri Luar Italy Antonio Tajani menghubungi rakan sejawatannya dari Iran, yang merupakan penyokong utama Hezbollah, dan menggesa Tehran untuk menghentikan operasi kumpulan tersebut.

Menerusi satu catatan yang dimuat naik sejurus sebelum serangan Israel, Encik Tajani menyuarakan harapan agar rundingan tersebut dapat "membuahkan hasil yang nyata".

Ketua Hezbollah Naim Qassem berkata pada Selasa bahawa rundingan secara langsung itu tidak akan membawa "apa-apa selain rasa malu, penghinaan" serta konsesi demi konsesi daripada pihak Lubnan.

Hezbollah berulang kali menolak rundingan secara langsung dan enggan melucutkan senjatanya.

Keganasan di Lubnan berkurangan sejak perjanjian antara Lubnan dengan Israel dicapai, di samping pemeteraian perjanjian awal antara Amerika Syarikat dengan Iran pada Jun berhubung perang di Timur Tengah.

Namun, Lubnan terus melaporkan serangan udara dan bedilan dari semasa ke semasa oleh Israel, selain letupan dan operasi perobohan di kampung-kampung di selatan negara itu.

Sejak perang antara Israel dengan Hezbollah meletus pada awal Mac, tentera Israel kehilangan 38 anggota dan seorang kontraktor awam.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita