Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Israel dakwa akan serang Hezbollah 'habis-habisan'; 4 maut dalam serangan di selatan Lubnan

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Israel dakwa akan serang Hezbollah 'habis-habisan'; 4 maut dalam serangan di selatan Lubnan

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 26 Apr 2026 09:47AM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 10:28AM
  • Israel dan Hezbollah terus bertempur di selatan Lubnan walaupun gencatan senjata dilanjutkan tiga minggu oleh Amerika Syarikat.
  • Empat orang terbunuh dalam serangan Israel pada Sabtu, manakala Hezbollah melancarkan roket ke utara Israel, salah satunya berjaya dipintas.
  • Tentera Israel menyerang pelancar roket dan kemudahan milik Hezbollah serta mengingatkan penduduk supaya menjauhi kawasan Sungai Litani.
  • Ahli parlimen Hezbollah menyatakan gencatan senjata tidak bermakna, menunjukkan ketegangan masih tinggi di kawasan tersebut.
Dijana oleh AI
BEIRUT: Israel menyatakan pada Sabtu (25 Apr) ia akan menyerang sasaran Hezbollah habis-habisan di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh dengan Lubnan, yang baru-baru ini dikatakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilanjutkan lagi tiga minggu.

Empat orang terbunuh pada Sabtu dalam serangan Israel di selatan Lubnan, lapor agensi berita Lubnan, manakala tentera Israel menyatakan Hezbollah melancarkan roket ke Israel, menimbulkan cabaran terkini kepada gencatan senjata yang rapuh itu.

Gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dengan Lubnan meredakan permusuhan yang ketara, tetapi Israel dan kumpulan Hezbollah yang dibiayai Iran terus bertempur di selatan Lubnan, di mana Israel mengerahkan tentera di zon penampan yang diisytiharkannya sendiri.

Kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa tentera diarahkan untuk serang sasaran Hezbollah di Lubnan habis-habisan, tanpa memberikan butiran lanjut.

Tentera Israel menyatakan pada Sabtu bahawa ia menyerang pelancar roket berisi peluru milik Hezbollah di tiga lokasi di selatan Lubnan semalaman dan menyasarkan beberapa pejuang Hezbollah dalam serangan berasingan.

Ia kemudian menyatakan pada hari yang sama bahawa ia juga menyerang kemudahan yang digunakan oleh pasukan elit Radwan Hizbullah di selatan Lubnan.

Tidak jelas sama ada kematian yang dilaporkan oleh agensi berita negeri itu ada kaitan dengan serangan Israel.

Tentera Israel mengulangi amarannya kepada penduduk Lubnan supaya jangan mendekati kawasan Sungai Litani di selatan Lubnan semasa ia bertempur dengan Hezbollah.

Ia mendakwa pihaknya memintas "sasaran udara yang mencurigakan" di kawasan yang sedang diduduki oleh pasukannya, dan dua roket ditembak oleh Hezbollah ke utara Israel, salah satunya berjaya dipintas. Tiada laporan mengenai sebarang korban jiwa.

Seorang ahli parlimen Hezbollah berkata pada Jumaat (24 Apr) bahawa gencatan senjata yang diantarakan Amerika Syarikat dalam perang dengan Israel tiada maknanya, sehari selepas ia dilanjutkan selama tiga minggu. Gencatan senjata itu sepatutnya tamat pada Ahad (26 Apr).
Sumber : AP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita