Perang Amerika, Israel dan Iran: Iraq tingkat kapasiti eksport minyak melebihi 3 juta tong sehari
Iraq meningkatkan kapasiti eksport minyak mentahnya kepada lebih tiga juta tong sehari dan merancang untuk meningkatkannya kepada lima juta tong sehari sedang negara tersebut membangunkan laluan baharu yang tidak melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi memetik Menteri Minyak Basim Mohammed Khudair pada Ahad (6 Sep).
Iraq sedang berusaha mempelbagaikan laluan eksport minyaknya bagi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz. (Gambar fail: AP)
- Pemerintah Iraq, melalui Menteri Minyak Basim Mohammed Khudair, mengumumkan peningkatan eksport minyak mentah kepada lebih tiga juta tong sehari sejak awal September.
- Iraq merancang menaikkan kapasiti eksport kepada lima juta tong sehari selepas siapnya saluran paip strategik ke Fishkhabur di utara dan Banias di Syria.
- Projek ini bertujuan mempelbagaikan laluan eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz, berikutan ketegangan serantau yang berterusan.
- Perdana Menteri Ali Faleh al-Zeidi telah mengarahkan pembinaan dua laluan paip utama, iaitu Basra-Haditha-Fishkhabur dan Haditha-Banias, untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa.
Encik Khudair memberitahu Agensi Berita Iraq (INA) bahawa jumlah eksport mencecah kira-kira tiga juta tong sehari sejak awal September.
Beliau berkata, pemerintah mahu meningkatkan kapasiti tersebut kepada lima juta tong sehari selepas saluran paip strategik yang menghubungkan medan minyak Iraq dengan Fishkhabur di utara dan pelabuhan Banias di Syria yang terletak di Mediterranean siap dibina.
Selain itu, Baghdad turut berusaha memperluas laluan eksport alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz.
Pada Ogos, Perdana Menteri, Ali Faleh al-Zeidi mengarahkan agar kerja-kerja diteruskan bagi dua laluan saluran paip strategik, iaitu Basra-Haditha-Fishkhabur dan Haditha-Banias.
Laluan utara akan menghubungkan medan minyak di selatan dengan Fishkhabur berhampiran sempadan Turki, sekali gus menyediakan akses ke saluran paip Kirkuk-Ceyhan dan pelabuhan Ceyhan di Mediterranean, Turki.
Laluan barat pula akan menghubungkan Haditha dengan pelabuhan Banias di Syria, sekali gus menyediakan satu lagi laluan bagi Iraq ke Mediterranean dan berpotensi menghidupkan semula koridor minyak bersejarah antara kedua-dua negara.
Menurut pemerintah, projek tersebut bertujuan mempelbagaikan laluan eksport dan meningkatkan keupayaan Iraq untuk mengeksport minyak mentah ke luar negara.
Iraq mempunyai kira-kira 145 bilion tong rizab minyak terbukti, menurut angka rasmi.
Pengeluaran minyak negara itu merosot kepada kira-kira 1.3 juta tong sehari semasa perang Amerika-Israel terhadap Iran, yang bermula pada akhir Februari, berbanding 3.3 juta tong sehari sebelum peperangan tersebut.
Pengeluaran minyak Iraq mula pulih pada Julai dan Ogos.
Usaha menyediakan laluan eksport alternatif itu dilakukan sedang gangguan di Selat Hormuz berterusan menyusuli ketegangan antara Washington dan Tehran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.