Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran tolak cadangan asetnya digunakan untuk bayar pampasan kepada sekutu Amerika

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata pada Ahad (7 Jun) bahawa pemerintah negara-negara serantau "bukan dalam kedudukan untuk menuntut pampasan", sebagai maklum balas kepada laporan yang menurut beliau menyatakan bahawa Amerika Syarikat mungkin menggunakan aset Iran untuk memberi pampasan kepada sekutu-sekutunya di rantau itu atas kerosakan berkaitan perang.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Iran tolak cadangan asetnya digunakan untuk bayar pampasan kepada sekutu Amerika

Seorang lelaki mengibarkan bendera Iran berhampiran papan iklan anti-Amerika yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Selat Hormuz di Tehran, Iran, pada 30 Mei 2026. (Gambar: WANA melalui REUTERS/Majid Asgaripour)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 06:29AM
TEHRAN: Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata pada Ahad (7 Jun) bahawa pemerintah negara-negara serantau "bukan dalam kedudukan untuk menuntut pampasan", sebagai maklum balas kepada laporan yang menurut beliau menyatakan bahawa Amerika Syarikat mungkin menggunakan aset Iran untuk memberi pampasan kepada sekutu-sekutunya di rantau itu atas kerosakan berkaitan perang.

Dalam satu catatan di platform X, Encik Gharibabadi menambah bahawa aset Iran "bukan harta rampasan perang untuk Washington mahupun dana pembayaran untuk sekutunya".

Reuters melaporkan pada Sabtu, dengan memetik sumber yang arif mengenai perkara itu, bahawa Amerika Syarikat akan memberikan aset Iran kepada sekutu-sekutunya di Teluk untuk menyokong usaha pembinaan semula dan kerja-kerja pembaikan bagi kerosakan pada masa depan yang disebabkan oleh Iran.

Amerika Syarikat juga akan mempertimbangkan untuk menggunakan aset tersebut bagi menyokong kerja-kerja pembaikan bagi kerosakan yang berlaku sebelum ini, menurut sumber itu. Beliau menambah bahawa Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent telah mengarahkan satu pasukan untuk menilai kos kerosakan yang sudah dialami sekutu-sekutu Teluk akibat tindakan Iran.

Semasa perang, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa negara Teluk dengan menyatakan bahawa ia menyasarkan kepentingan Amerika Syarikat dan Israel di rantau berkenaan.

Pada Sabtu, Iran menyatakan bahawa ia telah melancarkan peluru berpandu balistik ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Kuwait dan Bahrain. Tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa enam peluru berpandu berjaya dipintas manakala peluru berpandu ketujuh tidak sampai ke sasarannya. Kuwait pula melaporkan kerosakan harta benda tetapi tiada korban jiwa, sementara Bahrain menggesa para penduduk agar mendapatkan perlindungan.

Konflik di Timur Tengah boleh menyebabkan rantau itu menanggung kos pembaikan sehingga AS$58 bilion (S$74.83 bilion) bagi infrastruktur berkaitan tenaga sahaja, menurut laporan firma penyelidikan Rystad Energy pada April.

Encik Gharibabadi berkata sebarang penyitaan, pemindahan atau peruntukan aset Iran tanpa persetujuan pemerintah Iran akan dianggap sebagai "satu lagi tindakan yang salah di sisi undang-undang antarabangsa", yang akan mengalihkan tanggungjawab kepada Amerika Syarikat pada ketika Washington menyatakan bahawa ia sedang berusaha menjalankan rundingan dan mencapai persefahaman dengan Tehran.

Beliau berkata tindakan sedemikian juga akan mencetuskan "tindak balas yang sewajarnya" daripada Iran, tanpa menghuraikannya dengan lanjut.

Iran telah meminta supaya sebahagian daripada dananya yang disita oleh Amerika Syarikat dilepaskan di bawah rangka kerja yang sedang dirundingkan kedua-dua negara untuk menamatkan perang Iran.

Encik Gharibabadi berkata beberapa pemerintah serantau telah membenarkan wilayah dan kemudahan mereka "digunakan bagi menyokong pencerobohan terhadap Iran" dan oleh itu bukan dalam kedudukan untuk menuntut pampasan.

Beliau berkata pemerintah-pemerintah tersebut sebaliknya perlu memberikan pampasan sepenuhnya kepada Iran atas kerosakan yang dialaminya.

Tuntutan Tehran untuk menamatkan perang termasuk pembebasan aset bernilai berbilion dolar yang dibekukan, selain penarikan sekatan Amerika Syarikat dan antarabangsa serta pengiktirafan terhadap pengaruhnya di Selat Hormuz.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita